Arkib Tag: nissan z

Nissan Fairlady Z facelift muncul di Tokyo Auto Salon 2026

Generasi ketujuh kereta sports Nissan Z (Fairlady Z di pasaran Jepun) debut pada tahun 2021 bagi menggantikan model 370Z.

Setelah beberapa tahun, Nissan akhirnya mengemas kini penawaran Fairlady Z dengan memperkenalkan versi facelift di Tokyo Auto Salon 2026.

Tidak banyak perubahan yang dibuat namun berbanding model terdahulu, Fairlady Z facelift menampilkan imej yang lebih kemas terutama pada bahagian bampar hadapan serba baharu.

Menurut Nissan, rekaan bampar baharu itu bukan sahaja menitikberatkan aspek estetik, akan tetapi mampu menyumbang kepada aspek aerodinamik yang lebih baik dengan cara mengurangkan kesan angkat depan sebanyak 3.3 peratus dan mengurangkan seretan sebanyak 1 peratus.

Selain itu, lencana Nissan pada bahagian depan telah digantikan dengan emblem Z, diikuti dengan rim aloi dengan kemasan dua tona.

Akhir sekali, Nissan memperkenalkan warna baharu Unryu Green yang diinspirasikan daripada warna Grand Prix Green pada model Z generasi S30.

Buat masa ini, Nissan masih mengekalkan enjin asal bentangan V6 3.0 liter turbo berkembar menghasilkan 400 hp dan 475 Nm.

Namun, aspek pemanduan dan pengendalian dipertingkatkan dengan sistem suspensi yang telah disemak semula dengan padanan penyerap hentak monotiub yang lebih besar, serta sistem brek yang lebih besar.

Susun atur ruang kabin kekal tidak berubah, namun untuk versi facelift Nissan menawarkan opsyen trim tan untuk tempat duduk, panel pintu dan bahagian bawah papan pemuka.

Menariknya, dalam imej rasmi yang dibekalkan terdapat komponen paddle shifter di sebalik stereng di dalam sebuah kereta yang mempunyai tombol gear manual.

Nissan daftar tanda dagang ‘Z Warrior’, petanda kemunculan Z versi off-road?

Segmen kereta sports off-road yang kini disertai oleh Porsche 911 Dakar dan Lamborghini Huracan Sterrato mungkin bakal dimeriahkan dengan sebuah lagi pendatang baharu, kali ini dari negara Matahari Terbit.

Menurut laporan, Nissan telah mendaftarkan tanda dagang ‘Z Warrior’ di pejabat IP Australia yang memberikan petunjuk kemunculan kereta sports Z khusus untuk menawan laluan off-road.

Nissan sebelum ini telah memperlihatkan sebuah konsep Safari Rally Z Tribute yang cukup menarik perhatian.

Diinspirasikan daripada jentera Datsun 240Z yang telah memenangi East African Safary Rally 1971, Nissan Z generasi baharu itu telah diberikan talaan suspensi KW Safari yang lebih tinggi 2 inci, serta rim prototaip Nismo Safari 17 inci yang dibaluti tayar Yokohama Geolander M/T G003.

Penambahan beberapa unit pencahayaan pada hud, bampar dan tiang A melengkapkan lagi rupa paras sebuah jentera rali yang sebenar.

Unit enjin asal juga telah ditala, di mana enjin bentangan V6 3.0 liter turbo berkembar itu telah dipasangkan dengan beberapa komponen Nismo termasuklah klac berkembar, flywheel, unit penukar haba, tangki coolant, sistem kemasukan udara sejuk, pelindung enjin gentian karbon dan sistem ekzos jenis cat-back.

Untuk makluman, Nissan Australia turut menawarkan trim Warrior untuk model seperti Navara dan juga Patrol di mana kedua-dua model ini dilengkapi dengan kit badan dan aksesori yang memang dikhususkan untuk menawan pelbagai jenis bentuk muka bumi.

 

Nissan Safari Rally Z Tribute 2023

Datsun 240Z Rally 1971

Nissan Z Heritage Edition 2024 imbau kembali nostalgia Datsun 240Z

Tahukah anda, kira-kira 55 tahun yang lalu generasi pertama Z (Datsun 240Z) mula meluncur keluar dari barisan produksi kilang Hiratsuka, Kanagawa, Jepun.

Sejak daripada itu, Datsun 240Z telah menjadi satu titik permulaan kepada legasi kereta sports lagenda untuk tempoh berdekad-dekad lamanya.

 

 

Kini, legasi itu diteruskan dengan kehadiran edisi khas Nissan Z yang dinamakan sebagai Nissan Z Heritage Edition untuk pasaran Amerika Syarikat.

Menurut Nissan, edisi Heritage ini dibina sebagai satu penghormatan kepada kereta sports Datsun 240Z (generasi S30).

 

 

Ia bukan sahaja membawakan warna jingga New Sight yang eksklusif, Nissan Z Heritage Edition ini turut dipadankan dengan fender flare, bampar baharu, serta set roda 19 inci yang dilihat menyamai gaya rim retro RS Watanabe yang kerap digunakan pada 240Z.

Untuk pasaran US, Nissan Z Heritage Edition dibina berdasarkan trim Z Performance, dan datang dengan enjin bentangan V6 3.0 liter yang mampu menjana kuasa setinggi 400 hp dan 475 Nm.

 

 

Pembeli diberikan pilihan untuk mendapatkan kotak gear manual enam nisbah kelajuan atau transmisi automati jenis torque converter sembilan nisbah kelajuan, serta pembeza gelincir terhad (LSD) mekanikal.

Di US, Nissan Z Heritage Edition dijual pada harga bermula dari $60,275 (RM284,377), atau $6,165 (RM29,086) lebih mahal berbanding model Nissan Z Performance.

Tiada sebarang info berkenaan berapa unit yang bakal ditawarkan, namun Nissan telah mengesahkan Z Heritage Edition bakal dijual dalam unit terhad, dan khusus untuk model tahun 2024 sahaja.

 

Nissan Z 2022 dipilih jadi Safety Car untuk Super GT

NISSAN Z baharu akan menggalas tugas sebagai Safety Car (kereta keselamatan) untuk siri perlumbaan Super GT. Kereta itu akan diserahkan hujung bulan ini dan ia pastinya akan mendapat beberapa penambahbaikan.

Nissan tidak mendedahkan perincian perubahan yang diperlukan untuk menjadikannya sebuah kereta keselamatan. Walaubagaimanapun, gambar-gambar menunjukkan beberapa ‘jajan’ yang terdapat padanya.

Di bahagian luar, Nissan Z dipasang dengan lampu kereta keselamatan di dalam gril dan bar lampu di atas bumbung.

Di dalam pula, Nissan menambah tempat duduk Recaro berwarna hitam yang nampak agresif berserta tali pinggang keledar Nismo berwarna merah.

Kereta ini juga dilengkapi dengan peralatan komunikasi radio baharu bagi memastikannya sentiasa terhubung dengan pegawai-pegawai litar semasa perlumbaan.

Nissan menyiapkan kereta itu bersama Nissan Motorsports & Customizing Co., dan dikemaskan dengan pelekat “Safety Car” di sekeliling kereta.

Ia akan menjalankan beberapa tugasan di litar seperti pemeriksaan pra-perlumbaan serta memimpin perlumbaan semasa berlakunya kemalangan.

Nissan akan menyerahkan kereta ini pada 29 Mei iaitu semasa pusingan ketiga musim 2022 yang akan bertempat di litar Suzuka, Jepun.

Nissan Z 2022 dikuasakan oleh enjin 3.0-liter V6 turbo yang menghasilkan 400hp dan 474Nm tork dan pemilik boleh memilih sama ada transmisi manual 6-kelajuan atau automatik 9-kelajuan.

Selain itu, Nissan akan mempertaruhkan Z GT500 dalam siri Super GT. Jentera ini yang dilancarkan tahun lepas akan menggantikan GT-R.

Jentera lumba Z GT500 dipacu enjin 2.0-liter 4-silinder turbo dengan kuasa dihadkan pada 650hp. Ia juga mendapat gaya agresif dengan sirip-sirip aero, spoiler besar, dan rupa cukup garang.