Arkib Tag: Nissan Versa

Nissan henti jual kereta manual paling mampu milik di Amerika

Dulu kereta penumpang bertransmisi manual merupakan pilihan yang popular, namun kini ia bakal pupus ditelan zaman.

Di Amerika Syarikat, Nissan telah menghentikan jualan bagi varian Versa (Almera) paling murah dan juga model terakhir di dalam pasaran yang dilengkapi dengan transmisi manual lima-kelajuan.

Nissan dalam satu kenyataan rasmi yang dikemukakan kepada laman Motor1 mengesahkan “produksi varian manual Versa S akan dihentikan, manakala varian lain akan terus dijual.”

Untuk makluman, Nissan Versa S (versi manual) dijual pada harga bermula dari $18,330 (RM77,902), sementara versi CVT pula berharga $20,130 (RM85,553).

Disebalik populariti Versa di pasaran tersebut, varian manual hanya merangkumi kurang lima peratus berbanding jumlah jualan keseluruhan model tersebut.

Pasaran Amerika masih lagi menawarkan model-model baharu dengan pilihan transmisi manual enam-kelajuan, rata-ratanya terdiri daripada model berprestasi tinggi seperti BMW M2, Honda Civic Type R, Hyundai Elantra N, Porsche 911, serta barisan model Toyota Gazoo Racing (GR86, GR Corolla, GR Supra).