Belum pun sempat dipasang dan dipasarkan di serata dunia, Nissan Leaf generasi baharu dilaporkan sudah berdepan dengan masalah.
Berdasarkan laporan daripada Reuters yang memetik Kyodo News, Nissan terpaksa menyusun semula produksi Leaf generasi baharu disebabkan oleh sekatan eksport nadir bumi oleh negara China.
Hasil sekatan tersebut memberikan kesan kepada masalah kekurangan bekalan komponen yang diperlukan untuk produksi Leaf.
Selain Nissan, sekatan yang dikenakan oleh China turut memberikan kesan kepada sebilangan pengeluar automotif termasuklah Ford dan Suzuki.
Generasi ketiga Nissan Leaf diperkenalkan pada bulan lepas, di mana EV tersebut tidak lagi menggunakan bentuk badan hatchback, sebaliknya kini sebuah crossover elektrik yang berkongsi platform AmpR Medium yang sama dengan Nissan Ariya EV.
Nissan Leaf 2026 turut menjadi model Nissan pertama yang mengguna pakai standard pengecasan NACS (North America Charging System), menjadikannya sesuai dengan jaringan pengecasan Tesla Supercharger.
Ini bukan lagi kereta elektrik Leaf yang anda kenal sejak dulu, akan tetapi generasi ketiga Nissan Leaf yang telah berubah menjadi sebuah SUV elektrik.
Crossover subkompak (segmen B) ini berkongsi platform AmpR Medium yang sama digunakan oleh Nissan Ariya EV.
Berikut merupakan info ringkas yang perlu anda tahu:
1. Kuasa
Versi asas Nissan Leaf dikuasakan oleh motor elektrik pacuan depan 174 hp/344 Nm, dengan pek bateri 52 kWh.
Sementara varian tertinggi pula dijana dengan motor elektrik 214 hp/354 Nm berserta pek bateri lithium-ion sejukan cecair berkapasiti 75 kWh.
2. Jarak gerak
Nissan Leaf boleh bergerak sejauh 487 km, lebih jauh jika dibandingkan dengan model Leaf 2024.
Versi yang dilengkapi dengan rim saiz besar pula boleh mencapai jarak antara 416 km hingga 463 km.
Jarak gerak varian paling rendah akan diumumkan kelak.
3. Pengecasan
Nissan Leaf menyokong pengecasan pantas di mana bateri boleh dicas 10-80 peratus dalam masa 35 minit.
Menariknya, Leaf spesifikasi Amerika didatangkan dengan dua port pengecasan, iaitu port NACS (serasi dengan pengecas Tesla) dan port J1772.
Sementara Leaf untuk pasaran Eropah kekal dengan port CCS, versi Jepun pula mendapat port CHAdeMO.
4. Badan aerodinamik
Binaan badan Nissan Leaf nyata mengambil inspirasi daripada model EV popular buatan Amerika.
Bahagian muka depan dihiasi dengan lampu LED yang tajam dihubungkan bar LED melintang, sementara bahagian belakang pula menampilkan spoiler terbina dan perumah lampu yang sengaja digelapkan.
Menurut Nissan, Leaf 2026 menawarkan angka pekali seretan serendah 0.25.
5. Dimensi
Nissan Leaf 2026 membawakan ukuran sepanjang 4,350 mm, lebar 1,810 mm, tinggi 1,550 mm dengan jarak antara roda 2,690 mm.
Sebagai perbandingan, Nissan Leaf generasi kedua berukuran 4,490 mm, lebar 1,788 mm, tinggi 1,530 mm dengan jarak antara roda 2,700 mm.
Lebih pendek berbanding Leaf terdahulu, namun dengan dimensi yang lebih tinggi.
6. Kabin
Platform baharu ini memberikan kelebihan pada Leaf 2026 dari segi struktur lantai yang lebih rata.
Ia turut mendapat sepasang skrin paparan 12.3 inci atau skrin 14.3 inci untuk varian tertinggi yang lengkap dengan perisian Google terbina, dan tidak ketinggalan Apple CarPlay/Android Auto.
Varian tertinggi juga turut mendapat sistem audio Bose 10 pembesar suara, dan skrin paparan head up.
Terdapat juga opsyen bumbung panorama dengan teknologi elektrokromik yang tidak memerlukan tirai fizikal untuk menghalang sinaran suria.
Ruang kargo Nissan Leaf adalah sebesar 437 liter.
7. Keselamatan
Secara standard, kesemua varian Leaf 2026 mendapat kelengkapan ProPilot Assist yang merangkumi fungsi seperti amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan automatik, bantuan suluhan tinggi, serta amaran keluar lorong.
Tidak ketinggalan sistem pemantauan keliling 3D, sistem pandang telus hud dan fungsi pemandangan lebar bahagian depan.
Kereta elektrik bateri Nissan LEAF telah pun berada di pasaran dunia sejak tahun 2010 lagi, dan telah pun bertahan selama dua generasi membawakan bentuk badan hatchback.
Namun untuk generasi ketiga, Nissan LEAF diberikan bentuk badan crossover selari dengan permintaan pasaran yang lebih cenderung ke arah model-model berbadan besar.
Dibina berdasarkan platform CMF-EV yang dimiliki oleh pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, LEAF baharu membawakan ukuran dimensi yang lebih tinggi, namun sedikit pendek berbanding LEAF sedia ada.
Nissan LEAF generasi kedua
Berdasarkan rekaan yang dipamerkan, tidak syak lagi LEAF banyak meminjam elemen penggayaan yang wujud pada Ariya EV, selain mempunyai bentuk badan aerodinamik dengan kadar pekali seretan 0.25.
Nissan tidak mendedahkan spesifikasi LEAF dengan lebih lanjut.
Namun, menurut ketua produk Nissan Eropah Francois Bailly menjelaskan model LEAF baharu ini mampu menawarkan jarak gerak dunia sebenar melebihi 598 km.
Beliau menambah, LEAF akan turut mendapat sistem infohibur terkini berasaskan Google, dibantu dengan sistem bantuan pemandu termaju.
Jualan Nissan LEAF di seluruh dunia telah melebihi angka 600,000 unit sejak ia diperkenalkan buat pertama kali pada 2010.
Kini, untuk tahun 2023, model itu diberikan facelift dan ia telah pun memasuki pasaran Malaysia dengan satu varian pada harga bermula dari RM168,888.
LEAF baharu ini menggunakan motor elektrik tunggal yang mampu menjana output sebanyak 110 kW (150 PS) dan 320 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.9 saat.
Dilengkapi dengan bateri litium-ion berkapasiti 40 kWh, ia menawarkan jarak pemanduan sejauh 311 km bagi setiap pengecasan penuh berdasarkan kitaran ujian NEDC.
Menurut Edaran Tan Chong Motor (ETCM) selaku pengedar rasmi Nissan di Malaysia, jarak itu lebih daripada mencukupi untuk kegunaan kebanyakan pemandu Malaysia di bandar dan pinggir bandar setiap hari.
Untuk pengecasan, pelanggan boleh menggunakan pengecas Type 2 (sebelum ini Type 1) untuk pengecasan AC mudah alih menerusi soket elektrik 3-pin yang mengambil masa kira-kira 7 jam.
Selain itu, LEAF juga didatangkan dengan penyambung CHAdeMo untuk pengecasan pantas DC dengan kadar cas maksima 50 kW. Kaedah ini mengambil masa kira-kira 60 minit untuk pengecasan dari 0 hingga 100 peratus.
Seperti sebelum ini, ia dilengkapi dengan teknologi e-Pedal membolehkan pemandu menggerakkan kereta, memecut, memperlahan dan memberhentikan kenderaan hanya dengan cara menambah atau mengurangkan tekanan ke atas pedal pecutan.
Turut disertakan adalah rangkaian teknologi Nissan Intelligent Mobility (NIM). Ia merangkumi ciri-ciri keselamatan seperti Intelligent Lane Intervention & Intelligent Lane Departure Warning, High Beam Assist, serta Intelligent Rear View Mirror.
Untuk pasaran Malaysia, LEAF didatangkan dengan jaminan selama tiga tahun atau 100,000 km, serta jaminan selama lapan tahun atau 160,000 km khusus untuk bateri litium-ion. Dengan selang servis berjadual 20,000 km, kos penyelenggaraan model ini adalah sekitar RM300 setahun.
Sebagai alternatif, EV ini juga boleh didapati menerusi Program Langganan LEAF yang tidak memerlukan sebarang bayaran pendahuluan. Pemilik hanya perlu membayar ansuran bulanan sebanyak RM1,800 untuk kontrak selama tiga tahun.
Bukan itu sahaja, ETCM turut menawarkan keahlian JomCharge selama 12 bulan secara percuma (bernilai RM600) serta filem penapis haba percuma bernilai RM2,200.
Pemilik LEAF juga boleh menggunakan model Nissan terpilih (X-Trail, Serena atau Navara) selama 23 hari setahun secara percuma dalam tempoh tiga tahun pertama pemilik. Ini bagi membolehkan pemilik melakukan perjalanan jarak jauh seperti pulang ke kampung dan sebagainya.