Arkib Tag: Nissan Gravite

Nissan Gravite bakal hadir di India, MPV segmen A, 7 tempat duduk

Nissan Motor India secara rasmi mendedahkan nama model MPV segmen B tujuh tempat duduk terbaharu iaitu Gravite.

Model yang dijadualkan untuk pelancaran pada awal tahun 2026 ini merupakan langkah strategik utama dalam usaha menghidupkan semula portfolio produk jenama tersebut di pasaran India.

Gravite menjadi model pertama yang diperkenalkan di bawah pelan rangkaian produk yang telah disusun semula untuk memenuhi keperluan mobiliti moden di sana.

Sinergi Pakatan Renault-Nissan dan Pengeluaran Tempatan

Pembangunan Gravite merupakan hasil daripada kerjasama strategik di bawah Renault-Nissan-Mitsubishi Alliance.

Model ini dibina menggunakan platform CMF-A+ yang sama dengan Renault Triber, sebuah MPV kompak yang juga dijual di pasaran India.

Penggunaan platform perkongsian ini membolehkan Nissan mengoptimumkan kos pembangunan sambil menawarkan kenderaan yang disesuaikan khusus untuk keperluan tempatan.

Sesuai dengan statusnya sebagai produk pakatan, Gravite akan dikilangkan secara tempatan di kemudahan pengeluaran Renault-Nissan yang terletak di Chennai.

Langkah ini mengukuhkan lagi peranan India sebagai hab pembuatan dan eksport penting bagi kumpulan automotif tersebut.

Di Sebalik Nama Dan Konsep Gravite

Nama Gravite diinspirasikan daripada perkataan bahasa Inggeris iaitu gravity yang membawa maksud keseimbangan, kestabilan serta daya tarikan yang kuat.

Nissan memilih nama ini bagi mencerminkan visi syarikat dalam menghasilkan kenderaan yang mampu memberikan keselesaan, fleksibiliti tinggi dan ketersambungan lancar buat sesebuah keluarga.

Rekaan model ini juga mengambil kira latar belakang 1.4 bilion rakyat India dengan kepelbagaian budaya dan gaya hidup mereka.

Reka Bentuk Luaran Dengan Identiti Global Nissan

Dari sudut penampilan, Gravite menerapkan bahasa reka bentuk global Nissan.

Di antara ciri paling menonjol ialah jeriji hadapan dengan rekaan bentuk C yang merupakan identiti Nissan bagi memberikan rekaaan yang menyerlah dan mudah dikenali di jalan raya.

Bahagian belakang turut mengekalkan tema reka bentuk interlock berbentuk C bagi melengkapkan penampilan keseluruhannya.

Ruang Dalaman dan Fleksibiliti

Sebagai sebuah MPV yang memfokuskan kepada keluarga, Gravite menawarkan ruang kabin yang luas serta storan yang inovatif.

Fokus utama diberikan kepada aspek modulariti di mana susunan tempat duduk ultra-modular boleh dilaraskan dengan mudah untuk mengimbangi keperluan antara jumlah penumpang dan ruang kargo.

Penggunaan ruang pintar ini direka bagi memastikannya praktikal untuk kegunaan harian di dalam bandar mahupun untuk perjalanan jauh bersama keluarga.

Maklumat lanjut mengenai spesifikasi teknikal penuh dan harga jualan bakal dikongsikan Nissan dalam pengumuman akan datang.

Gambar: Nissan