Arkib Tag: Nihon Matsuri

UMWT, Toyota Gazoo Racing Malaysia diumum sebagai penaja utama Super GT Malaysia 2025

UMW Toyota Motor dan Toyota Gazoo Racing Malaysia bakal menjadi penaja utama bagi acara Festival Super GT Malaysia 2025 tahun ini.

Perkara tersebut diumumkan secara rasmi oleh Haro Sports & Entertainment selaku pemegang hak dan pempromosi bagi Autobacs Super GT pusingan Malaysia, baru-baru ini.

Selain daripada perlumbaan utama melibatkan kelas GT300 dan GT500, Litar Sepang bakal digegarkan dengan acara perlumbaan jenama tunggal GR86 Cup serta pusingan kedua Vios Challenge 2025 musim kelapan.

Festival Super GT Malaysia 2025 turut mengalu-alukan Bridgestone sebagai Jenama Pembekal Tayar Rasmi bagi pusingan pembukaan GR86 Cup Malaysia Series.

Bukan itu sahaja, pengunjung Festival Super GT Malaysia juga berpeluang untuk menyertai acara kebudayaan dan makanan Jepun, iaitu Nihon Matsuri, serta menyaksikan konsert pasca perlumbaan GT Live! yang membariskan pelbagai artis ternama.

Antaranya ialah trio Tenxi, Naykilla & Jemsii (TNJ), KLP48, Fareed K-Clique, Sabhi Saddi, dan Kaka Azraff.

Menurut Rakan Pengurusan Haro Sports & Enterntainment, Fahrizal Hasan berkata, “Festival Super GT Malaysia bukanlah sekadar perlumbaan. Ia sebuah acara untuk menghiburkan semua orang, baik dari pameran automotif sehinggalah kepada pameran kebudayaan Jepun, perhimpunan kereta JDM hinggalah kepada konsert GT Live!”

Tiket masuk sudah boleh dibeli menerusi laman web www.supergtmalaysia.com, perinciannya seperti berikut:
K1 Grandstand – RM100 (promosi awal RM80)
Main Grandstand – RM250 (promosi awal RM200)
GT Suite – RM350
GT Live! Rock Zone – RM500
GT Club Paddock – RM2,000

Autobacs Super GT, Nihon Matsuri bakal meriahkan Litar Sepang 27-28 Jun ini

Acara perlumbaan Autobacs Super GT 2025 yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Jun ini bakal menyajikan sesuatu yang istimewa, khusus buat para peminat budaya Jepun.

Menerusi kerjasama dengan acara tahunan Nihon Matsuri, Autobacs Super GT 2025 di Malaysia bukan sahaja mempamerkan aksi perlumbaan, bahkan menampilkan festival kebudayaan dan makanan Jepun.

Menariknya, hujung minggu tersebut bakal menyaksikan pusingan pertama perlumbaan GR86 Cup Series Malaysia 2025 melibatkan 30 buah jentera lumba GR86.

Menurut Fahrizal Hasan selaku Rakan Pengurusan HARO Sports & Entertainment berkata, “Super GT terus dikenali kerana atmosfera seperti karnival. Ia merupakan salah satu acara antarabangsa yang membolehkan peminat mendekati pelumba, pasukan dan jentera kegemaran.

“Tahun ini, Super GT Malaysia Festival 2025 akan menyaksikan sambutan menarik bertemakan kebudayaan Jepun.”

Pelbagai aktiviti yang telah disusun untuk para pengunjung termasuklah sesi pit terbuka, pit walk, safari litar, serta pameran pelbagai jenis reruai dan jualan cenderahati.

Tiket masuk ke Autobacs Super GT 2025 pusingan Malaysia sudah mula dijual sejak 27 Februari yang lepas.

Untuk tempoh masa terhad, pembeli boleh mendapatkan tiket bernilai RM80 untuk K1 Grandstand, RM200 untuk Main Grandstand, dan RM2,000 untuk lounge GT Club Paddock Hospitality di laman web www.supergtmalaysia.com.

Pusingan pembukaan Super GT 2025 akan berlangsung di Okayama International Circuit pada 13 April lalu, diikuti pusingan kedua di Fuji Speedway (4 Mei), dan pusingan ketiga di Malaysia (27-28 Jun).

Pusingan kelima pula mengambil tempat di Litar Suzuka pada 24 Ogos, diikuti Sportsland Sugo (21 September), Autopolis International Racing Course (19 Oktober) dan pusingan akhir di Mobility Resort Montegi (2 November).

Super GT menampilkan barisan pelumba dan pengeluar dari Jepun (Nissan, Lexus, Toyota, Honda dan Subaru) bertempur di dalam kelas GT500 dan GT300, serta tidak ketinggalan pengeluar jenama Continental seperti Aston Martin, Lamborghini, Mercedes-Benz, Ferrari dan BMW.

Malaysia kekal menjadi satu-satunya lokasi perlumbaan di luar Jepun untuk musim perlumbaan 2025 selepas kali terakhir Super GT dianjurkan di negara Thailand pada tahun 2019.