Arkib Tag: neutraliti karbon

JMS 2025: 3 prinsip baharu Toyota demi capai visi Mobiliti Untuk Semua dan Neutraliti Karbon

Pendekatan pelbagai cara (multi-pathway approach) yang dibawakan oleh Toyota sejak beberapa tahun yang lepas bukanlah sekadar untuk mencapai neutraliti karbon menerusi teknologi moden seperti sel bahan api hidrogen (FCEV), hibrid (HEV), plug-in hybrid (PHEV) dan kenderaan elektrik bateri (BEV).

Terdapat juga penyelesaian yang lebih mampan dan boleh disesuaikan dengan keadaan setempat, seperti contoh penggunaan bahan api bio dan gas asli termampat (CNG).

Dengan menawarkan penyelesaian mobiliti rendah emisi dan sifar emisi yang lebih mudah diakses, Toyota dapat memenuhi keperluan pelbagai lapisan pengguna di Asia.

Dalam masa yang sama, ia dapat memberikan nilai faedah yang berkekalan kepada manusia dan masyarakat.

Tiga prinsip baharu yang turut diterapkan oleh Toyota di bawah “Multi-Pathway Approach” ini ialah Best in Town, Customer Comes First, dan Start by Doing. 

 

Best in Town

Falsafah ini menekankan penyampaian produk yang terbaik serta perkhidmatan yang dapat memenuhi keperluan mobiliti setiap pasaran Asia yang unik.

Salah satu contoh yang diberikan ialah platform global IMV yang diperkenalkan sejak 2002 dengan matlamat untuk mencipta pelantar yang dapat menyokong pelbagai kenderaan untuk memenuhi keperluan mobiliti pasaran membangun.

Akio Toyoda berkata, “Kami tidak boleh menggembirakan pelanggan dengan mempromosikan jumlah kenderaan, apa yang penting ialah menjadi yang terbaik di dalam bandar.”

 

Customer Comes First

Di Japan Mobility Show 2025, Toyota memperkenalkan barisan jenama – Century, Lexus, Gazoo Racing, Toyota dan Daihatsu – setiap satu memainkan peranan yang tersendiri berteraskan “Mobiliti untuk Semua”.

Ia juga selaras dengan tema “To You” Toyota yang diperkenalkan pada tahun ini, di mana tiada seorang pun yang harus ketinggalan di belakang.

Akhir sekali, pendekatan berbilang jalan dalam mencapai neutraliti karbon yang menawarkan pelbagai pilihan penyelesaian yang mampan kepada pengguna.

 

Start by Doing

Untuk mencapai apa yang disasarkan, ia perlulah dilakukan segera.

Untuk itu, Toyota melakukan beberapa projek menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak seperti contoh Commercial Japan Partnership Technologies Corporation (CJPT) yang memacu industri logistik ke arah era kecekapan dan pengurangan karbon yang dipacu oleh data.

Selain itu, projek komuniti Toyota Mobility Foundation’s (TMF) bertujuan untuk meningkatkan aspek keselamatan, mengurangkan kesesakan dan meningkatkan tahap kebolehcapaian.

Toyota percaya mobiliti bukanlah sekadar mod pengangkutan, akan tetapi ia lebih kepada akses untuk peluang, keterhubungan dan kualiti kehidupan yang lebih baik.

Menurut Masahiko Maeda selaku CEO Rantau Asia Toyota Motor Corporation, “Di Toyota, kami percaya untuk mencapai sasaran Mobiliti untuk Semua dan Neutraliti Karbon memerlukan lebih daripada satu penyelesaian kenderaan, tenaga dan data.

“Kami percaya masa depan mobiliti adalah milik kita untuk dicipta menerusi kerjasama, tujuan bersama dan tindakan bersama. Hasilnya, kita dapat membina ekosistem yang mampu membawa senyuman kepada rakyat di seluruh rantau Asia.

JMS 2025: Toyota rancang lebih 10 model xEV dalam masa tiga tahun untuk pasaran Asia

Toyota terus memperkukuh visi “Mobiliti untuk Semua” bagi memastikan tiada siapa yang ketinggalan di belakang menerusi pendekatan pelbagai cara (Multi-Pathway Approach) yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.

Dalam tempoh tiga tahun akan datang, Toyota merancang untuk memperkenalkan lebih 10 model berelektrik (xEV) untuk pasaran Asia.

Toyota turut mengumumkan misi “30 by 30” dengan menyasarkan jualan sebanyak 30 peratus xEV di pasaran ASEAN menjelang 2030, atau melebihi 1.5 juta unit.

Ia adalah bersamaan dengan impak terhadap alam sekitar dengan menanam 25 juta pokok atau mengurangkan emisi CO2 sebanyak 8 juta tan.

Toyota juga turut mengumumkan perancangan memulakan produksi kenderaan elektrik bateri (BEV) di Thailand dan Indonesia menjelang akhir tahun ini.

Salah satu model BEV yang dirancang itu akan dibina berdasarkan platform IMV (Innovative International Multi-Purpose Vehicle) yang menjadi asas kepada model-model popular seperti Hilux, Fortuner, Innova dan Land Cruiser FJ.

Sebut pasal Land Cruiser FJ, model Land Cruiser yang paling kompak ini akan dipasang di Thailand sebelum dieksport ke pasaran Asia.

Menerusi model Land Cruiser FJ, Toyota akan menawarkan nilai baharu dalam bentuk kebebasan dan kegembiraan (Freedom & Joy) yang boleh dinikmati pelanggan dengan cara yang tersendiri, dan dalam masa yang sama mengekalkan kebolehpercayaan, ketahanan dan prestasi off-road yang dapat memenuhi gaya hidup mereka.

Toyota, Mazda, Subaru tubuh pakatan bangunkan enjin inline-4, rotari, boxer baharu

Tiga gergasi utama Jepun, iaitu Toyota, Mazda dan Subaru mengumumkan satu pakatan baharu dalam usaha untuk mengekalkan peranan enjin pembakaran dalaman (ICE) bagi mencapai sasaran neutral karbon.

Menariknya, pakatan terbaru itu tidak akan menghasilkan satu siri enjin tunggal yang boleh dikongsi, sebaliknya setiap satu pengeluar akan memfokuskan kepada teknologi yang unik untuk setiap pihak.

 

 

Ini bermakna, Toyota akan terus kekal memperbaharui teknologi enjin empat silinder sebaris, Mazda pula akan membangunkan rangkaian kuasa rotari, sementara Subaru pula dengan enjin boxer ikonik mereka.

Selain daripada membangunkan unit hibrid generasi baharu untuk mencapai neutraliti karbon, ketiga-tiga syarikat itu juga akan memfokuskan kepada penyelesaian alternatif termasuklah bahan api sintetik (e-fuel), bahan api bio, dan cecair hidrogen yang sedang diuji oleh Toyota dalam lapangan perlumbaan – sama seperti apa yang diunjurkan oleh Toyota menerusi strategi berbilang jalan (multi-pathway) sebelum ini.

 

 

Yang pasti, enjin pembakaran dalaman generasi baharu yang akan dibangunkan itu mempunyai tahap kecekapan yang tinggi, prestasi yang lebih berkuasa, serta mampu memenuhi undang-undang pelepasan emisi yang semakin ketat untuk beberapa pasaran di seluruh dunia.

Saiz unit rangkaian kuasa baharu itu juga akan menjadi lebih kecil dan kompak bagi membenarkan model kenderaan masa hadapan mempunyai rekaan hud yang rendah, sekaligus menawarkan tahap aerodinamik yang lebih baik.

Dalam pada itu, ketiga-tiga pihak turut memperlihatkan konsep kenderaan dan enjin yang bakal direalisasikan pada masa akan datang.

 

Toyota memperlihatkan sebuah model prototaip Prius dilengkapi dengan enjin empat silinder 1.5 liter yang sedang dalam proses pembangunan, serta sebuah lagi enjin inline-4 bersesaran 2.0 liter.

 

Subaru mempamerkan sebuah Crosstrek (sebelum ini dikenali sebagai XV) yang sarat dengan pelekat samaran dan dilengkapi dengan unit rangkaian kuasa hibrid generasi berikutnya.

 

Mazda pula mempamerkan sistem hibrid rotari yang telah diperkenalkan sebelum ini menerusi model MX-30 R-EV, di mana enjin rotari tersebut hanya digunakan sebagai unit penjana kuasa (atau penambah jarak) ke atas sistem EV sedia ada.