Arkib Tag: Naza Eastern Motors

Suzuki Fronx Hybrid rasmi di Malaysia – harga RM147,888

Naza Eastern Motors secara rasmi melancarkan SUV terbaharu Suzuki Fronx Hybrid untuk pasaran tempatan, dengan harga jualan RM147,888.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Dimensi

Fronx Hybrid membawakan ukuran dimensi sepanjang 3,995 mm, lebar 1,765 mm, tinggi 1,550 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,520 mm.

Ia turut menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 170 mm, dengan ruang kargo sebesar 308 liter.

 

2. Enjin

Fronx dikuasakan oleh enjin hibrid ringan 1.5 liter (kod K15C) dengan kuasa 103 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 138 Nm @ 4,400 rpm, dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan.

Dengan tangki bahan api sebesar 37 liter, Suzuki Fronx Hybrid ini mampu bergerak sejauh 700 km (data WLTP).

 

3. Suspensi & brek

Sistem gantungan Fronx terdiri daripada topang MacPherson di depan, dibantu dengan tetapan torsion beam di belakang.

Brek pula menggunakan tetapan cakera berliang pada gandar depan, diikuti dengan brek gelendong di belakang.

 

4. Kelengkapan luaran

Secara standard, Fronx Hybrid mendapat kelengkapan seperti rel bumbung, rim 16 inci, lampu utama LED berserta lampu nyalaan siang (DRL), lampu belakang LED, skid plate pada bahagian depan, sisi dan belakang, visor pintu, serta kemasan krom pada jeriji depan.

 

5. Dalaman

Untuk ruang kabin, terdapat tempat duduk balutan fabrik/kulit, roda stereng kuasa elektrik (EPS) tiga jejari, paddle shifter, skrin infohibur sebesar 9 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, skrin paparan head-up, serta slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar.

Fronx Hybrid turut menyertakan ciri keselamatan seperti enam beg udara, ABS, EBD, kawalan jelajah adaptif (ACC), sistem pemantauan titik buta (BSM), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran keluar lorong (LDW), pengelakan keluar lorong (LDP), bantuan kekal lorong (LKA), bantuan penukaran lorong (LCA), bantuan suluhan tinggi (HBA) dan sistem kamera keliling 360 darjah.

Terdapat beberapa warna ditawarkan termasuklah Magma Gray, Pearl Snow White, Cool Black, Pearl Mellow Deep Red serta tiga warna dua tona iaitu Rising Orang/Cool Black, Ice Grayish Blue/Cool Black dan Savanna Ivory/Cool Black.

NAZA Auto buka pusat pameran mercu Suzuki Cars di Petaling Jaya

NAZA Automotive Group menerusi syarikat subsidiarinya Naza Eastern Motors secara rasmi membuka pusat pameran Suzuki Cars Malaysia bertaraf mercu yang pertama di Petaling Jaya, bersebelahan dengan NAZA Auto Mall.

Pusat pameran berkeluasan 5,000 kaki persegi itu berfungsi lebih daripada sekadar outlet jualan, ia kini menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih menyeluruh.

Selain daripada rekaan dan identiti korporat Suzuki yang terkini, pusat pameran Suzuki itu turut menyediakan kaunter servis dalam fasiliti, ruang gaya hidup, sudut kanak-kanak, serta ruang perbincangan peribadi.

Ia juga akan menjadi ruang pameran eksklusif untuk barisan model-model Suzuki yang bakal dipasarkan di Malaysia.

Menurut Pengerusi Naza Automotive Group, Dato’ Jasmy Ismail berkata, pembukaan rasmi pusat pameran ini menggambarkan visi NAZA Auto untuk memperkukuhkan perniagaan selain memperdalam penglibatannya dengan pelanggan di Malaysia.

“Ia mencerminkan penjajaran strategik kami untuk menumpukan perhatian terhadap segmen utama berimpak tinggi seperti Suzuki, yang kini kekal sebagai salah satu jenama dinamik yang paling dipercayai di dalam ruang mobiliti urban dan kompak.

“Fasiliti ini bukan sekadar mempamerkan kereta, ia adalah ruang untuk mencipta perjalanan pelanggan yang lebih bermakna dengan menawarkan nilai melangkaui produk dan memastikan Suzuki terus berkembang sebagai jenama pilihan di dalam industri automotif Malaysia yang sangat kompetitif.

Sejajar dengan pembukaan rasmi bilik pameran Suzuki Petaling Jaya, pelanggan boleh menantikan promosi pertengahan tahun eksklusif serta program kesetiaan yang direka untuk pelanggan baharu serta pemilik Suzuki sedia ada.

Suzuki Jimny 5-pintu dibuka untuk tempahan di Malaysia

NAZA Eastern Motors, pengedar sah kenderaan Suzuki di Malaysia, baru-baru ini memuat naik gambar imej teaser bagi sebuah model yang akan datang ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

Walaupun gambar puzzle yang dimuatnaik itu tidak lengkap, ia jelas menunjukkan yang kenderaan tersebut adalah Jimny 5-pintu.

Menerusi kapsyen dalam hantaran itu, Naza Eastern Motors berkata tempahan untuk model itu telah pun dibuka. Bagaimanapun, tarikh pelancaran rasminya masih belum diumumkan.

Spesifikasi untuk pasaran Malaysia juga masih belum diketahui namun jika melihat kepada spesifikasi bagi pasaran global, Jimny 5-pintu didatangkan dengan enjin petrol K15B 1.5-liter empat silinder yang menghasilkan 102 PS dan 130 Nm.

Enjin tersebut boleh didapati dengan pilihan transmisi manual dan automatik namun untuk pasaran tempatan, kami menjangkakan model ini hanya akan ditawarkan dalam versi automatik seperti model 3-pintu.

Dari segi saiz pula, sudah tentu Jimny 5-pintu lebih besar jika dibandingkan dengan versi 3-pintu. Ia mempunyai ukuran panjang 3,985 mm dan jarak roda 2,590 mm, iaitu 340 mm lebih panjang berbanding adiknya itu.

Ukuran lebar, tinggi dan jarak lega tanah (ground clearance) semuanya kekal pada 1,645 mm, 1,720 mm dan 210 mm.

Bagaimanapun, dengan badan yang lebih panjang, sudut pendekatan Jimny 5-pintu berkurang dari 37 kepada 36 darjah, begitu juga dengan sudut breakover yang turut berkurang dari 28 kepada 24 darjah.

Namun begitu, ukuran dimensi yang lebih besar memberikan Jimny 5-pintu ruang but yang lebih besar iaitu 211 liter (berbanding 85 liter di dalam Jimny 3-pintu) dan ruang kaki penumpang belakang yang lebih luas.

Harga jualan juga masih belum didedahkan namun sudah tentu ia lebih mahal berbanding versi 3-pintu yang dijual pada harga bermula dari RM168,900 untuk Rainforest Edition.

Pusat 3S Suzuki dibuka di Johor Bahru, tampilkan Lifestyle Corner pertama

NAZA Eastern Motors – pengedar tunggal kenderaan Suzuki di Malaysia – baru-baru ini merasmikan pembukaan pusat 3S pertama mereka di Johor, di lokasi strategik di Permas Jaya.

Ia merupakan 3S kedua di negara ini selepas bilik pameran Petaling Jaya yang dibuka pada 2021, sekaligus mengukuhkan misi dan komitmen jenama itu di Malaysia.

Pusat 3S ini mempunyai keluasan 7,252 kaki per segi, mampu memuatkan enam kereta di ruang pameran serta mempunyai kapasiti servis untuk 12 kenderaan sehari.

Bilik pameran baharu ini juga buat pertama kali diperkenalkan dengan Suzuki Lifestyle Corner, suatu ruang khas yang menawarkan pelbagai aksesori dan koleksi jenama Suzuki, kesemuanya boleh dibeli.

Serentak dengan pembukaan ini juga, Naza melancarkan Suzuki Swift Sport Silver Edition dengan keluaran terhad, berharga RM145,900.

Mohamad Irwan Shahril, Ketua Pegawai Operasi Naza Eastern Motors berkata, “Pusat 3S di Permas Jaya dijangka menjadi ‘rumah kedua’ untuk Suzuki Cars Family di Johor, membawakan suasana bilik pameran kami di Petaling Jaya.”

Suzuki Swift Sport Silver Edition dilancarkan – jumlah terhad, harga dari RM145,900

NAZA Eastern Motors telah melancarkan Suzuki Swift Sport Silver Edition ke pasaran tempatan. Model edisi terhad ini dilancarkan bersempena dengan pembukaan pusat 3S pertama Suzuki di Johor baru-baru ini.

Diimport sepenuhnya dari Jepun, Swift Sport Silver Edition tampil dalam warna Premium Metallic Silver yang diserlahkan lagi jalur perlumbaan pada bahagian hud dan sisi, perincian merah pada gril dan bampar belakang, serta rim dua tona.

 

Bukan itu sahaja, ia juga didatangkan dengan kemasan gentian karbon pada cermin sisi, pemegang pintu belakang dan spoiler, serta muncung ekzos gentian karbon keluaran Akrapovic untuk bunyi yang lebih garang.

Tidak cukup dengan itu, kemasan gentian karbon turut digunakan pada panel instrumen, suis pendingin hawa dan pintu, sekali gus menaikkan lagi suasana sporty di dalam kabin.

Terdapat juga sistem infohibur Soundstream yang boleh diakses menerusi skrin sentuh berukuran 10 inci yang turut menyokong Android Auto dan Apple CarPlay.

Seperti versi standard, Swift Sport Silver Edition dikuasakan oleh enjin Boosterjet 1.4-liter yang mampu menghasilkan 140 hp dan 230 Nm pada 2,500 rpm. Masih tiada pilihan transmisi manual, hanya automatik enam kelajuan dengan paddle shifter ditawarkan.

Swift Sport dibina menggunakan platform Heartect yang memfokuskan kepada keselamatan dengan bahagian underbody yang diperkukuhkan. Menurut Suzuki, model ini 80 kg lebih ringan berbanding sebelum ini, memberikannya nisbah tork-berat sebanyak 4.2 kg/Nm.

Menurut Naza Easter Motors, Swift Sport Silver Edition akan ditawarkan dalam jumlah yang terhad dan hanya boleh didapati di Malaysia. Harga jualannya bermula dari RM145,900 tidak termasuk insurans.

Suzuki Jimny Rhino Edition dilancarkan di Malaysia – 30 unit sahaja, RM175k

NAZA Eastern Motors Sdn Bhd, pengedar rasmi kereta Suzuki di Malaysia, telah melancarkan Suzuki Jimny Rhino Edition yang ditawarkan dalam bilangan yang terhad iaitu 30 unit sahaja.

Dengan harga jualan bermula dari RM174,900, Jimnya Rhino Edition didatangkan dalam satu warna sahaja iaitu Pure Pearl White. Warna ini dipadankan dengan grafik berwarna merah, kelabu dan hitam, serta tulisan “Real Offroader” pada bahagian sisi.

Selain itu, model ini juga tampil dengan logo ikonik Rhino sebagai penghormatan kepada Jimny generasi kedua (siri SJ) yang diperkenalkan buat pertama kali pada 1981.

Sebagai pelengkap pakej, Jimny Rhino Edition turut mendapat gril Suzuki Heritage, kemasan krom pada cermin sisi, under garnish pada bahagian sisi dan bampar depan, pelindung lumpur berwarna merah serta penutup tayar ganti belakang lengkap dengan logo Rhino.

Turut disertakan untuk memberi perlindungan tambahan adalah pelindungan differential depan dan belakang, serta penghadang hujan dan angin.

Walaupun Jimny Rhino Edition ini terhad kepada 30 unit sahaja, pemilik Jimny sedia ada yang mahukan penampilan agresif yang sama boleh mendapatkan kit Rhino Edition pada harga RM15,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza Automotive, Mohd Rizal Jailan berkata, “Inisiatif ini mempamerkan komitmen kami untuk meningkatkan pengalaman pemilikan dimana kesemua pelanggan kami mendapat peluang untuk memberi sentuhan peribadi kepada kenderaan mereka mengikut citarasa mereka.”

Jimny Rhino Edition kini boleh didapati di bilik pameran Suzuki Cars di Naza Automall, Petaling Jaya. Untuk maklumat lanjut mengenai Suzuki Jimny edisi Rhino atau  menempah sesi pandu uji, sila hubungi wakil Naza Eastern Motors di talian +6010 274 4480 (Faiz) atau +60 12 584 0068 (Khairul).