Arkib Tag: naik taraf

Ford hasilkan Mustang EcoBoost yang lebih mesra kaki drift

Terdapat beberapa varian berprestasi tinggi telah pun dihasilkan oleh Ford menggunakan asas Mustang generasi ketujuh seperti Dark Horse dan GTD.

Kini, sebuah lagi varian dilancarkan untuk golongan peminat tanpa perlu risau akan kekangan bajet, iaitu Mustang EcoBoost RTR Package.

Dengan pakej naik taraf daripada RTR, Mustang EcoBoost kini lebih berkeupayaan sebagai sebuah jentera drift yang sebenar.

Antaranya ialah pakej brek Brembo daripada GT Performance Package yang terdiri daripada angkup enam omboh di depan dan empat omboh di belakang.

Selain itu, subrangka belakang daripada model Dark Horse turut diambil, diikuti dengan sway bar depan dan belakang untuk casis yang lebih tegar.

Ciri lain termasuklah gear stereng yang telah dioptimasikan, talaan baharu kepada sistem kawalan kesatbilan, peredam MagneRide, Electronic Drift Brake serta sistem ekzos berprestasi yang lengkap dengan empat tip.

Naik taraf visual pula merangkumi muncung bercahaya, jeriji serta logo RTR, muka hadapan daripada model GT, spoiler GT Performance Pack di belakang, serta kemasan Tarnished Dark Anodized.

Akhir sekali, terdapat pakej warna Hyper Lime yang dikhususkan untuk menggantikan warna hitam pada angkup brek Brembo, diikuti dengan kemasan jahitan pada ruang kabin.

Ford Mustang EcoBoost tidak didatangkan dengan naik taraf kuasa, bermakna ia masih kekal dengan enjin empat silinder sebaris 2.3 liter turbo menghasilkan 315 hp dan 475 Nm.

Walaupun hanya ditawarkan dengan transmisi automatik 10-kelajuan, ia tetap hadir dengan pakej sistem anti-lag RTR yang diambil daripada jentera lumba GT.

Harga jualan tidak didedahkan secara rasmi buat masa ini.

Aveta Malaysia umum naik taraf Ranger Max Explorer – harga dari RM6,988

Aveta Malaysia mengumumkan kemas kini penawaran bagi model cub kembara Ranger Max Explorer untuk model tahun 2025.

Sejak dilancarkan dua tahun lepas, Ranger Max Explorer mendapat sambutan hebat hasil daripada reka bentuk retro moden, serta kemampuan untuk menawan laluan urban dan denai off-road.

Berdasarkan kejayaan model tersebut, Ranger Max Explorer 2025 kini diberikan penambahbaikan, seperti contoh brek cakera depan dan belakang, reka bentuk mudguard dan pelapik fender baharu, serta rekaan bar hendal lengkap dengan butang pemegang, grip dan balancer tambahan.

Kerangka T-bone juga kini lebih kukuh dan mengekalkan struktur yang ringan – dalam masa yang sama mengekalkan kestabilan dan kawalan seperti model terdahulu.

Jarak kelegaan tanah juga kini setinggi 190 mm atau 10 mm lebih tinggi untuk memudahkan tunggangan di laluan off-road.

Beberapa komponen lain turut diberikan tumpuan seperti penyerap hentakan, pendawaian, meter kelajuan, kabel pendikit, lengan ayun, tempat pemijak kaki pembonceng, topang utama dan pam bahan api yang lebih moden.

Disebalik naik taraf ini, berat Ranger Max Explorer kekal 115 kg.

Terdapat dua varian yang ditawarkan di Malaysia. Varian Standard hadir dengan warna Iron Grey, rim jejari 18 inci depan dan 16 inci belakang, serta harga jualan bermula dari RM6,988.

Varian Special Edition (SE) pula mendapat warna eksklusif Storm Blue, rim sport dua tona 17 inci, tayar tanpa tiub, pelindung ekzos bergaya serta harga jualan RM7,188.

Bersempena dengan pelancaran model yang dinaiktaraf ini, Aveta menawarkan kotak storan belakang berkapasiti 36 liter bernilai RM599 untuk 25 orang pelanggan pertama.

Aveta Ranger Max Explorer dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 127 cc sejukan udara dengan hamburan kuasa 10 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 10.5 Nm @ 5,500 rpm yang dipadankan dengan transmisi manual empat-kelajuan.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan, dibantu dengan penyerap hentak berkembar berserta tangki gas di belakang.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 8.5 liter, sementara tinggi pelana pula sekitar 770 mm.

Antara ciri lain termasuklah paparan meter digital, sistem lampu LED, serta kehadiran rak barang di depan, tengah dan belakang.

 

Leapmotor C10 2025 hadir dengan naik taraf kelengkapan, harga dari RM125,000

Leapmotor Malaysia mengemas kini spesifikasi SUV elektrik Leapmotor C10 untuk model tahun 2025.

Untuk penawaran terbaharu ini, Leapmotor C10 telah ditambah baik dengan keupayaan pengecasan AC 11 kW bagi menggantikan unit 6.6 kW terdahulu.

Penambahbaikan ini mampu memendekkan tempoh masa pengecasan bateri (30 hingga 80 peratus SoC) dari enam jam kepada empat jam sahaja.

Antara ciri lain yang disediakan termasuklah sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) masa nyata, kit pam tayar bermotor, serta upholsteri hitam menggantikan kemasan warna Midnight Aurora untuk ruang kabin.

Bagi model berwarna Glazed Green pula, kemasan kabin warna Criollo Brown pula telah digantikan dengan warna Camel Brown.

Ruang kabin Leapmotor C10 masih lagi mengekalkan penggunaan bahan upholsteri tekstil silikon mesra bayi OEKO-Tex Standard 100®.

Dari segi spesifikasi, Leapmotor C10 masih lagi dikuasakan oleh motor elektrik 214 hp dan pek bateri 69.9 kWh yang menawarkan jarak gerak sejauh 424 km (mengikut data WLTP).

Harga jualan turut dikemas kini, di mana Leapmotor C10 2025 boleh didapati pada harga serendah RM125,000, lebih murah berbanding penawaran terdahulu (dari RM159,000).

Setiap model didatangkan dengan jaminan menyeluruh enam-tahun (empat-tahun + lanjutan jaminan dua-tahun) atau had perbatuan 150,000 km, serta jaminan bateri lapan-tahun atau had perbatuan 160,000 km yang mana tiba dahulu.

JKR naik taraf Persimpangan FT29/FT32 Kota Warisan atasi masalah banjir

Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia memaklumkan penutupan sementara laluan persimpangan FT29/FT32 (Kota Warisan-Bandar Baru Salak Tinggi-KLIA) bermula 24 Februari hingga 10 Disember 2025.

Penutupan laluan tersebut adalah untuk pembinaan jalan baharu empat lorong sepanjang 1.2 km, menaik taraf persimpangan lampu isyarat, serta menyiapkan baki kerja jambatan merentasi Sungai Labu.

Untuk menangani masalah banjir yang kerap melanda kawasan tersebut, laluan sedia ada sepanjang 250 m dari Persimpangan Persekutuan FT29/FT32 menghala ke BBST dan KLIA, serta laluan 150 m menghala ke Kota Warisan akan dinaik taraf.

 

Menurut JKR, kerja-kerja naik taraf akan dilakukan secara berfasa, di mana laluan membelok ke kanan di Persimpangan Kiwa akan ditutup sepenuhnya sepanjang tempoh tersebut.

Ini bermakna, pengguna dari arah BBST ke Kota Warisan perlu mengikut laluan alternatif di persimpangan lampu isyarat selepas IPD Sepang ke persimpangan Pasaraya KIPMall.

Manakala pengguna dari Putrajaya dan Kota Warisan ke KLIA perlu menggunakan Persimpangan Tol Bandar Serenia.

Para pengguna dinasihatkan supaya mengikut arahan papan tanda keselamatan serta pihak berkuasa dari semasa ke semasa.