Arkib Tag: nahas

Nahas helikopter TLDM: Fennec tidak berada dalam laluan ditetapkan

PESAWAT Fennec tidak berada pada ketinggian dan laluan ditetapkan menjadi faktor utama nahas helikopter yang berlaku di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pada 23 April lalu.

Gambar oleh: Air Times News Network

Perkara itu dinyatakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abd Rahman Ayob dalam satu sidang media di KD Sri Gombak, hari ini.

Menurut beliau, lembaga siasatan telah membuat kesimpulan bahawa pesawat tersebut telah memasuki laluan helikopter AW-139 HOM.

“Faktor sekunder (kedua) yang disimpulkan oleh lembaga siasatan ialah channelised attention oleh kru AW-139 yang tertumpu ke arah penukaran Haluan.

“Ini telah menghadkan reaksi mengelak pelanggaran,” katanya.

Gambar oleh: Air Times News Network

Beliau menambah, Laporan Akhir ini adalah selari dengan Laporan Awal yang dikeluarkan pada 9 Mei 2024 lalu.

Dalam tragedi pada 23 April lepas, dua helikopter TLDM bertembung di ruang udara Pangkalan Lumut semasa formasi penerbangan raptai lintas hormat.

Pertembungan antara pesawat Fennec dan AW-139 HOM itu mengorbankan 10 orang yang berada dalam kedua-dua pesawat terbabit.

Dua helikopter TLDM terhempas ketika formasi raptai, 10 maut

Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dalam nahas membabitkan pertembungan dua helikopter di ruang udara Pangkalan TLDM, Lumut sebentar tadi.

Menurut laporan Berita Harian, dua helikopter terdiri daripada model HOM dan Fennec itu berlepas dari Padang Setiawan jam 9.03 pagi, sebelum dipercayai bertembung semasa formasi penerbangan raptai lintas hormat.

Difahamkan, tujuh orang kru serta tiga penumpang maut.

Ketika kejadian, pesawat HOM membawa empat orang kru dengan tiga penumpang, manakala Fennec pula membawa tiga kru.

 

Beechcraft Model 390 (Premier I) – Ini info ringkas jet peribadi ringan terhempas di Elmina

Selain kereta dan motosikal, kami juga pesawat sama ada jet peribadi, jet pejuang, kapal terbang komersil, atau helikopter. Kesemuanya mempunyai enjin, dan kita sebagai lelaki juga cenderung tertarik kepada jentera-jentera sebegini, bukan?

Kebanyakan pesawat juga mempunyai tahap kejuruteraan dan teknologi tinggi sama ada dari segi rekabentuk, avionik, atau sistem yang digunakan.

Kali ini kita hendak bercerita mengenai Beechcraft Model 390 (Premier I). Ia sebuah jet ringan yang direka untuk bersaing dengan pesawat seperti Cessna CitationJet, Bombardier Learjet 45, dan Embraer Phenom 300.

Beechcraft Premier I mula direka bentuk pada 1994 dan dilancarkan pada September 1995 semasa acara National Business Aviation Association Convention. Penerbangan pertama dibuat pada Disember 1998. Kemudian pada September 2005, varian baharu Premier IA dikeluarkan.

Beechcraft Premier I biasa dioperasikan oleh dua krew, tetapi juga boleh diterbangkan oleh seorang krew. Ia mampu memuatkan enam atau tujuh penumpang. Dari segi dimensi, ia mempunyai panjang 14.02 meter, tinggi 4.67 meter, dan lebar sayap 13.56 meter.

Berat kosong ialah sekitar 3,901kg tetapi berat maksima semasa berlepas ialah 5,670kg dengan kapasiti bahan api 1,665kg dan muatan 635kg.

Beechcraft Premier I dikuasakan oleh dua unit enjin turbofan Williams FJ44-2A dengan tujahan 2,300 pound setiap satu. Ini memberikannya jarak penerbangan sehingga 1,530km dan kelajuan maksima 461 knot (853km/j).

Tetapi kelajuan meluncur adalah sekitar 426 knot (788km/j) dan untuk lebih penjimatan bahan api, ia akan meluncur pada 370 knot (685km/j).

Dengan kuasa dan saiz yang kompak juga, jet ini mampu mendaki dengan kadar 4,000 kaki seminit, berlepas dengan landasan sependek 1,156 meter dan mendarat dengan jarak 968 meter.

Premier I dibina dari bahan komposit yang kuat, dengan struktur honeycomb epoxy dan gentian karbon. Premier IA merupakan varian baharu dengan kabin direka semula dan sistem yang ditambah baik.

Pesawat Beechcraft Premier I juga tidak asing di Malaysia, tetapi unit yang digunakan dalam kemalangan di Elmina dioperasikan oleh Jetvalet Sdn Bhd. Syarikat itu merupakan sebahagian dari kumpulan Koperasi Amanah Pelaburan Berhad (KAPB).

Selain Beechcraft Premier I, mereka juga menawarkan sewaan Hawker 4000 yang lebih besar dan mampu memuatkan sehingga 12 penumpang tidak termasuk dua krew.

Helikopter terhempas: juruterbang disahkan maut

JURUTERBANG helikopter yang dilaporkan hilang di Bidor selepas terputus hubungan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Mangsa dikenali sebagai Kapten Zee Khin Richard Chan, berusia 58 tahun dan merupakan warga negara Hong Kong. Mangsa ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira pukul 9.30 pagi di Hutan Simpan Chikus.

Gambar BERNAMA

Menurut Bernama, mayat dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat selepas diterbangkan dari lokasi kejadian menggunakan sebuah helikopter.

Awal hari ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata bahawa juruterbang tersebut ditemui selamat di lokasi nahas sekitar Bidor, pada jam 8.20 pagi.

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, Ka Siong berkata pasukan penyelamat sedang berusaha untuk membawa juruterbang tersebut ke Hospital Ipoh untuk menerima rawatan.

Sumber gambar: Media sosial

Semalam Wee dilaporkan berkata pesawat jenis Eurocopter milik persendirian itu terputus hubungan dengan KLATCC pada 12.16 tengah hari sebelum ia dilaporkan hilang oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Lokasi terakhir pesawat itu yang diketahui ialah kawasan hutan berhampiran Bidor.

Ia berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada 11.37 pagi semalam dan sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak pada 12.37 tengah hari.