UMT Toyota Motor (UMWT) hari ini secara rasmi melancarkan MPV mewah Toyota Vellfire 2.5 HEV Executive Lounge untuk pasaran Malaysia.
Vellfire HEV digerakkan oleh sistem hibrid pengecasan kendiri terdiri daripada enjin Dynamic Force 2.5 liter (kod A25A-FXS) berkuasa 187 PS/233 Nm dipadankan dengan motor elektrik 182 PS/270 Nm dan transmisi e-CVT.
Secara keseluruhan, sistem HEV ini mampu menjana kuasa setinggi 250 PS, atau 37 peratus lebih berkuasa berbanding model 2.5 liter standard.
Kadar penggunaan bahan api pula adalah serendah 5.7 liter/100 km di mana Vellfire HEV boleh mencapai jarak pemanduan sehingga 1,000 km dengan tangki bahan api sebesar 60 liter.
Selain mod pemanduan Eco dan Normal, Vellfire HEV turut menawarkan mod EV untuk pemanduan sifar emisi pada jarak dekat tanpa menggunakan setitik petrol.
Selari dengan falsafah hospitaliti Jepun (omotenashi), Vellfire HEV menawarkan keselesaan yang tersendiri.
Tempat duduk VIP Executive Lounge menawarkan larasan kuasa, sistem pengudaraan, serta fungsi urut dan ottoman yang boleh dikawal menerusi panel skrin sentuh.
Antara ciri lain termasuklah meja boleh lipat, tempat perehat tangan yang lebih besar, fungsi anti-gegaran, balutan kulit Nappa, sistem pencahayaan suasana 64-warna, skrin belakang sebesar 14 inci dan sistem audio JBL dengan 15 pembesar suara.
Dari segi keselamatan pula, Vellfire HEV menawarkan pakej Toyota Safety Sense 3.0 merangkumi fungsi seperti Sistem Pra-Pelanggaran (PCS), Amaran Keluar Lorong (LDA), Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC) dengan Bantuan Pengesan Lorong (LTA), Sistem Suluhan Tinggi Adaptif (AHS), Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) dan Sokongan Brek Parkir (PKSB).
Terdapat tiga warna ditawarkan untuk Vellfire HEV, iaitu Platinum White Pearl, Precious Metal dan hitam yang boleh dipadankan dengan kemasan dalaman hitam atau Sunset Brown.
Selain Vellfire HEV, pengguna masih boleh mendapatkan Vellfire dengan enjin 2.5 liter (kod 2AR-FE) dengan janaan kuasa 182 PS dan 235 Nm yang dipadankan dengan transmisi Super CVT-i 7-kelajuan.
Vellfire 2.5 didatangkan dengan ciri seperti bahan kulit sintetik, tempat duduk Executive tanpa panel kawalan, tiada sistem Rear Seat Enterntainment dan tiada skrin paparan head-up (HUD).
Harga jualan adalah seperti berikut:
- Toyota Vellfire 2.5 – RM448,000
- Toyota Vellfire 2.5 HEV Executive Lounge – RM549,900
