Arkib Tag: motosikal elektrik

GGR Motor bakal lancar motosikal elektrik hujung bulan ini menerusi inisiatif ‘Go Green Revolution’

GGR Motor, sebuah syarikat automotif tempatan bakal melancarkan model motosikal elektrik untuk pasaran Malaysia menerusi inisiatif ‘Go Green Revolution’.

Majlis pelancaran rasmi akan berlangsung pada 28 Jun ini bertempat di Saloma Kuala Lumpur, dengan Perniagaan Mazlan & Hashimah (PMH Motor) Sdn Bhd selaku Rakan Strategik Eksklusif merangkap pengedar sah utama.

Menurut Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi berkata, pelancaran ini merupakan langkah permulaan ke arah memperluaskan penggunaan motosikal elektrik dalam kalangan masyarakat.

Selain daripada sesi pelancaran dan pameran, ia juga akan dimeriahkan dengan aktiviti waktu malam seperti persembahan komuniti, acara tunggang uji, cabutan bertuah, serta akviti santai bersama pencinta EV.

Antara artis yang bakal memeriahkan suasana adalah Johan, Cat Farish, Farid Kamil, Ajak Shiro dan Nabil Ahmad.

“Saya percaya apabila artis sendiri menggunakan EV, ia memberikan impak lebih besar dari segi capaian dan kesedaran awam,” katanya.

Selain itu, GGR Motor turut mengumumkan penajaan dua unit e-bike Lion G1 (bernilai RM2,054 setiap satu) sebagai hadiah cabutan bertuah untuk pengunjung konsert Aku Muzik Kami (AMK Indie 2025) yang akan berlangsung pada 26-27 Julai di Sepang.

“Penajaan ini sebahagian daripada usaha kami untuk memberikan manfaat kepada rakan-rakan serta menyemai semangat perubahan ke arah penggunaan kenderaan elektrik,” katanya.

Mengikut spesifikasi, Lion G1 dikuasakan oleh motor elektrik tunggal dengan kuasa 4 hp (3 kW) dan daya kilas 140 Nm yang dipadankan dengan pek bateri graphene 32 Ah 72 V yang menawarkan jarak gerak sejauh 120 km, dan kelajuan maksimum 70 km/j.

Boon Siew Honda pamer dua konsep motosikal elektrik di Malaysia Autoshow 2025

Selain daripada mempamerkan barisan model terkini, Boon Siew Honda turut mempertontonkan dua buah motosikal konsep di Malaysia Autoshow 2025.

Model yang dimaksudkan itu ialah Honda EV Fun Concept, sebuah jentera naked berkuasa elektrik dan skuter maxi elektrik Honda EV Urban Concept.

Kedua-dua model ini telah pun dipamerkan di acara pameran motosikal antarabangsa EICMA bertempat di Milan, Itali pada bulan November tahun lepas.

 

Honda EV Fun Concept

Ia disifatkan sebagai motosikal sports, menawarkan pengalaman tunggangan yang beremosi dan dalam masa yang sama, senyap!

Jentera naked ini membawakan binaan kerangka badan yang ramping untuk tunggangan yang lebih lincah. Kehadiran sirip pada bahagian kiri dan kanan juga dilihat menyumbang kepada aspek pengendalian yang lebih baik.

Penggunaan trenkuasa elektrik pula melenyapkan unsur gegaran dan haba yang kerap menghantui penunggang motosikal.

Sistem bateri kekal dan pengecasan serasi CCS2 pula menawarkan pengalaman penggunaan yang tidak asing untuk pemilik EV sedia ada.

Menurut Honda, EV Fun Concept ini menawarkan jarak tunggangan melebihi 100 km, selain menyokong pengecasan pantas 30 minit untuk bateri mencapai 80 peratus SoC.

Honda EV Fun Concept ini dijadualkan penjualannya pada tahun 2025.

 

Honda EV Urban Concept

Ini pula sebuah skuter maxi berkuasa elektrik yang menggambarkan visi Honda terhadap mobiliti elektrik urban yang sebenar.

Sama seperti Fun Concept, EV Urban Concept ini memiliki binaan badan yang ramping, namun dengan perkadaran yang lebih muskular terima kasih kepada penggunaan rim 15 inci depan dan 16 inci di belakang, serta tayar yang lebar.

Ia juga turut mempunyai struktur penghadang angin, cermin sisi pada penghujung bar hendal, kemasan warna tembaga, dan sistem pacuan akhir menggunakan tali sawat.

Buat masa ini, tiada sebarang perincian spesifikasi mahupun tarikh pelancaran diumumkan oleh pihak Honda.

 

Syarikat Jepun hasilkan motosikal elektrik yang diinspirasi daripada anime ‘Akira’

Sekali imbas, anda mungkin akan menyangka ia sebuah motosikal futuristik daripada animasi Akira tahun 1988 yang direalisasikan dalam dunia nyata.

Yang sebetulnya, motosikal ini dihasilkan oleh firma rekaan daripada Jepun, Ichiban dengan mengambil inspirasi daripada motosikal fiksyen yang disebutkan tadi.

Tidak seperti motosikal fiksyen Akira, jentera dua roda Ichiban ini membawakan pendekatan yang lebih minimalis.

Selain panel badan dan penutup ruang ‘enjin’ yang bersegi, ia juga menampilkan bar hendal yang agak ringkas, lengkap dengan skrin paparan digital dengan animasi seakan permainan video era 80-an.

Ia juga turut dilengkapi dengan unit lampu utama LED berbentuk seakan pil, serta lampu belakang dengan grafik garisan melintang yang bertindih.

Akhir sekali, motosikal Ichiban ini dilayangkan dengan skema warna dua tona merah putih – sekali lagi mengingatkan kita pada motosikal daripada anime Akira.

Berdasarkan info di laman web rasmi, motosikal Ichiban ini dikuasakan oleh dua motor elektrik 6.7 hp, dengan pecutan 0-100 km/j dalam tempoh masa 3.5 saat, dan jarak tunggangan sejauh 250 km.

Menariknya, terdapat mod “Godzilla” yang membenarkan anda mengekalkan kelajuan 100 km/j dalam tempoh 10 saat.

Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah sistem brek anti-kunci (ABS) dan juga kawalan cengkaman.

Harus diingatkan, jentera dua roda elektrik Ichiban ini masih lagi merupakan sebuah model konsep, namun besar kemungkinan ia akan memasuki fasa produksi prototaip sebelum dijual kepada umum.

Kurang permintaan, BMW Motorrad tak cadang tambah model elektrik

BMW merupakan antara pengeluar trenkuasa elektrik bagi kenderaan empat dan dua roda. 

BMW i8 antara kereta elektrik berprestasi tinggi terawal yang menembusi pasaran dunia sejak diperkenalkan sekitar 10 tahun lalu. 

Bagaimanapun, ketika kereta elektrik BMW berjaya mendapat tempat dikalangan pengguna serata dunia lain pula kisahnya bagi model dua roda. 

Ketika ini BMW menawarkan CE 02 dan CE 04 untuk pasaran global termasuk di Malaysia. Namun, kedua-duanya motosikal elektrik berkonsepkan skuter dan lebih memfokuskan ke arah penggunaan yang praktikal. 

Persoalannya, adakah BMW berminat untuk menghasilkan motosikal elektrik berprestasi tinggi seperti ditawarkan untuk segmen empat roda? Menurut Ketua Pegawai Eksekutif BMW Motorrad, Markus Flasch, jawapannya tidak. 

“Kami mendengar permintaan pelanggan kami dan meninjau pesaingan dalam pasaran motosikal elektrik.

“Selepas mengambil kira dua faktor ini kami mencapai keputusan bahawa tiada keperluan untuk kami menghasilkan motosikal elektrik berkuasa tinggi dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini,” jelasnya. 

Ini bermakna, BMW CE 02 dan CE 04 akan kekal sebagai motosikal elektrik yang ditawarkan BMW Motorrad untuk pasaran global. 

Arc Motorcycle umum jatuh bankrap

Walaupun Arc Motorcycle berjaya menjadi topik perbualan ramai dalam tempoh dua tahun ini terutamanya menerusi motosikal elektrik Vector namun senario itu tak cukup untuk menyelamatkan jenama tersebut dari kecundang. 

Terbaru, Arc Motorcycles telah pun memfailkan muflis setelah gagal menyelesaikan masalah pengedaran di Amerika Syarikat sekaligus memberi impak pada aliran pendapatan. 

Arc Motorcycle menerusi pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mark Truman kemudian terpaksa mencari pelaburan baharu untuk terus beroperasi namun gagal. 

“Pada awalnya segala berjalan dengan baik namun isu pengedaran di AS benar-benar memberi kesan dan memaksa kami mencari pelaburan baharu. 

“Kami telah lakukan segala yang termampu termasuk melaburkan duit saya dan isteri untuk menghalang perkara ini dari berlaku,” jelasnya. 

Pada masa sama, penjualan motosikal juga tidak membantu apatah lagi model utama sepert Arc Vector dijual pada harga USD120,000 (RM576k). Harga tersebut meletakkan Arc Vector sebagai motosikal elektrik yang ditujukan khas untuk golongan mewah sahaja. 

Untuk rekod, Arc Motorcycles berjaya jual 11 unit Arc Vector dengan kesemuanya dibeli pelanggan berprofil tinggi (salah satunya bintang Deadpool, Ryan Reynolds). 

Felo TOOZ dilancarkan di Thailand – tawar jarak pergerakan 720km

Jenama motosikal elektrik dari China, Felo telah melancarkan TOOZ ketika di Bangkok International Motor Show yang berlangsung ketika ini.

Ditawarkan sebagai motosikal kembara (tourer), Felo TOOZ ini hadir dengan reka bentuk yang besar mirip Honda GL1800 Goldwing. 

Rupa bentuk yang besar itu berpunca daripada penggunaan bateri yang lebih besar. Menurut Felo, TOOZ ini menawarkan jarak pergerakan 720 kilometer di samping mampu mencapai kelajuan maksima sekitar 200km/j. 

Berdasarkan angka itu, tidak hairanlah TOOZ ini bersaiz besar bagi memuatkan kapasiti bateri yang agak besar. 

Selain itu, turut mencuri tumpuan adalah kelengkapan yang ditawarkan termasuk panel meter TFT 12-inci dan sistem pembesar suara 6-saluran. 

Menurut Felo, panel meter TFT itu (selain boleh disambungkan ke telefon pintar) turut menawarkan fungsi navigasi dan sistem kamera 360-darjah. Selain itu, turut ditawarkan fungsi TPMS, ABS dan sistem ‘traction control’. 

Felo TOOZ ini juga menyokong pengecasan TYPE2 (hanya memerlukan masa 20 minit untuk cas dari 20 hingga 80 peratus). Felo turut menawarkan ‘cooling box’ berkapasiti 8-liter yang boleh dipasang pada salah satu ‘panniers’.

 

Tidak cukup dengan itu, TOOZ juga menawarkan teknologi V2L yang bermakna anda boleh menggunakan bateri pada motosikal tersebut untuk menyalur kuasa pada kelengkapan elektrik lain. 

Berdasarkan info dikongsikan, kami jangkakan bateri yang diguna pakai adalah cukup berkuasa meskipun tidak dinyatakan secara spesifik. 

Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik terima lebih 20,000 permohonan

SKIM Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiicas), yang dilancarkan secara rasmi pada Disember tahun lalu, telah menerima lebih 20,000 pendaftaran.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Azrul Reza Aziz, daripada jumah itu, 2,000 permohonan telah diluluskan sekali gus melayakkan pemohon menerima rebat tunai berjumlah RM2,400.

Azrul Reza berkata, rebat tunai itu boleh dimanfaatkan untuk tujuan pembelian atau langganan motosikal elektrik.

“Motosikal yang ada model setakat ini, kita telah luluskan lebih kurang 12 model tetapi kalau pemohon nak lihat boleh pergi ke insentif.marii.my untuk melihat lebih lanjut tentang motosikal yang ada dan juga setiap spesifikasi,” kata beliau.

Mengulas jumlah pendaftaran menggalakkan, jelasnya ia menandakan minat rakyat yang semakin meningkat terhadap kenderaan elektrik (EV).

Selain didorong pemberian pelbagai insentif di bawah Belanjawan 2024, ia turut disokong kerjasama agensi awam dan swasta dalam mengukuhkan ekosistem EV negara.

“Kita boleh tengok dari segi syarikat-syarikat pengeluar pun, banyak membuat kolaborasi atau kerjasama dengan pelbagai syarikat lain. Saya bagi contoh macam ryde EV, dia bekerjasama dengan CelcomDigi untuk membolehkan pembeli melanggan melalui CelcomDigi. Selain rydeEV, kita ada Blueshark bersama dengan Maxis,” tambahnya.

MARiicas menyasarkan tawaran rebat bagi 8,300 unit motosikal elektrik. Tempoh permohonannya akan dibuka sehingga 31 Disember ini.

Permohonan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik dibuka hari ini

SKIM Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2024 telah dilancarkan secara rasmi hari ini.

Menerusi skim ini, rakyat dengan pendapatan tahunan RM120,000 ke bawah akan menikmati rebat bernilai sehingga RM2,400 apabila mereka membeli motosikal elektrik.

Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik diperkenalkan semasa pembentangan Belanjawan 2024 bagi untuk meningkatkan penggunaan motosikal elektrik di negara ini.

Sehubungan itu, kerajaan melancarkan skim yang dikenali sebagai “MARiiCas” yang dikelolakan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bagi menggalakkan rakyat membeli motosikal elektrik.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan rebat tersebut boleh membuat pendaftaran menerusi laman web MARiiCas.

Menurut laman web tersebut, terdapat lapan jenama motosikal elektrik yang terlibat dalam skim MARiiCas iaitu Legatus, Eclimo, Ebixon, Blueshark, Treelektrik, Modenas, Superlux dan RydeEV.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, “Saya nasihatkan semua rakyat Malaysia untuk mengambil peluang ini sekiranya berniat untuk membeli motosikal elektrik.

“Sekiranya ingin membeli, kerajaan akan sokong dengan memberi subsidi tunai,” katanya.

Permohonan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik dibuka Disember

KERAJAAN akan membuka permohonan program Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik kepada rakyat pada Disember ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, skim ini akan dibuka kepada rakyat yang berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah dengan pemberian rebat sehingga RM2,400 kepada pembeli.

Skim berkenaan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober lalu untuk menggalakkan orang ramai menggunakan motosikal elektrik di negara ini.

Beliau berkata kerajaan juga mengalu-alukan pelaburan melebihi RM170 juta oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB), Gentari Sdn Bhd dan Tesla Malaysia untuk memasang 180 stesen pengecasan kenderaan elektrik.

“Bagi menterjemah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), kerajaan menyediakan Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga Negara berjumlah RM2 bilion,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi bacaan kali kedua di persidangan Dewan Negara, pada Rabu.

Belanjawan 2024: Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik diperkenalkan

Kerajaan telah memperkenalkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik dalam usahanya untuk menggalakkan orang ramai menggunakan motosikal elektrik di negara ini.

Di bawah skim berkenaan, rakyat berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah akan menikmati rebat bernilai sehingga RM2,400 untuk pembelian motosikal elektrik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terus melonjak pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) tempatan dan menggalakkan penerimaan rakyat terhadap penggunaan EV.

Justeru itu, kerajaan mengalu-alukan pelaburan melebihi RM170 juta oleh syarikat terkemuka seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Gentari dan Tesla Malaysia untuk memasang 180 stesen pengecasan EV, katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat.

Artroniq bawa masuk tiga model motosikal elektrik United E-Motor dari Indonesia

SYARIKAT pelaburan tempatan, Artroniq Bhd baru-baru ini mengumumkan kerjasama United E-Motor, sebuah jenama motosikal elektrik yang bernaung di bawah PT. Terang Dunia Internusa (PT TDI) dari Indonesia.

Kerjasama ini diumumkan dalam satu sidang media yang diadakan di Kedutaan Republik Indonesia di Kuala Lumpur pada 27 September lalu. Ia dihadiri oleh Dato’ Indera Hermono, Duta Besar Khas Republik Indonesia ke Malaysia.

Menerusi kerjasama ini, Artroniq Bhd akan membawa masuk tiga model motosikal elektrik keluaran United E-Motor iaitu TX3000, TX1800 dan M1200.

Sebagai antara model paling berkuasa, TX3000 dikatakan mampu mencapai kelajuan maksimum melebihi 90 km/j. Ia menawarkan jarak gerak sehingga 120 km dengan satu cas penuh.

Model ini mempunyai dua slot bateri dan tahap kuasa setiap bateri boleh dipantau menerusi paparan digital yang tersedia.

Menariknya, motosikal-motosikal elektrik ini telah digunakan sebagai motosikal rasmi di Sidang Kemuncak G20 2022 yang diadakan di Bali tahun lalu, dan telah diuji serta diperakui oleh barisan pemimpin dunia sepanjang acara tersebut.

Selaku pengedar, Artroniq Bhd akan mengumumkan penubuhan kilang pemasangan dan kedai konsep pengedaran di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.

Pos Malaysia terima 50 motosikal elektrik Modenas MEV-1

POS Malaysia Berhad telah menerima 50 buah motosikal elektrik daripada Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) dan DRB-Hicom EZ Drive Sdn Bhd (AVIS).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer berkata inisiatif ini merupakan penanda penting dalam komitmen berterusan Pos Malaysia terhadap kelestarian alam sekitar.

“Selain daripada jumlah keseluruhan 55 buah motosikal elektrik yang telah beroperasi di Lembah Klang, kami akan memobilisasikan 50 lagi motosikal elektrik Modenas ke negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, termasuk Johor, Kedah, Pulau Pinang, dan Perak.

“Matlamat kami adalah untuk mempunyai sasaran 200 buah motosikal elektrik dan 143 buah van elektrik di seluruh Semenanjung Malaysia menjelang akhir tahun 2023,” katanya.

Sementara itu, Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas menjelaskan bahawa MEV-1 mewakili inovasi dan penyelesaian mobiliti lestari serta melambangkan komitmen pengeluar motosikal itu untuk menyediakan alternatif pengangkutan yang mesra alam di Malaysia dan di luar negara.

“Dengan teknologi terkini dan reka bentuk yang elegan, MEV-1 melambangkan lonjakan yang signifikan ke arah masa depan yang lebih mesra alam bagi landskap pengangkutan negara,” tambah Roslan.

Mohd Syahrul Yusuf, Ketua Pegawai Operasi AVIS Malaysia pula berkata, “Dengan Pos Malaysia, kami bangga untuk menyumbang secara aktif kepada pengurangan jejak karbon di Malaysia. Terdapat potensi besar bagi kita untuk berbuat lebih baik untuk bumi ini dan kami ingin memastikan penggunaan bahan api dan pencemaran berkurangan, melalui penggunaan cara-cara inovatif untuk menggalakkan kecekapan tenaga.”

Pada awal tahun ini, Pos Malaysia melancarkan Pelan Hala Tuju Kelestarian pyang merangkumi pelan-pelan untuk mengurangkan jejak alam sekitarnya, dengan matlamat emisi karbon bersih untuk operasinya menjelang tahun 2050.

Sasaran kelestarian ini menunjukkan komitmen Kumpulan untuk menyokong usaha global dalam memastikan kenaikan suhu global adalah di bawah 1.5°C.

Ni Hsin EV Tech dapat kelulusan pasang motosikal elektrik EBIXON di Malaysia

Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd (NH EV Tech), anak syarikat milik penuh Ni Hsin Group Berhad, mengumumkan bahawa mereka telah mendapat Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di bawah Akta Pengangkutan Jalan Malaysia 1987.

VTA berkenaan adalah untuk dua model motosikal elektrik EBIXON dalam kategori persendirian dan komersial iaitu TAILG Bold dan TAILG Torq.

NH EV Tech pada 23 Mac 2022 memeterai Perjanjian OEM dengan Dongguan Tailing Motor Vehicle Co., Ltd. (TAILG) untuk pemasangan motosikal elektrik di Malaysia. Syarikat itu juga telah mendapat lesen pengilangan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Di bawah perjanjian tersebut, TAILG akan membekalkan komponen, alat ganti dan perisian manakala NH EV Tech akan memasang dan menguji serta menjalankan kawalan kualiti dan pentauliahan motosikal elektrik berkenaan.

Diasaskan di China pada 2004, TAILG mengkhususkan dalam bidang R&D, pembuatan, jualan dan servis kenderaan elektrik tenaga baharu. Barisan produknya terdiri daripada motosikal elektrik, skuter elektrik, basikal khas elektrik, basikal roda tiga elektrik dan pelbagai lagi.

Pengarah Urusan NH EV Tech, Khoo Chee Kong berkata pihaknya akan memulakan pemasangan tempatan (CKD) motosikal elektrik EBIXON di kilang di Sri Kembangan, Selangor bermula November ini.

Pengarah Urusan NH EV Tech, Khoo Chee Kong

“Model motosikal elektrik EBIXON kami menampilkan sistem bateri berkembar yang boleh ditukar yang menawarkan jarak sehingga 200 km. Bateri boleh dipasang ke soket rumah untuk dicas atau ditukar di stesen-stesen bateri yang ditetapkan. Kuasa bateri juga boleh diisi semula di stesen pengecasan awam,” tambah beliau.

NH EV Tech mensasarkan untuk menjual 50,000 unit motosikal elektrik EBIXON di Malaysia dan rantau ASEAN dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Jemaah menteri guna EV mulai 2023, Langkawi jadi lokasi projek rintis motosikal elektrik

MENTERI Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan bahawa jemaah menteri akan menggunakan kenderaan elektrik (EV) bermula tahun depan.

Bercakap kepada media pada majlis perasmian pejabat Khidmat Malaysia di Batu Caves semalam (9 Ogos 2022), Tuan Ibrahim berkata, “Mulai tahun depan, semua perolehan kerajaan akan bergerak kepada kereta elektrik.”

Bagaimanapun, menurut Tuan Ibrahim kos untuk peralihan ke arah EV ini masih belum diperincikan kerana ia masih di peringkat awal.

Sumber foto: Facebook/Kementerian Alam Sekitar dan Air

“Secara butirannya belum diputuskan lagi. Oleh kerana tidak banyak lagi kereta elektrik, maka kosnya agak tinggi tetapi apabila pengguna lebih ramai, kos akan jadi lebih murah,” katanya.

Tambah Tuan Ibrahim lagi, isu yang perlu ditangani adalah stesen pengecas, jadi fasiliti perlu dibina terlebih dahulu sebelum peralihan ini dapat dilaksanakan.

Selain itu, beliau turut menyebut hasrat pihaknya untuk menjadikan pulau-pulau peranginan seperti Pulau Langkawi sebagai lokasi projek rintis penggunaan motosikal elektrik.

Honda U-Be

“Kita akan beri 100 buah motosikal elektrik kepada penduduk untuk ditukarkan dengan motosikal lama mereka,” kata beliau.

Tuan Ibrahim berkata kementeriannya juga menyasarkan untuk menjadikan Putrajaya sebagai bandar bebas karbon dengan memperbanyakkan penggunaan EV.

Kurangkan pelepasan GHG, GDEX guna motosikal elektrik

GD Express Carrier Bhd (GDEX) menggunakan motosikal elektrik bagi melancarkan operasi perniagaannya.

Ia sejajar dengan matlamat negara mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GDEX berkata, syarikat itu serius dalam mengurangkan pelepasan karbon dioksida dan akan meneroka lebih banyak teknologi hijau di masa depan.

“Motosikal elektrik menandakan permulaan inisiatif hijau yang dimulakan oleh GDEX.

“Kami berharap meneruskan kajian dan melaksanakan lebih banyak langkah lestari di masa depan” kata Teong Teck Lean.

Pada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan juga memberi tumpuan kepada teknologi hijau bagi mengurangkan pelepasan karbon monoksida.

Kerajaan turut menyokong penggunaan kenderaan elektrik di Malaysia dalam Bajet 2022 dengan merangka beberapa pelan berkaitan penggunaan kenderaan elektrik.

Terdahulu, GDEX berkata akan terus meneroka penggunaan basikal elektrik dan basikal roda tiga di kawasan kejiranan.

Daftar nama E-boost, Kawasaki bakal lancar motosikal elektrik?

DESAS-desus Kawasaki bakal menghasilkan jentera elektrik terbaharu mula diperkatakan peminat motosikal seluruh dunia.

Spekulasi timbul susulan tindakan syarikat pengeluar motosikal itu menfailkan pendaftaran nama model baharu dikenali sebagai E-boost.

Sebelum ini, Kawasaki pernah menghasilkan sebuah prototaip motosikal elektrik dinamakan EV Endeavor.

Memetik laporan media, motosikal elektrik terbaharu Kawasaki bakal menerima beberapa suntikan daripada EV Endeavor.

Antara ciri-ciri dimaksudkan termasuk bateri, kotak gear manual dan butang Boost pada konsol kawalan tangan.

Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk menjangkakan tarikh sebenar pelancaran motosikal elektrik ini.

Apa pun, kami di EnGear berharap acara pengenalan motosikal elektrik Kawasaki ini akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Ini kerana menjadi kebiasaan pendaftaran nama sesebuah model motosikal sebagai langkah akhir dalam proses pengeluaran jentera.