Ducati secara rasmi telah memulakan pengeluaran motocross pertamanya iaitu Desmo450 MX, menandakan langkah penting bagi jenama Itali ini dalam memasuki pasaran motosikal off-road buat kali pertama.
Model ini dibina di ibu pejabat Ducati di Borgo Panigale, Itali, dan dijangka tiba di pengedar terpilih di Eropah bermula Jun 2025.
Desmo450 MX direka untuk memenuhi keperluan pelumba profesional dan juga penunggang amatur, menggabungkan prestasi tinggi dengan kemudahan tunggangan.
Nadi utama model ini ialah enjin silinder tunggal 449.6 cc yang menggunakan sistem injap Desmodromic, sekaligus menjadikannya satu-satunya motosikal dalam kelasnya yang menawarkan teknologi ini.
Reka bentuk enjin ini memberikan tork yang kuat pada julat rendah dan sederhana, serta kuasa maksimum yang tinggi, membolehkan penunggang memanfaatkan setiap nisbah gear dengan lebih efektif dalam pelbagai keadaan.
Selain kuasa, Ducati turut memberi penekanan kepada pembinaan. Desmo450 MX menggunakan rangka aluminium yang direka untuk kekakuan maksimum dengan bilangan kimpalan yang minimum, bagi meningkatkan ketahanan dan pengendalian.
Aspek elektronik turut menjadi tumpuan, dengan Desmo450 MX menjadi motosikal motocross pertama yang dilengkapi sistem kawalan cengkaman termaju yang mampu mengesan gelinciran roda belakang dan melaraskan campur tangan berdasarkan gaya tunggangan.
Model baharu ini juga merupakan yang pertama dalam rangkaian penuh motosikal off-road yang dirancang oleh Ducati, sebagai usaha untuk memasuki pasaran baharu dan memperluaskan komuniti penunggangnya.
Untuk menjadikan motosikal produksi ini lebih hampir dengan jentera perlumbaan MXGP, Ducati menawarkan pelbagai aksesori melalui katalog Ducati Performance. Ini termasuk komponen spesifikasi Factory seperti pengapit triple, sistem ekzos titanium Akrapovic, angkup brek Brembo Racing, dan banyak lagi.
Penunggang juga boleh mendapatkan set pakaian perlumbaan lengkap yang dibangunkan bersama Drudi Performance dan Alpinestars, termasuk jersi, seluar, sarung tangan, but dan perlindungan keselamatan.
Selepas pelancarannya di Eropah pada bulan Jun, Desmo450 MX akan memasuki pasaran Amerika Utara pada bulan Julai, sebelum diedarkan ke seluruh dunia.
