Moto Morini Malaysia turut mengumumkan sebuah lagi jentera adventure sesaran tinggi yang bakal tiba di Malaysia tidak lama lagi, iaitu X-Cape 1200.
Harga jualan diumumkan bermula dari RM49,888.
Jentera ini mendapat enjin bentangan V2 87 darjah Corsa Corta Evo sesaran 1,187 cc, menghasilkan kuasa setinggi 129 hp @ 8,75 rpm dan daya kilas 106 Nm @ 7,000 rpm.
Kelajuan maksimum dihadkan kepada 220 km/j.
Terdapat lima mod tunggangan disediakan seperti All-Terrain, Off Road, Road, Sport dan Wet.
Ia turut mendapat kelengkapan seperti sistem suspensi KYB boleh laras sepenuhnya terdiri daripada fork jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak tunggal, diikuti dengan sistem brek Brembo M4.32 dan balutan tayar Pirelli pada rim saiz 19 inci depan/17 inci belakang.
Antara ciri lain termasuklah skrin paparan TFT dengan fungsi navigasi terbina, skrin penghadang angin boleh laras, port pengecasan USB Type-A dan Type-C, serta fungsi pemanas untuk pelana dan grip bar hendal.
Ciri keselamatan pula termasuklah penderia unit pengukuran inersia (IMU) enam-paksi, cornering ABS, kawalan cengkaman (TCS) dengan tiga tahap larasan, kawalan jelajah, radar pengesan titik buta, kamera perakam tunggangan serta penukaran gear pantas (quickshifter) dua-arah.
Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 24.5 liter sementara tinggi pelana pula 840 mm.
