Arkib Tag: MODENAS MEV-1

MODENAS lancar skuter elektrik MEV-1, MEV-2 – harga dari RM9,878

Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, MODENAS melancarkan dua buah model skuter berkuasa elektrik untuk pasaran tempatan, iaitu MEV-1 dan juga MEV-2.

Modenas MEV-1 sebelum ini sudah digunakan oleh Pos Malaysia untuk tujuan penghantaran barang, dan kini sudah boleh dibeli oleh orang awam.

Ia dikuasakan oleh motor elektrik 6.6 hp, berkeupayaan untuk mencapai kelajuan maksimum 85 km/j.

Skuter MEV-1 ini menggunakan bateri ATL Lithium yang mampu menawarkan jarak tunggangan sehingga 135 km untuk sekali cas penuh.

Antara ciri lain termasuklah pengecas on-board, suspensi hadapan teleskopik, serta brek cakera hidraulik dengan CBS.

Terdapat dua varian, iaitu MEV-1 Pro yang hadir dengan pelana tunggal, serta MEV-1 Pro SX yang dilengkapi dengan pelana untuk pembonceng.

Harga jualan bermula dari RM13,470 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

MEV-2 pula dijana dengan motor elektrik berkuasa 6.8 hp dengan halaju maksimum dihadkan kepada 80 km/j sahaja.

Pek bateri ALT Lithium 74V30Ah pula menawarkan jarak tunggangan sejauh 107 km.

MEV-2 turut dilengkapi dengan pengecas on-board, suspensi hadapan jenis teleskopik, brek cakera hidraulik dengan CBS, serta sistem lampu LED.

Harga jualan bermula dari RM9,878.

 

MEV-1 PRO/PRO SX

MEV-2

MODENAS serah 1,092 skuter elektrik MEV-1 Pro kepada Pos Malaysia

Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) menyerahkan kumpulan kedua skuter elektrik Modenas MEV-1 PRO sebanyak 1,092 unit kepada Pos Malaysia sebagai sokongan kepada komitmen untuk mencapai elektrifikasi penuh menjelang 2030.

Kesemua skuter elektrik ini akan dihantar secara berperingkat menyertai armada EV Pos Malaysia sedia ada  yang terdiri daripada 220 unit motosikal elektrik (termasuk 140 unit MEV-1 yang telah diserahkan sebelum ini) dan 143 van elektrik.

Modenas MEV-1 PRO telah direka untuk memenuhi keperluan spesifik dan tuntutan operasi perkhidmatan logistik dan penghantaran, menyokong kapasiti beban sehingga 250 kg, kuasa maksimum 4.3 kW (5.8 hp) serta keupayaan untuk mendaki cerun sehingga 19 darjah.

Syarikat MODENAS akan menyediakan khidmat penyelenggaraan dan servis yang menyeluruh untuk MEV-1 PRO menerusi rangkaian pusat servisnya di seluruh negara.

Difahamkan, skuter elektrik MODENAS MEV-1 juga akan ditawarkan kepada pengguna umum dengan versi yang lebih mampu milik diperkenalkan bermula suku pertama 2025 (Q1 2025).