Arkib Tag: Mitsuoka

Mitsuoka Viewt Royal Edition hidupkan kembali semangat Jaguar yang hilang

Anda mungkin sudah hilang kepercayaan pada Jaguar melihatkan kepada pendekatan baharu yang digunakan oleh jenama itu.

Jadi, Mitsuoka merupakan jawapan yang anda cari untuk menikmati semula ‘aura’ yang telah lama lenyap itu.

Memperkenalkan, Mitsuoka Viewt Royal Edition yang membawakan inspirasi rekaan model klasik Jaguar Mk2 daripada era 60-an.

Mitsuoka Viewt sebenarnya sudah wujud di pasaran sejak tahun 1993 dengan menggunakan asas Nissan Micra dan March.

Namun, untuk penawaran terbaharu, Mitsuoka kini menggunakan asas hatchback popular Toyota Yaris.

Versi terbaharu Viewt Royal Edition ini merupakan edisi istimewa yang menampilkan tiga warna khas, iaitu Royal Green, Royal Red dan Royal White.

Sama seperti Viewt standard, Viewt Royal Edition dilengkapi dengan bampar krom depan dan belakang, rekaan lampu berbentuk bulat, serta jeriji krom.

Untuk ruang kabin, Viewt Royal Edition didatangkan dengan kemasan kulit palsu Royal Brown pada tempat duduk, panel pintu, dan seksyen bawah papan pemuka.

Menggunakan platform TNGA-B, Viewt turut berkongsi pilihan enjin yang sama dengan Yaris, iaitu nadi 1.0 liter 68 hp, 1.5 liter (118 hp atau 123 hp) serta enjin hibrid 1.5 liter 114 hp dengan pilihan transmisi manual enam-kelajuan atau CVT.

Selain pacuan roda depan, Viewt juga boleh didapati dengan varian pacuan semua roda, hanya untuk model 1.5 liter dan 1.5 liter hibrid.

Di Jepun, Mitsuoka Viewt dijual pada harga bermula 3.85 juta yen (RM112 ribu) dan boleh mencecah sehingga 5.13 juta yen (RM150 ribu).

Mitsuoka Viewt 2023 adalah jelmaan klasik Toyota Yaris

RASANYA sudah lama kita tak dengar tentang Mitsuoka, bukan? Pengeluar yang berpangkalan di Toyama, Jepun itu sememangnya terkenal dengan rekaan klasik yang sebenarnya diasaskan dari model-model zaman kini.

Salah satu model yang ditawarkan oleh Mitsuoka adalah Viewt, sebuah kereta kompak dengan penampilan yang tidak ubah seperti Jaguar Mark 2.

Sejak 1993, Viewt sentiasa dibangunkan berasaskan Nissan March atau Micra namun untuk 2023, model itu akan mula menggunakan kerangka Toyota Yaris versi Eropah.

Dikenali sebagai Viewt Story, model generasi keempat ini dilihat tidak begitu berbeza penampilannya dengan versi-versi terdahulu. Bahagian hadapannya masih menampilkan dua pasang lampu berbentuk bulat, gril dengan palang menegak serta pelindung bampar yang disalut krom.

Dari bahagian sisi, bentuk badan Yaris boleh dilihat dengan jelas namun bagi mengekalkan imej klasiknya, Mitsuoka menggunakan rim kompang berserta hubcap krom.

Untuk bahagian belakang, perubahan paling ketara adalah sepasang lampu berbentuk bulat dalam saiz yang lebih besar berbanding sebelum ini.

Berbeza dengan bahagian luaran, perubahan pada ruang dalaman terhad kepada upholsteri dan trim yang lebih mewah, serta logo Mitsuoka pada stereng.

Untuk pasaran Jepun, Viewt ditawarkan pada harga bermula dari 3,080,000 yen (RM101,503), jauh lebih mahal jika dibandingkan dengan harga Yaris iaitu 1,470,000 juta yen (RM48,445).

Untuk varian flagship dengan enjin hibrid dan pacuan semua roda, harganya bermula dari 4,202,000 juta (RM138,480).