Anda mungkin sudah hilang kepercayaan pada Jaguar melihatkan kepada pendekatan baharu yang digunakan oleh jenama itu.
Jadi, Mitsuoka merupakan jawapan yang anda cari untuk menikmati semula ‘aura’ yang telah lama lenyap itu.
Memperkenalkan, Mitsuoka Viewt Royal Edition yang membawakan inspirasi rekaan model klasik Jaguar Mk2 daripada era 60-an.
Mitsuoka Viewt sebenarnya sudah wujud di pasaran sejak tahun 1993 dengan menggunakan asas Nissan Micra dan March.
Namun, untuk penawaran terbaharu, Mitsuoka kini menggunakan asas hatchback popular Toyota Yaris.
Versi terbaharu Viewt Royal Edition ini merupakan edisi istimewa yang menampilkan tiga warna khas, iaitu Royal Green, Royal Red dan Royal White.
Sama seperti Viewt standard, Viewt Royal Edition dilengkapi dengan bampar krom depan dan belakang, rekaan lampu berbentuk bulat, serta jeriji krom.
Untuk ruang kabin, Viewt Royal Edition didatangkan dengan kemasan kulit palsu Royal Brown pada tempat duduk, panel pintu, dan seksyen bawah papan pemuka.
Menggunakan platform TNGA-B, Viewt turut berkongsi pilihan enjin yang sama dengan Yaris, iaitu nadi 1.0 liter 68 hp, 1.5 liter (118 hp atau 123 hp) serta enjin hibrid 1.5 liter 114 hp dengan pilihan transmisi manual enam-kelajuan atau CVT.
Selain pacuan roda depan, Viewt juga boleh didapati dengan varian pacuan semua roda, hanya untuk model 1.5 liter dan 1.5 liter hibrid.
Di Jepun, Mitsuoka Viewt dijual pada harga bermula 3.85 juta yen (RM112 ribu) dan boleh mencecah sehingga 5.13 juta yen (RM150 ribu).
