Mitsubishi Motors Malaysia mengesahkan SUV segmen B terbaharu Mitsubishi Xforce bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Tempahan rasmi boleh dibuat pada awal bulan Februari akan datang, namun rakyat Malaysia boleh mendaftarkan minat dengan lebih awal menerusi pautan INI.
Pelanggan yang membuat pendaftaran minat akan diberikan keutamaan untuk menerima jemputan ke jelajah dan pengalaman berkaitan pelancaran, serta tidak ketinggalan kemas kini produk secara eksklusif.
Sebagai sebahagian daripada aktiviti pra-pelancaran, Mitsubishi Xforce akan dibawa ke beberapa lokasi di seluruh negara, perinciannya seperti berikut:
- 16-28 Januari – KL & Selangor
- 5-15 Februari – Pulau Pinang, Perak & Johor
- 1-15 Mac – Kuantan, Kelantan, Kuala Lumpur & Selangor
Berpandukan slogan “Exceed Xpectations”, Mitsubishi Xforce direka untuk menawarkan nilai pintar dan praktikal yang disesuaikan dengan keperluan pemandu masa kini seperti aspek pengendalian yang unggul, rekaan bergaya, selesa dan penggunaan bahan api yang cekap.
Mitsubishi Xforce juga turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dengan merangkul anugerah iF Design Award 2024 di dalam kategori Rekaan Produk.
Mitsubishi XFORCE dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter berkuasa 103 hp dan 141 Nm yang dipadankan dengan transmisi CVT dan pacuan roda hadapan.
Walaupun dengan sistem 2WD sahaja, XFORCE tetap mempunyai ciri-ciri sebuah SUV off-road, seperti jarak lega bumi 222 mm, sudut pendekatan 21 darjah, sudut pelepasan 35 darjah, serta empat mod pemanduan (Normal, Gravel, Mud, Wet).
Untuk makluman, Mitsubishi Xforce turut mendapat penarafan lima bintang dalam ujian pelanggaran kenderaan baharu ASEAN NCAP.
