Arkib Tag: Mitsubishi Triton Athlete

Mitsubishi Malaysia lancar Triton Athlete dengan ciri dipertingkatkan, harga dari RM159,980

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) menyambut ulang tahun kehadirannya di Malaysia yang ke-20 pada tahun ini.

Bersempena dengan pencapaian tersebut, MMM mengumumkan penawaran model trak pikap Triton Athlete dengan ciri yang dipertingkatkan dan harga jualan bermula dari RM159,980.

Antara ciri unik yang ditampilkan pada Triton Athlete terkini termasuklah kemasan pada bampar hadapan, bar bergaya pada bed belakang, bantuan bukaan pintu tailgate, serta corak dekoratif unik.

Selain itu, MMM menawarkan promosi eksklusif untuk tempoh terhad bagi pembeli Triton Athlete, termasuklah ganjaran sehingga RM8,000 atau pakej penyelenggaraan percuma lima-tahun, serta pakej jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan.

Pelanggan juga boleh menikmati kadar faedah serendah dari 0.6 peratus untuk pembiayaan Triton Athlete menerusi Maybank atau Public Bank.

Menurut CEO MMM, Shinya Ikeda berkata, “Kami amat berterima kasih terhadap kepercayaan dan kesetiaan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia. Setelah hampir dua dekad, Triton terus menjadi simbol kekuatan, kepercayaan dan kebolehpercayaan di kalangan pemandu Malaysia dengan hampir 120,000 unit terjual.

“Sejak bertahun-tahun, Triton memperoleh reputasi sebagai kenderaan yang menawarkan prestasi cemerlang baik di atas jalan raya mahupun di laluan yang sukar.

“Triton Athlete yang dipertingkatkan ini menandakan komitmen kami untuk memenuhi keperluan pelanggan kami yang semakin berkembang, dan kami berbangga untuk memperkenalkan model ini sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun yang ke-20,” ujarnya lagi.

Selain itu, bermula 16 Jun ini MMM menganjurkan peraduan Scratch & Win yang menawarkan hadiah lumayan termasuklah iPhone 16, iPad, iPod, jam tangan Seiko dan produk THULE.

Pelanggan yang menempah model Triton atau Xpander baharu di mana-mana pusat pengedar sah MMM layak untuk menyertai peraduan ini, dan akan menerima satu kad untuk dilorek.