Arkib Tag: Mitsubishi Thailand

Mitsubishi Triton 2026 dapat muka baharu di Thailand, varian Mega Cab sahaja

Mitsubishi Thailand mengemas kini penawaran bagi trak pikap popularnya dengan menawarkan versi Street.

Ini mungkin sekali gambaran Triton facelift, namun muka baharu ini hanya unik untuk stail badan Mega Cab sahaja, dan tidak tersedia untuk Triton Single Cab dan Double Cab.

Reka bentuk agresif berkemungkinan besar diinspirasikan daripada helmet Stormtrooper daripada siri Star Wars bagi menggantikan pendekatan Dynamic Shield Triton sedia ada.

Selain itu, ia hadir dengan skid plate hitam yang lebih besar, kemasan jeriji pepenjuru, rim 17 inci dan pilihan warna Solid White, Blade Silver dan Graphite Gray.

Tetapan suspensi asal yang lebih direka untuk jalanan turut dikekalkan.

Triton Street juga kekal dengan enjin diesel 2.4 liter turbo menghasilkan 148 hp dan 330 Nm yang dipadankan dengan kotak gear manual dan sistem pacuan roda belakang.

Untuk ruang kabin pula, ia hadir dengan tempat duduk fabrik, skrin infohibur sebesar 10 inci, sokongan Apple CarPlay/Android Auto, dan sistem audio dengan dua pembesar suara.

Ciri keselamatan pula termasuklah tiga beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Bantuan Mula Mendaki (HSA), Kawalan Kestabilan Aktif (ASC), Kawalan Cengkaman (TCL) serta Sistem Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCM).

Di Thailand, Mitsubishi Triton Street Mega Cab ini dijual pada harga bermula dari THB 649,000 (RM83,798).

Mitsubishi Xpander HEV Play 2025 suntik elemen sporti tanpa peningkatan kuasa

Dari segi rupa, tidak banyak yang perlu diubah pada Mitsubishi Xpander kerana minivan ini sudah pun tersedia sporti.

Namun, di pasaran Thailand, terdapat versi Xpander HEV yang jauh lebih sporti, terima kasih kepada padanan kit badan yang cukup agresif khas untuk geng abah-abah acah motorsports.

Dinamakan sebagai Xpander HEV Play, MPV tiga baris tempat duduk ini diberikan penambahan pada bahagian bampar hadapan seperti bukaan liang yang lebih besar serta splitter terbina.

Elemen rekaan Dynamic Shield diberikan kemasan warna hitam, diikuti dengan kemasan yang serupa pada perumah lampu utama dan rim aloi.

Sementara bahagian belakang pula didatangkan dengan diffuser, spoiler bumbung, serta lensa perumah lampu jernih dengan efek asap.

Penawaran yang sama turut diberikan pada Xpander Cross HEV, di mana crossover MPV ini boleh dibezakan menerusi padanan plastik pelindung gerbang roda, kehadiran rel bumbung diikuti dengan kemasan jeriji dan bampar hadapan yang berbeza.

Untuk Xpander HEV, terdapat pilihan warna White Diamond atau Graphite Gray manakala untuk Xpander Cross HEV pula diberikan warna tambahan Green Bronze.

Disebalik penampilan yang sporti itu, Xpander HEV Play (serta versi Cross) tidak diberikan sebarang peningkatan kuasa.

Bermakna, enjin hibrid 1.6 liter dengan motor elektrik tunggal itu masih mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 116 hp dan 255 Nm yang memacu roda depan menerusi transmisi eCVT.

Harga jualan bermula dari THB981,000 (RM128,626), sedikit mahal berbanding model asas Xpander HEV.