Arkib Tag: Mitsubishi Jepun

Mitsubishi Delica Mini, ek Space generasi baharu didedahkan di Jepun

Mitsubishi Jepun telah mendedahkan dua model kei car yang akan dilancarkan tidak lama lagi, iaitu generasi baharu Delica Mini 2025 dan eK Space 2025.

Tempahan bagi kedua-dua model tersebut kini dibuka dengan harga jualan dianggarkan bermula dari 1.95 juta yen (RM56 ribu) untuk Delica Mini, dan dari 1.75 juta yen (RM50 ribu) untuk eK Space.

 

Delica Mini

Dari segi rupa, anda mungkin akan menyangka generasi kedua Delica Mini masih lagi kekal tidak berubah berdasarkan muka hadapan yang identikal. Malah dimensi juga tidak berubah.

Namun, jika dilihat dengan teliti, boleh dikatakan hampir kesemua panel badan telah direka semula.

Unit lampu utama dengan grafik U itu kini lebih besar, diikuti struktur jeriji yang lebih tebal, dan elemen Dynamic Shield yang mengikut warna badan.

Tiang A juga menjadi lebih menegak, bertujuan untuk menjadikan ruang kabin yang lebih luas.

Bahagian hud, fender depan dan pintu kini menampilkan garis badan, sementara tiang D juga menjadi lebih tebal berbanding model terdahulu.

Menurut Mitsubishi, Delica Mini baharu ini menampilkan sistem penyerap hentak Kayaba Prosmooth yang turut hadir dengan tetapan yang berbeza untuk model pacuan semua roda.

Untuk ruang kabin, susun atur papan pemuka telah dikemas kini dengan skrin kluster tujuh inci dan skrin tengah 12.3 inci yang diintegrasikan dalam panel tunggal, serta roda stereng dua jejari rekaan baru.

Di bahagian tengah terdapat dial rotari untuk pemilihan mod pemanduan seperti Power, Normal, Eco, Gravel dan Snow.

Akhir sekali, Delica Mini turut dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu ADAS dan fungsi pemantauan keliling yang menggunakan empat penderia kamera.

 

eK Space

Ini pula eK Space generasi ketiga yang diperkenalkan serentak dengan Delica Mini.

Tidak seperti Delica Mini, eK Space tampil lebih elegan dengan muka depan yang berbeza tanpa sebarang elemen lasak seperti plastik pelindung badan dan skid plate.

Susun atur ruang kabin juga adalah hampir sama dengan model Delica Mini, namun untuk eK Space hanya disediakan tiga mod pemanduan sahaja iaitu Power, Normal dan Eco.

Tiada sebarang perincian berhubung enjin yang bakal digunakan pada kedua-dua model Delica Mini dan eK Space.

Delica Mini yang terdahulu boleh didapati dengan pilihan enjin tiga silinder sebaris 658 cc NA berkuasa 51 hp, atau pilihan enjin turbo dengan janaan kuasa 63 hp.