Arkib Tag: Mitsubishi Delica D:5

Mitsubishi Delica D:5 2026 diperkenal di Jepun, kekal garang, 2.2L diesel, dari RM118 ribu

Mitsubishi Motors Corporation memperkenalkan van serba guna Delica D:5 2026 yang telah menerima penambahbaikan ketara.

Model ini akan mula dijual melalui rangkaian pengedar di seluruh Jepun bermula pada 9 Januari 2026.

Nama Delica yang diambil daripada singkatan delivery car telah membina reputasi kukuh sebagai kenderaan yang mampu membawa penumpang dan kargo dalam pelbagai keadaan jalan raya dengan jualan terkumpul melebihi 1.38 juta unit.

Evolusi Generasi Kelima dan Kejayaan Siri Delica

Delica D:5 yang pertama kali diperkenalkan pada Januari 2007 direka khusus untuk menggabungkan ciri mesra pengguna sebuah van dengan keteguhan sebuah SUV.

Sepanjang 19 tahun dalam pasaran model ini telah terjual melebihi 300,000 unit di Jepun sahaja.

Kejayaan ini diteruskan oleh model Delica Mini, sebuah wagon kei-car yang mula dijual pada 29 Oktober tahun ini dan memenangi anugerah 2026 RJC Car of the Year.

Reka Bentuk Luaran Menonjol

Tumpuan utama Delica D:5 2026 adalah pada penampilan yang lebih berkuasa dan berkemampuan tinggi melalui beberapa perubahan pada bahagian luaran.

  • Jeriji serta bampar hadapan dan belakang menggunakan rekaan tiga dimensi yang lebih menonjol.
  • Pendakap gerbang roda baharu pada sisi badan untuk memberikan imej yang lebar dan stabil.
  • Rrim aluminium 18 inci rekaan baharu.
  • Pintu kargo belakang  dengan logo DELICA yang disatukan pada kemasan (garnish) pintu.
  • Pilihan warna dua tona baharu Black Mica yang dipadankan bersama warna istimewa Moonstone Gray Metallic dengan kesan kebiruan.
  • Sembilan pilihan warna yang terdiri daripada lima warna dua tona dan empat warna tunggal.

Ruang Dalaman Moden dan Premium

Suasana kabin Delica D:5 kini lebih mewah dan praktikal dengan tumpuan kepada kualiti bahan dan kemudahan pengguna.

  • Meter LCD warna bersaiz 8 inci yang meningkatkan tahap penglihatan pemandu.
  • Panel instrumen menerima kemasan metalik manakala panel tengah menggunakan warna kelabu gelap yang tahan calar.
  • Tempat duduk gred tertinggi menggunakan gabungan bahan suede kalis air pada bahagian tengah dan kulit sintetik pada bahagian lain.
  • Kemasan jahitan warna khaki yang popular dalam barisan CHAMONIX digunakan untuk gaya lebih berfungsi.
  • Penambahan dua port pengecasan USB Type C pada bahagian bawah konsol tengah dan konsol lantai.

Prestasi Pemanduan dan Teknologi S AWC

Dari aspek mekanikal Delica D5 dilengkapi sistem kawalan dinamik kenderaan bersepadu S AWC Super All Wheel Control yang mengawal keempat-empat roda secara bebas.

  • Sistem ini menjamin kestabilan pemanduan di jalan lurus serta memberikan pengendalian yang responsif di permukaan lasak.
  • Pemandu boleh memilih daripada empat mod pemanduan iaitu ECO, NORMAL, GRAVE dan SNOW mengikut kesesuaian permukaan jalan.
  • Ciri Kawalan Penurunan Curam membolehkan menuruni cerun curam pada kelajuan tetap secara automatik.

Peningkatan Tahap Keselamatan Mitsubishi e-Assist

Aspek keselamatan dipertingkatkan melalui teknologi bantuan pemanduan Mitsubishi e-Assist dengan tambahan fungsi.

  • Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran kini mampu mengesan kehadiran basikal selain kenderaan dan pejalan kaki.
  • Fungsi Pencegahan Salah Pandu kini bertindak balas jika pemandu terpijak pedal pendikit secara tidak sengaja semasa sedang mengundur.
  • Sensor parkir sonar dipasang pada bampar hadapan dan belakang dengan amaran melalui paparan meter dan bunyi.
  • Sistem Multi Around Monitor menawarkan kualiti imej kamera tiga kali ganda lebih jelas dengan paparan mata burung (bird’s eye view) serta fungsi mengesan objek bergerak.
  • Penambahan ciri Leading Vehicle Departure Notification bagi memberi peringatan kepada pemandu sekiranya kenderaan di hadapan sudah mula bergerak.

Enjin Diesel Bersih

Delica D5 baharu digerakkan enjin 2.2L DOHC 16 injap 4 silinder common rail DI -D intercooler turbo diesel bersih yang dipadankan dengan transmisi automatik 8 kelajuan mod sport dan sistem pacuan 4WD.

Harga Jualan Delica D:5 2026

  • Delica D:5 P (7/8 tempat duduk): 4,944,500 yen (RM129,793)
  • Delica D:5 G Power Package (7/8 tempat duduk): 4,746,500 yen (RM124,596)
  • Delica D:5 G (7/8 tempat duduk): 4,510,000 yen (RM118,388)

AXCR 2024: Team Mitsubishi Ralliart tampilkan Delica Mini sebagai kereta sokongan

Mitsubishi Motors menerusi pasukan Mitsubishi Ralliart menyasarkan gelaran juara dalam perlumbaan Asia Cross Country Rally 2024 (AXCR 2024) yang dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 17 Ogos ini.

Dalam pertandingan yang akan diadakan di kawasan tengah dan selatan Thailand, pasukan Mitsubishi Ralliart akan menampilkan sehingga empat buah jentera pikap Triton generasi baharu, diikuti pasukan kereta sokongan yang terdiri daripada Delica D:5, Outlander PHEV dan kei car Delica Mini!

Jentera Triton tersebut telah pun diuji prestasinya menerusi ujian ketahanan sejauh 800 km atas jalan biasa dan laluan off-road pada lewat Jun yang lalu, diikuti sesi ‘shakedown’ pada 6 Ogos yang lepas untuk memastikan ia berada dalam keadaan yang optimum untuk pertandingan tahun ini.

Menurut pengarah pasukan Hiroshi Masuoka, “selain menaik taraf prestasi pemanduan dan lebar bunga tayar, kami juga turut menambah baik suspensi belakang dengan menggunakan kepakaran yang diperoleh daripada bekas pemenang Rali Dakar, iaitu Pajero.

“Penambahbaikan juga telah dibuat pada kekuatan asalnya, seperti pengendalian atas laluan yang ekstrem supaya jentera rali yang digunakan kali ini dapat memberikan prestasi yang kami harapkan.

Seperti yang disebutkan tadi, pasukan Mitsubishi Ralliart akan menampilkan empat buah minivan Delica D:5, SUV Outlander PHEV dan sebuah kei car Delica Mini sebagai kereta sokongan.

Salah satu daripada empat unit Delica D:5 tersebut akan digunakan sendiri oleh pengarah pasukan Hiroshi Masuoka untuk pemeriksaan laluan yang akan digunakan oleh jentera rali, di mana ia dilengkapi dengan suspensi khas yang meninggikan jarak lega bumi sebanyak 20 mm.

Kesemua kereta sokongan Mitsubishi Ralliart tersebut dilengkapi dengan rim aloi Work CRAG T-GRABICII (rim Work Emotion M8R untuk Outlender PHEV), serta balutan tayar off-road Yokohama GEOLANDER.

Selain itu, kesemua enam kereta sokongan akan menampilkan grafik badan yang sama seperti jentera rali Triton.

Sebanyak 67 buah jentera akan bersaing dalam pertandingan AXCR tahun ini, terdiri daripada 46 dalam kategori auto, 19 dalam kategori motosikal dan 2 kategori sidecar.

Acara pembukaan akan diadakan pada 11 Ogos di tengah-tengah kawasan Surat Thani, selatan Thailand, dan berakhir di Skywalk Kanchanaburi pada 17 Ogos.