Arkib Tag: minyak pelincir

Ipone Malaysia lancar produk pelincir diiktiraf SIRIM, pembungkusan baru & formulasi dipertingkatkan

Specialty Lubricants Trading Sdn Bhd selaku wakil rasmi Ipone di Malaysia melancarkan rangkaian penuh minyak enjin motosikal dengan pembungkusan baharu serta formulasi yang dipertingkatkan.

Jenama pelincir ini juga turut kejayaan memperoleh pensijilan SIRIM bagi memastikan standard kualiti dan kebolehpercayaan yang tinggi untuk penunggang di Malaysia.

Barisan pelincir Ipone kini menampilkan 100 peratus minyak asas PAO (Polyalphaolefin) dan ester – minyak asas Kumpulan 4 dan Kumpulan 5 berkualiti tinggi, iaitu gred tertinggi pelincir masa kini.

Dengan menggabungkan ester dan minyak asas premium ini, Ipone memberikan perlindungan enjin yang unggul, prestasi maksimum dan kecekapan yang dipertingkat, sekaligus memenuhi keperluan golongan penunggang harian, peminat sukan permotoran dan pelumba yang mahukan prestasi maksimum daripada tunggangan mereka.

 

Selain inspirasi daripada semangat dan pengaruh Jepun, barisan pelincir Ipone turut mengambil ilham daripada konsep tali pinggang judo yang menggambarkan tahap prestasi serta keperluan tunggangan berbeza seperti berikut:

  • Shogun (tali pinggang hitam) – direka untuk penunggang yang mahukan perlindungan dan prestasi maksimum di litar dan jalan raya
  • Samourai & Katana (tali biru) – minyak sintetik sepenuhnya untuk pretasi premium dan responsif, serta ketahanan dan perlindungan untuk tunggangan harian yang bertenaga
  • T4000 (tali hijau) & 10.4 (tali jingga) – minyak separa sintetik yang dapat mengimbangi perlindungan, prestasi dan nilai sesuai untuk perjalanan harian, kembara atau penggunaan campuran
  • M4 (tali kuning) – minyak mineral untuk mereka yang mencari pelincir mampu milik dan boleh dipercayai

Acara pelancaran produk yang diadakan baru-baru ini turut disertai oleh wakil daripada KPDN, pengedar, media, pempengaruh serta kakitangan daripada Ipone dan Kumpulan MKA selaku pengedar rasmi baharu Ipone di Semenanjung Malaysia.

Menurut Ravi Shankar selaku Pengurus Besar Negara Specialty Lubricants Trading (Malaysia) Sdn Bhd berkata, “Kami membawa Ipone ke perjalanan baharu yang menarik dengan formulasi yang dipertingkat dan pembungkusan yang diperbaharui. Kami yakin para pengguna akan menghargai pengalaman menyeluruh yang ditawarkan, kehalusan pembuatan minyak serta kualiti tanpa kompromi.

Yoann Koppe, Ketua Pengawai Perniagaan Motul Asia Pasifik menambah, “Di Ipone, lokalisasi sebenar bermakna memahami keperluan unik penunggang Malaysia dan menyesuaikan bukan sahaja produk, tetapi juga pendekatan kami dalam memenuhi keperluan mereka.

“Ipone direka untuk mereka yang menunggang dengan keberanian – iaitu mereka yang berani mengekspresikan personaliti, menguji batasan diri dan menginginkan lebih daripada tunggangan mereka.

“Saya juga berbesar hati untuk berkongsi bahawa Ipone kini memperoleh pensijilan SIRIM, satu pencapaian penting yang menekankan komitmen kami terhadap kualiti dan keselamatan,” ujarnya lagi.

MForce jalin kerjasama dengan PETRONAS lancar minyak pelincir baharu

Selain pelancaran lima buah model baharu di Mforce Mid-Autumn Gala baru-baru ini, Mforce turut sama memperkenalkan produk minyak pelincir baharu MForce Oil.

Dibangunkan menerusi kerjasama strategik dengan PETRONAS, Mforce Oil ditawarkan dalam gred sintetik penuh, separuh sintetik dan mineral yang sesuai untuk pelbagai segmen motosikal.

Terdapat sehingga lapan variasi minyak pelincir seperti berikut:

  • Mforce SAE 20W-40 SL MA2 (Mineral) – RM27.00
  • Mforce SAE 40 SG MA (Mineral) – RM19.00
  • Mforce SS 15W-50 SN MA2 (Separuh Sintetik) – RM48.00
  • Mforce SS 4T 10W-40 SN MA2 (Separuh Sintetik) – RM48.00
  • Mforce SS AT 10W-40 SN MB (Separuh Sintetik) – RM48.00
  • Mforce FS 15W-50 SN MA2 (Sintetik Penuh) – RM58.00
  • Mforce FS 4T 10W-40 SN MA2 (Sintetik Penuh) – RM58.00
  • Mforce FS AT 10W-40 SN MB (Sintetik Penuh) – RM58.00

Kerjasama antara Mforce dan PETRONAS ini bertujuan untuk menyediakan minyak pelincir berkualiti tinggi yang bukan sahaja memenuhi piawaian antarabangsa, akan tetapi memastikan prestasi enjin motosikal yang lebih tahan lama, cekap dan mesra alam.

Castrol CRB Turbomax, minyak pelincir untuk kenderaan tugas berat dan ringan

Castrol Malaysia mengumumkan dua produk pelincir baharu di bawah jenama Castrol CRB Turbomax, iaitu Castrol CRB Turbomax 10W-40 CK-4/E9 serta Castrol CRB Turbomax 5W-40 CK-4/SN.

Kedua-dua minyak pelincir ini direka khas untuk memenuhi keperluan kenderaan komersial, daripada trak tugas berat hinggalah kenderaan tugas ringan.

Dengan teknologi Durashield™, minyak pelincir baharu ini dapat melindungi enjin daripada haba, mendapan dan geseran, serta memanjangkan jangka hayat enjin untuk memastikan enjin beroperasi dengan lancar walaupun dalam keadaan mencabar.

Castrol CRB Turbomax 10W-40 CK-4/E9 adalah minyak enjin teknologi sintetik untuk kegunaan enjin diesel 4 lejang berkelajuan tinggi, dan sesuai digunakan untuk enjin diesel yang dilengkapi sistem edaran semula gas ekzos (EGR).

Sementara Castrol CRB Turbomax 5W-40 CK-4/SN pula merupakan minyak sintetik penuh yang sesuai untuk kenderaan komersial ringan seperti trak pikap, van, dan trak kecil.

Ia juga menawarkan perlindungan 3X (haba, mendapan dan geseran) yang setanding dengan minyak enjin tugas berat.

Hasil ujian prestasi enjin menunjukkan Castrol CRB Turbomax 5W-40 CK-4/SN mencatatkan keputusan 50 peratus lebih baik dari segi perlindungan terhadap geseran.

Kedua-dua minyak ini juga sesuai digunakan dengan biodiesel, pilihan bahan api yang lebih mesra alam.

Castrol lancar minyak pelincir Power1 Ultimate Superbike 10W-50

Castrol mengumumkan ketibaan produk minyak pelincir yang direka khas untuk jentera berkuasa tinggi, iaitu Power1 Ultimate Superbike 10W-50.

Minyak pelincir sintetik penuh baharu ini direka untuk penunggang yang mahukan prestasi terbaik daripada jentera mereka.

Formula unik ester perlumbaan 5-dalam-1 Castrol menawarkan manfaat seperti penghantaran kuasa lebih pantas, perlindungan daripada geseran 50 peratus lebih baik, penukaran gear yang lebih responsif, memastikan bahagian dalaman enjin sentiasa bersih dan kelikatan minyak yang tekal.

Dalam satu ujian melibatkan konvoi sejauh lebih 2,000 km, produk ini mencatatkan skor kepuasan sehingga 85 peratus.

Pelumba veteran Malaysia, Wazi Abdul Hamid turut mencuba sendiri produk ini, dan mengakui perbezaan yang ditonjolkan.

“Saya dapat merasai perbezaannya serta-merta, di mana enjin berbunyi lebih senyap, suhu kekal stabil walaupun menempuh jarak jauh, dan prestasinya kekal lancar tanpa gangguan. Pendikit juga menjadi lebih responsif dan berkuasa, terutamanya semasa menukar gear secara agresif. Ia benar-benar mengagumkan,” ujarnya.

Minyak pelincir Castrol Power1 Ultimate Superbike 10W-50 ini boleh didapati di semua bengkel motosikal Castrol yang sah, serta boleh dibeli menerusi platform dalam talian rasmi Castrol.

 

Motul Asia lancar minyak pelincir sintetik 7000 4T untuk motosikal

Motul Asia Pasific baru-baru ini mengumumkan penawaran produk minyak pelincir sintetik berprestasi tinggi 7000 4T untuk pasaran Malaysia.

Minyak pelincir motosikal 7000 4T merupakan evolusi daripada rangkaian produk H-Tech 100 yang boleh disesuaikan dengan teknologi dan piawaian pelincir terkini.

Dengan formulasi minyak sintetik 100 peratus dengan ciri molekul seragam, minyak pelincir Motul 7000 4T dapat mengurangkan geseran, meningkatkan kecekapan dan merendahkan kadar penggunaan bahan api.

Selain itu, Motul 7000 4T menjanjikan tindak balas enjin yang lebih lancar, perlindungan yang lebih baik serta kebolehpercayaan untuk tunggangan harian dalam apa jua keadaan.

Produk Motul 7000 4T ini sesuai untuk kebanyakan model motosikal empat lejang yang ada di Malaysia, malah ia melepasi piawaian industri keserasian klac basah mengikut JASO MA2 dan API SP.

Ia boleh didapati dalam empat gred kelikatan iaitu 5W40, 10W30, 10W40 dan 10W50, serta tersedia dalam pek botol 1L dan 1.2L.

Setiap botol 7000 4T diperbuat daripada 50 peratus plastik kitar semula dan 100 peratus boleh dikitar semula, mencerminkan komitmen Motul terhadap kemampanan dan mengurangkan impak kepada alam sekitar.

Isi minyak pelincir kereta dalam enjin motosikal, kenapa tak boleh? – Sembang Engear

IDEA untuk mengisi minyak pelincir kereta ke dalam enjin motosikal bukanlah baharu. Kadang-kala kita hantar kereta untuk servis dan bengkel memulangkan lebihan minyak pelincir baharu di dalam botol, dan kita terfikir mungkin boleh guna untuk motosikal di rumah.

Gred minyak pelincir kedua-duanya sama, sebagai contoh kereta kita menggunakan minyak bergred 10W-30, dan motosikal kita pun sama.

Kelikatan suhu sejuk dan panas (mengikut piawaian SAE) dah sama, dua-dua pun tuang dalam enjin. Boleh?

Jawapan mudah ialah tidak boleh.

Tugas dan fungsi berbeza

Sebab utama kenapa tidak boleh ialah kerana dari segi tugasan. Minyak pelincir kereta dan motosikal mempunyai tugas yang sangat berbeza.

Untuk kereta, tugas minyak pelincir hanyalah untuk mengalas dua permukaan dalam enjin yang bersentuhan. Tujuan supaya komponen tidak calar dan tidak rosak.

Jika anda perasan, kereta moden sekarang menggunakan kelikatan minyak yang rendah. Sebagai contoh, Perodua Bezza menggunakan minyak bergred 0W-20, ini dikira minyak yang nipis.

Sebabnya ialah kereta zaman sekarang ditala untuk jimat minyak dan mengurangkan pencemaran udara. Minyak nipis memudahkan komponen bergerak, dan suhu enjin juga tidak tinggi macam kereta prestasi. Jadi, okey sahaja untuk pemanduan harian.

Minyak takkan menjadi terlalu panas atau cair walaupun kelikatannya rendah.

Minyak berbeza untuk sistem berbeza

Kemudian, kereta mempunyai minyak lain, sebagai contoh minyak transmisi atau kotak gear, yang sangat berbeza dari minyak enjin. Kemudian dalam sistem penyejuk ada cecair lain iaitu coolant.

Untuk kereta, sistem berbeza akan menggunakan cecair berbeza yang khusus. Minyak pelincir enjin tidak boleh digunakan dalam transmisi dan begitu juga sebaliknya.

Minyak lebih kritikal untuk motosikal

Untuk motosikal pula – terutamanya yang cc kecil – minyak enjin direka untuk lebih dari satu tugas. Minyak inilah yang melancarkan dan melindungi enjin, minyak yang sama juga diguna dalam transmisi, dan ia juga yang sejukkan enjin.

Motosikal juga biasanya rev pada tahap lebih tinggi. Enjin lebih panas, jadi perlukan gred lebih likat. Secara ringkasnya, minyak pelincir motosikal lebih kritikal, tugas lebih keras.

Saiz enjin juga lebih kecil, maka ruang untuk laluan minyak pun lebih sempit. Kerana itu anda lihat syarat atau kelayakan untuk minyak pelincir enjin kereta dan motosikal cukup berbeza.

Untuk fungsi dan tugasan khas, maka formula juga berbeza.

Sebagai contoh, walaupun kelikatan yang sama, minyak pelincir kereta mempunyai agen friction modifier. Jika dituang dalam enjin motosikal, klac boleh slip atau tergelincir, menyebabkan pemanduan tidak efisyen. Lebih buruk lagi, boleh merosakkan komponen transmisi motosikal.

Jadi, sekarang anda faham kenapa minyak pelincir kereta dan motosikal berbeza, dan kenapa tidak boleh suka-suka dituang ke tempat yang tidak betul. Janganlah kita risikokan enjin kita semata-mata untuk jimat.

Paling mudah adalah rujuk buku manual kerata atau motosikal kita. Ada simpan lagi tak? Buku manual memberikan panduan paling tepat untuk jentera kita.

Untuk motosikal biasanya ada spesifikasi lebih khusus yang tiada pada kereta. Sebagai contoh 4T untuk enjin empat-lejang, JASO MA untuk sistem klac basah, atau JASO MB untuk skuter.

Semoga artikel ini bermanfaat! Jika anda bersembang dengan rakan di kedai kopi tentang bab ini, kongsikan artikel ini untuk lebih kefahaman.

Castrol Hari Mekanik Malaysia 2023 rai wira dan pakar automotif

Castrol, sebuah syarikat pelincir automotif terkemuka di negara ini, menganjurkan kempen Castrol Hari Mekanik Malaysia yang kelima.

Kempen tahun ini yang bertemakan Meraikan Mekanik Malaysia diadakan sebagai inisiatif untuk memberi penghargaan dan meningkatkan kesedaran terhadap wira-wira yang terdiri daripada pakar automobil di Malaysia.

Disambut pada 18 Mac setiap tahun, Castrol Hari Mekanik Malaysia memulakan acara tahun ini dengan memperkenalkan sebuah video yang dilancarkan pada 1 Mac 2023. Video bertajuk “Sebuah Dunia Tanpa Mekanik” telah ditayangkan dalam platform media sosial YouTube dan Facebook.

Pertandingan Mekanik Castrol

Selain dari itu, Castrol juga akan menganjurkan Pertandingan Mekanik Castrol yang akan berlangsung dari 1 April hingga 31 Mei 2023 bertujuan memberikan ganjaran dan penghargaan kepada mekanik tempatan.

Semua penyertaan boleh diserahkan melalui asplikasi Motorist, aplikasi eksklusif yang disediakan khusus untuk semua bengkel Castrol Auto Servis.

Semua mekanik daripada tiga bengkel terbaik, yang dibahagikan mengikut bahagian (bahagian Utara, bahagian Tengah, bahagian Selatan, bahagian Pantai Timur dan bahagian Timur Malaysia), dengan jumlah jualan tertinggi semasa pertandingan ini akan memenangi Xiaomi Redmi Note 11 Pro 6.67 inci (128GB), bernilai RM1,149.

Tiga bengkel terbaik daripada setiap bahagian itu juga akan dikreditkan dengan 8,000 Mata EZ Rewards bernilai RM800, yang boleh digunakan untuk menebus pelbagai ganjaran melalui platform EZ Rewards.

Castrol Game Changers

Sebagai salah satu lagi tanda penghargaan, Castrol turut merealisasikan impian dua orang pengguna, susulan daripada pertandingan ‘Castrol Game Changers’ yang dianjurkan dengan kerjasama ‘Premier League’. Pemenang-pemenang bertuah itu telah diiringi ke London untuk menyaksikan perlawanan Tottenham Hotspurs menentang Chelsea pada February 2023 di Stadium Tottenham Hotspurs di mana Spurs menang 2-0.

Mereka turut diberi peluang untuk mengalami layanan eksklusif bertaraf dunia yang ditawarkan oleh Stadium Tottenham Hotspurs dan meluangkan masa beramah-mesra dengan legenda Spurs, Michael Dawson.

Pakej minyak pelincir Castrol Edge edisi terhad

Castrol turut melancarkan pakej edisi terhad untuk Castrol EDGE 5W-40, yang menampilkan empat pemain bintang Liga Perdana, David De Gea dari Manchester United, Jesse Lingard dari Nottingham Forest, Michail Antonio dari West Ham, dan Son Heung Min dari Tottenham Hotspurs.

MOL Lubricants kini di Malaysia, dari RM250 untuk sintetik penuh

KINI terdapat satu jenama baharu untuk minyak pelincir kenderaan anda, iaitu MOL Lubricants. Merupakan satu pengeluar bendalir pelincir dari Hungary dengan lebih 115 tahun pengalaman, MOL Lubricants kini secara rasmi dilancarkan di Malaysia dengan kerjasama pengedarnya, Oily Lubricants Malaysia Sdn. Bhd.

Pelancaran ini adalah sebahagian dari inisiatif MOL untuk mengukuhkan kehadiran mereka di Asia. Dengan kerjasama Oily Lubricants Malaysia, produk-produk premium MOL akan mula ditawarkan bermula September 2022 merangkumi pelincir untuk sektor pengangkutan, servis automotif rasmi dan bebas, sektor pertanian, serta sektor industri.

Menurut Harsanyi Zsolt, Pengurus Jualan Eksport MOL Lubricants, “Kerana formulanya yang maju, produk-produk MOL memberikan prestasi tinggi dan perlindungan ‘wear and tear’ yang baik, yang akan menjanjikan ketahanan serta jangka hayat komponen yang panjang.

“Ia juga akan mengurangkan keperluan penyelenggaraan,” tambahnya.

Sementara itu, Nagy Zsuzsanna, Pakar Jualan Eksport MOL Lubricants semasa dalam pembentangannya berkata, “Portfolio produk MOL merangkumi hampir 800 produk pelincir berkualiti tinggi untuk kenderaan penumpang, motosikal, kenderaan komersial, pertanian, dan industri.”

Khas untuk anda yang mencari rangkaian pelincir kenderaan penumpang, MOL Lubricants mempunyai minyak enjin Botond (gred rendah), Essence (gred sederhana), dan Dynamic (gred tinggi premium).

Minyak enjin sintetik penuh boleh didapati dari rangkaian Essence dan Dynamic, tetapi Dynamic lebih memfokus kepada pelincir OEM bagi jenama-jenama terkemuka Eropah seperti BMW, Renault, Audi, Skoda, SEAT, dan Fiat.

Spesifikasi yang ditawarkan termasuklah 5W-20, 5W-30, 5W-40, dan 10W-40 dan kesemuanya menepati piawaian API SN. Harga adalah antara RM250 hingga RM295 untuk botol 4-liter dan kami difahamkan kesemua minyak enjin ini adalah diimport sepenuhnya.

Bagi pusat servis dan bengkel-bengkel, MOL Lubricants menawarkan ganjaran khas bagi mereka yang mendapatkan bekalan minyak enjin selama enam bulan.

Pengurus Jualan Oily Lubricants Malaysia, Nicholas Oh berkata: “Kami akan menawarkan ganjaran bagi bengkel dan pusat servis yang mendapatkan bekalan selama enam bulan.

“Kami juga mensasarkan untuk melantik 100 bengkel pengedar dalam masa terdekat ini,” tambahnya.

Pelancaran MOL Lubricants itu turut dihadiri oleh wakil-wakil dari kedutaan Hungary di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, layari: https://mollubricants.com.my/en.

Jadikan Proton anda lebih padu dengan rangkaian produk R3 baharu ini

BERITA baik untuk pemilik Proton dan peminat R3, kerana anda kini boleh memiliki rangkaian produk serta minyak enjin premium jenama itu.

Ya, Proton telah melancarkan beberapa produk rasmi R3 untuk anda dan kereta anda. Ia dipasarkan oleh Proton Global Services (PGS) iaitu sebuah anak syarikat Proton Edar.

Gambar oleh: Proton Motorsports

Jenama R3 (Race Rally Research) cukup sinonim dengan motorsport atau sukan perlumbaan sejak ia mula ditubuhkan pada 2003.

R3 telah memenangi perlumbaan ketahanan Sepang 1000km (5 kali) dan FIA Asia Pacific Rally Championship (8 kali) selain membawakan produk-produk prestasi untuk pengguna.

Rangkaian produk baharu ini adalah untuk menyambung semula legasi nama ini dan anda boleh membelinya melalui R3 Corner yang akan disediakan di Proton Centre of Excellence (COE) dan cawangan-cawangan pengedar terpilih seluruh negara.

Cawangan pertama yang dilantik dalam kerjasama ini adalah Setia Gemilang Auto Sdn Bhd, Shah Alam, Selangor.

Buat masa ini, anda boleh mendapatkan barangan R3 seperti baju kemeja-T dan polo serta topi dengan harga antara RM49 hingga RM60 sehelai.

Untuk kereta anda, terdapat dua pilihan minyak enjin premium R3 (sintetik penuh 5W-30 dan semi-sintetik 10W-30) masing-masing berharga RM208 dan RM158 berserta penapis bahan api R3.

Minyak-minyak pelincir ini dibangunkan dari minyak Etro+ oleh Petronas dan direka untuk melindungi enjin dari haba berlebihan serta mengawal suhu untuk perlindungan komponen dan menjaga prestasi.

Menurut Proton, selepas ini lebih banyak lagi cawangan-cawangan pengedar 3S dan 4S seluruh negara akan dilantik untuk pengedaran dan jualan rangkaian produk R3 baharu ini.