Arkib Tag: MGS5 EV

MGS5 EV dapat skor lima bintang ASEAN NCAP

ASEAN NCAP mengumumkan SUV keluaran MG, iaitu MGS5 EV menerima penarafan lima bintang dalam ujian penilaian kenderaan baharu yang telah dijalankan.

Berdasarkan ujian tersebut, MGS5 EV memperoleh skor keseluruhan setinggi 92.39 mata berdasarkan empat kategori berikut:

  • Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) – 37.90/40.00
  • Perlindungan Kanak-kanak (COP) – 16.99/20.00
  • Bantuan Keselamatan (SA) – 20.00/20.00
  • Keselamatan Penunggang Motosikal (MS) – 17.50/20.00

 

MGS5 EV merupakan sebuah crossover elektrik segmen C dengan lima tempat duduk yang menawarkan kelengkapan keselamatan termasuklah tujuh beg udara, ABS, peringatan tali pinggang keledar, serta pengesan penumpang belakang.

Ciri keselamatan termaju yang turut tersedia termasuklah sistem brek kecemasan autonomi (AEB City, Inter-Urban, Pedestrian & Motorcycle), sistem pengesan titik buta (BSD), bantuan suluhan tinggi (AHB), amaran keluar lorong (LDW), amaran pelanggaran hadapan (FCW) serta bantuan kekal lorong (LKA).

Rakyat Malaysia boleh mendapatkan MGS5 EV dengan harga bermula serendah RM107,900 untuk varian Com, RM117,900 untuk varian Com Long Range, dan RM127,900 untuk varian Lux Long Range.

MGS5 EV kini boleh ditempah – anggaran RM115k, penjimatan hebat dan wallbox percuma untuk pelanggan terawal

Selepas dipertontonkan pada April lalu, SUV elektrik segmen B terbaharu dari MG Motor Malaysia iaitu MGS5 EV kini dibuka untuk tempahan.

Kini dipamerkan di Malaysia Autoshow 2025, MGS5 EV akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Com dan Lux. Varian Com boleh didapati dengan bateri 49 kWj atau 62 kWj, masing-masing memberikan jarak sehingga 340 km dan 430 km berdasarkan kitaran WLTP.

Sementara itu, varian Lux pula didatangkan dengan satu pilihan bateri sahaja iaitu 62 kWj yang turut menawarkan jarak gerak sehingga 430 km.

Kedua-dua varian dipacu oleh motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menjana 170 PS dan 250 Nm.

Menurut MG, varian Lux menyokong pengecasan pantas sehingga 150 kW yang membolehkan pengecasan dari 10% hingga 80% dilengkapkan dalam masa hanya 26 minit. Turut disertakan adalah pengecasan AC 7 kW dan fungsi Vehicle-to-Load (V2L).

MGS5 EV akan diposisikan sebagai pesaing terus Proton e.MAS 7 dan BYD Atto 3. Ia mempunyai ukuran panjang 4,476 mm, lebar 1,849 mm dengan jarak antara roda 2,730 mm. Ruang butnya pula menawarkan ruang maksimum 1,441 liter.

Kelengkapan standard yang disertakan termasuk lampu depan LED dengan DRL bertemakan ‘Racing Flag’, lampu belakang Arch khas MG dengan motif tersendiri, skrin kluster 10.25 inci, skrin infohibur 12.8 inci, serta sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Varian Lux mendapat kelengkapan tambahan berupa roda aloi 18 inci, bumbung matahari panoramik, upholsteri fabrik-kulit, pelarasan kuasa untuk tempat duduk pemandu, stereng kulit dengan sistem penghangat, pad pengecasan telefon tanpa wayar, enam pembesar suara premium, pintu belakang berkuasa, dan kamera 360 darjah.

Tiada pengumuman harga rasmi namun seperti yang dilaporkan sebelum ini, MGS5 EV bakal dijual dengan harga anggaran RM115,000.

Pelanggan yang membuat tempahan semasa Malaysia Autoshow dengan bayaran yuran RM500 akan layak untuk pakej early bird eksklusif yang menawarkan penjimatan luar biasa, serta pengecas AC Wallbox 7 kW secara percuma.