SAIC Motor Malaysia mengumumkan semakan harga bagi model SUV elektrik MG S5 EV.
Berkuatkuasa serta-merta, MG S5 EV kini bermula serendah RM107,900 bagi varian COM, RM117,900 untuk varian COM Long Range dan RM127,900 bagi varian LUX Long Range.
Pembeli juga bakal mendapat manfaat daripada Ultimate Ownership Package yang menawarkan penjimatan sehingga RM10,000 merangkumi:
pengecas dinding AC 7 kW secara percuma, atau
pilihan kredit pengecasan
Pelanggan juga boleh memilih untuk mendapatkan Pakej Pembiayaan Ultimate MG yang disediakan melalui pengedar sah MG di seluruh negara.
MG S5 EV dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pacuan roda belakang menghasilkan 170 PS dan 250 Nm.
Terdapat dua pilihan pek bateri iaitu 49 kWh dengan jarak pandu sehingga 340 km, serta 62 kWh yang menawarkan jarak gerak sehingga 430 km (data kitaran WLTP).
Kesemua varian menyokong pengecasan AC 7 kW, namun varian LUX mendapat sokongan pengecasan pantas DC sehingga 150 kW, membolehkan pengecasan 10-80 peratus dalam masa 26 minit.
Menurut Emory QiFeng selaku Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, “Semakan harga ini menunjukkan komitmen kami untuk menjadikan pemilikan EV lebih mampu milik untuk rakyat Malaysia, selaras dengan persiapan kami ke arah strategi pemasangan tempatan.
SAIC Motor Malaysia menerusi kerjasama EP Manufacturing Berhad (EPMB) hari ini mengumumkan perancangan program pemasangan tempatan (CKD) bagi kenderaan elektrik (EV) jenama MG yang akan bermula pada suku pertama 2026 (Q1 2026).
Perkara tersebut diumumkan oleh Emory QiFeng selaku Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia dalam satu acara yang turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Dr. Aminar Rashid, Pengerusi Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta YBhg. Hamidon Abdullah, Pengerusi Eksekutif EP Manufacturing Berhad (EPMB).
Fasiliti EPMB di Melaka berkeupayaan untuk memasang kenderaan tenaga hijau termasuklah BEV dan HEV di samping model enjin pembakaran dalaman (ICE) di bawah satu bumbung.
Strategi ini akan memberikan tumpuan kepada tiga perkara utama, iaitu keterjangkauan, penghantaran yang lebih pantas, serta tahap penyetempatan yang lebih kukuh.
SAIC Motor Malaysia menjamin setiap kenderaan yang dipasang di sini akan melalui pemeriksaaan menyeluruh mengikut piawaian global Program Kualiti SAIC.
Menurut SAIC Motor Malaysia, kedudukan strategik Malaysia di ASEAN menjadikannya lokasi yang sesuai sebagai hab pengedaran dan pertumbuhan serantau.
Ia juga dijangka mampu menjana peluang pekerjaan, mengukuhkan ekosistem vendor tempatan serta menjadi asas kepada program penyelidikan dan pembangunan (R&D) pada masa hadapan.
Menurut Emory QiFeng, “Barisan pemasangan kami akan memenuhi keperluan pelanggan sepenuhnya dan memastikan pengalaman pemilikan yang lebih lancar dan efisian.
“Pengumuman hari ini hanyalah permulaan. Bersama rakan kongsi dan bakat tempatan, kami sedang membina masa depan yang dipacu oleh inovasi, kemampanan, dan peluang yang akan menggerakkan Malaysia ke hadapan bersama MG,” jelasnya lagi.
“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan SAIC Motor Malaysia dalam melaksanakan pemasangan kenderaan elektrik sepenuhnya pertama kami di kilang Melaka,” kata YBhg Hamidon Abdullah.
“Bersama-sama, kami menyasarkan untuk memperkukuh ekosistem EV negara, mempercepatkan penyetempatan serta menambah nilai kepada pelanggan di Malaysia,” ujarnya lagi.
Sejak bertapak, SAIC Motor Malaysia telah mengembangkan rangkaiannya kepada 26 pengedar sah di seluruh negara, termasuk tiga bilik pameran di Sarawak dan tiga lagi yang bakal dibuka tidak lama lagi.
Tahukah anda, Malaysia merupakan pasaran nombor satu bagi model MG Cyberster bagi rantau Asia dan Oceania.
Prestasi membanggakan tersebut diumumkan oleh MG Motor Malaysia, menandakan kejayaan luar biasa sejak pelancaran rasminya pada Disember 2024 dengan lebih 90 tempahan telah diterima.
MG Cyberster merupakan sebuah roadster berkuasa elektrik yang boleh didapati dalam dua varian utama.
Ketika ia dilancarkan secara rasmi, MG Cyberster hadir dalam varian AWD dengan dua motor elektrik berkuasa 503 PS dan 725 Nm, dan kemampuan bergerak sejauh 446 km untuk sekali cas penuh.
Varian RWD pula diperkenalkan pada bulan lepas, membawakan tetapan motor elektrik pacuan roda belakang berkuasa 340 PS dan 475 Nm, dan mampu mencecah jarak 508 km dengan pek bateri 77 kWh yang sama.
Harga jualan bermula dari RM299,900 untuk varian RWD, dan RM319,900 untuk varian AWD.
MG Motor Malaysia akan menganjurkan siri acara pandu uji eksklusif di lokasi terpilih di seluruh negara:
• MG Motor Plentong (6-7 Ogos)
• MG Motor Muar (9-10 Ogos)
• MG Motor Seri Kembangan (9-10 Ogos)
• MG Motor Juru (13-14 Ogos)
• MG Motor Klang (16-17 Ogos)
• MG Motor Bandar Rimbayu (23-24 Ogos)
• MG Motor Tebrau (30-31 Ogos)
• MG Motor Ipoh (20-21 September)
• MG Motor Damansara (27-28 September)
• MG Motor Skudai (4-5 Oktober)
Pelanggan yang membuat tempahan semaca acara ini akan menerima pakej istimewa termasuk pengecasan tanpa had setahun percuma (JomCharge), pengecas dinding AC 7kW, model diecast MG Cyberster dan hadiah eksklusif lain.
MG Motor Malaysia akan mengadakan pameran sulungnya di wilayah selatan bermula 6 hingga 10 Ogos ini bertempat di Mid Valley Southkey, Johor Bahru.
Pameran “Dare to Love” ini akan membariskan model-model MG terkini termasuklah MG5, SUV elektrik MG S5 EV, serta roadster elektrik MG Cyberster.
Pengunjung juga berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman pemanduan model MG5, MG4, MG HS, MG S5 EV serba baharu serta MG Cyberster.
Pelanggan yang membuat tempahan bagi model MG Cyberster sepanjang acara berlangsung akan menerima pakej pengecasan tanpa had setahun menerusi JomCharge lengkap dengan fungsi AutoCharge, pengecas dinding AC 7 kW percuma, serta model diecast MG Cyberster edisi eksklusif.
Berikut merupakan senarai harga istimewa yang ditawarkan oleh MG Motor Malaysia:
MG S5 EV varian Com – RM109,900
MG S5 EV varian Com Long Range – RM119,900
MG5 – rebat sehingga RM7,000
MG4 – ansuran bulanan serendah RM974
Sedang pening memikirkan EV mana yang sesuai untuk digunakan sebagai kereta basahan?
Bawah julat harga RM150,000, kita sudah dihidangkan dengan bermacam jenis model seperti BYD Atto 3, Proton e.MAS7 dan yang terbaharu MG S5 EV.
Dilancarkan secara rasmi bulan Mei 2025, MG S5 EV ditawarkan dalam tiga varian utama, dengan versi paling asas dijual pada harga bermula RM115,900 dan versi paling premium pula berharga RM135,900.
Engear TV telah dijemput sendiri oleh pihak MG Malaysia dalam satu sesi pandu uji untuk merasai sendiri pengalaman memandu EV ini dari Damansara menuju ke Kuantan, Pahang.
Adakah ia mampu menjadi satu pilihan yang berbaloi di dalam segmennya? Jemput baca ulasan ringkas di bawah:
Reka bentuk
Kita mula dengan reka bentuk luaran, di mana MG S5 menggunakan pendekatan yang lebih selamat tanpa garis badan yang agresif dan keterlaluan.
Trend lampu berlapis di bahagian hadapan masih wujud, diikuti lampu LED dengan bar nipis melintang penuh di bahagian belakang.
Terdapat dua pilihan saiz rim, iaitu 17 inci serta 18 inci yang wujud pada varian Lux Long Range yang kami pandu uji ini.
Seperti yang anda lihat, MG S5 merupakan sebuah SUV elektrik saiz kompak, membawakan ukuran sepanjang 4,476 mm, lebar 1,849 mm, tinggi 1,621 mm dan jarak antara roda 2,730 mm.
Berbanding pesaing, MG S5 kecil sedikit daripada Proton e.MAS7, namun memiliki kelebihan jarak antara roda 10 mm lebih panjang berbanding BYD Atto 3.
Ruang kargo adalah sebesar 453 liter, atau sehingga 1441 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.
Kabin canggih dan mesra pemandu
Untuk bahagian kabin, MG S5 menyediakan skrin kluster instrumen 10.25 inci dengan tema paparan yang agak ringkas, diikuti skrin tengah 12.8 inci yang lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
Tidak dinafikan, segala macam fungsi kenderaan telah disumbatkan ke dalam skrin tengah, namun paparan menu mudah untuk diakses.
Paling penting, terdapat butang kawalan fizikal yang tersedia di bawah skrin tersebut untuk fungsi penting seperti kawalan suhu dan kelajuan tiupan angin, butang kelantangan audio, serta butang lampu kecemasan.
Kedudukannya mudah untuk dilihat dan dicapai oleh pemandu.
Di bahagian konsol tengah pula menyediakan tombol rotari PRND, ruang meletak cawan, slot untuk peranti pintar serta slot pengecasan tanpa wayar. Ringkas, namun memudahkan.
Ini sekaligus menjadikan MG S5 EV sebuah kereta elektrik moden yang sangat mesra pemandu.
Keselesaan
Salah satu perkara yang harus dipuji pada MG S5 ini ialah aspek keselesaan untuk kegunaan keluarga.
Tempat duduk dengan upholsteri kombinasi kulit dan fabrik itu ternyata menawarkan tahap keselesaan yang tersendiri.
Dimensi kusyen yang panjang menyokong bahagian bawah peha menjadikan perjalanan yang tidak memenatkan.
Ruang kepala dan kaki juga bukan satu masalah besar, memandangkan MG S5 ini mempunyai bumbung kaca panorama beralas, serta struktur lantai yang rata.
Sudut sandaran untuk penumpang belakang juga tidak terlalu menegak. Penulis juga tidak mempunyai komen untuk bahagian ruang belakang, memang selesa!
Aspek kebisingan, kekasaran dan gegaran (NVH) juga berada di tahap memuaskan, malah kami sebagai penumpang boleh berehat dengan aman sepanjang menempuh laluan Lebuhraya Pantai Timur yang beralun itu.
Tahap kecekapan sistem pendingin hawa zon tunggal juga diuji sepanjang perjalanan, di mana ia berfungsi dengan baik sepanjang menempuh keadaan cuaca yang panas membahang.
Cuma satu sahaja rungutan kami: corong pendingin hawa yang agak kecil bukaannya, dan ada kalanya sukar untuk dilaras arah tiupan angin sejuk.
Pemanduan
Secara standard, MG S5 dibekalkan dengan motor elektrik berkuasa 170 PS dan 250 Nm yang memacu roda belakang – ciri unik dalam segmennya.
Kami tidak sempat untuk menguji prestasi pecutan 0-100 km/j, namun kuasa yang dihasilkan oleh SUV kompak elektrik ini sudah memadai untuk kegunaan harian.
Aliran kuasanya lancar dan tidak terlalu menyentak, malah respons stereng juga boleh dilaras sedikit berat mengikut kehendak.
Selain pacuan belakang, ia juga mempunyai ciri sebuah kereta sports, iaitu nisbah agihan berat 47:53 yang menjadikan pemanduan rasa sporti, namun tidaklah sama tahap dengan kereta sports di luar sana.
Tapi untuk mereka yang mendambakan sebuah SUV keluarga yang sedap dipandu, MG S5 ini salah satu calon yang sesuai.
Talaan pada suspensi topang MacPherson dan tetapan multi-link di belakang menyediakan keseimbangan antara keselesaan dan dinamik pemanduan yang mampu membuatkan kita tersenyum.
Tiada masalah untuk SUV ini melayan selekoh di Litar Antarabangsa Karak, atau dibawa menempuh permukaan jalan yang tidak rata, seperti contoh memasuki kawasan kebun durian (dah musim kan?).
MG S5 turut menawarkan sistem brek pemulihan tenaga dan ciri pemanduan pedal tunggal dengan tetapan yang boleh dilaras mengikut kemahuan.
Sesuai untuk jalan jauh?
Dengan pek bateri berkapasiti 62 kWh, MG S5 ini boleh mencapai jarak sejauh 430 km (data WLTP).
Ia menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150 kW, cuma sayang sekali pengecasan AC hanyalah serendah 7 kW sahaja.
Bagi kami, tiada masalah untuk anda pandu MG S5 ini merentas sempadan negeri untuk pulang ke kampung.
Dengan kehadiran beberapa kemudahan pengecasan pantas di sepanjang laluan utama, anda kini boleh merancang perjalanan dengan lebih baik.
Untuk perjalanan pulang semula, kami memandu MG S5 ini dari Kuantan dengan kapasiti bateri 96 peratus, mengekalkan corak pemanduan pada kelajuan yang sekata sepanjang perjalanan dan tiba di Kuala Lumpur dengan kapasiti bateri tinggal 16 peratus.
Dengan kemudahan pengecasan pantas DC Handal di Bamboo Hills, kami mengambil kesempatan untuk berehat seketika dan menambah jarak dalam tempoh masa kurang 15 minit untuk memastikan kami sempat tiba di majlis pelancaran sebuah lagi model baharu di Shah Alam.
Keselamatan
Secara standard, MG S5 EV mempunyai kelengkapan keselamatan yang panjang, termasuklah 7 beg udara, kawalan jelajah adaptif (ACC), bantuan kekal lorong (LKA), bantuan kesesakan trafik (TJA) serta brek kecemasan autonomi (AEB).
Ia juga mempunyai sistem kamera keliling 360 darjah yang sangat membantu terutama ketika kelajuan rendah dan menghadapi kesesakan trafik.
Sekiranya anda mahu mengubah laluan, hidupkan sahaja lampu isyarat membelok, dan sistem kamera akan memaparkan imej jelas di luar medan titik buta.
MG S5 EV juga merupakan sebuah kereta yang mahu anda pandu dengan selamat.
Sistem amaran had kelajuan akan berbunyi sekiranya EV ini dipandu melebihi had yang dibenarkan, dan boleh membuatkan anda rasa terganggu sepanjang perjalanan.
Berita baik, tahap kelantangan bunyi amaran ini boleh direndahkan. Usah risau dan nikmati sahaja alunan muzik daripada enam pembesar suara tanpa gangguan.
Kesimpulan
Berdasarkan pemanduan ringkas, MG S5 EV ini boleh dipertimbangkan sebagai satu pilihan untuk mereka yang mahukan sebuah SUV elektrik yang unik.
Ciri yang biasanya wujud pada SUV segmen yang lebih besar seperti nisbah agihan berat serta pacuan roda belakang kini sudah didapati pada SUV ini.
Sudah pasti tiada ciri yang terlebih canggih dan ‘fancy’, namun pada harga yang lebih mampu milik, MG S5 menyediakan pakej praktikaliti, keselesaan dan pemanduan yang boleh buatkan anda tersenyum.
Usah tertipu dengan rupanya yang biasa-biasa itu, kami sarankan anda cuba sendiri pandu uji MG S5 ini sebelum membuat keputusan.
Spesifikasi MG S5 EV (harga RM135,900)
Nadi penggerak: motor elektrik tunggal
Pacuan: roda belakang (RWD)
Kuasa: 170 PS, 250 Nm
Bateri: LFP, kapasiti 69 kWh
Pengecasan AC: 7 kW
Pengecasan DC: 150 kW
Jarak gerak: 430 km (data WLTP)
Suspensi: Topang MacPherson/Multi-link
Kargo: 453 – 1441 liter
MG Motor Malaysia mengumumkan penawaran varian baharu pacuan roda belakang bagi roadster berkuasa elektrik MG Cyberster.
Dengan kemunculan varian RWD, MG Cyberster kini boleh didapati pada harga bermula dari RM299,900, sementara Cyberster 4WD pula berharga RM319,900.
Dari segi spesifikasi, Cyberster RWD dikuasakan oleh motor elektrik pacuan roda belakang menghasilkan kuasa 340 PS dan daya kilas 475 Nm.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas lima saat, sementara pek bateri berkapasiti 77 kWh pula membenarkan jarak gerak sehingga 508 km.
Cyberster RWD turut menyokong pengecasan pantas DC di mana pek bateri boleh dicas dalam tempoh 38 minit dari 10-80 peratus.
Antara ciri lain termasuklah rim aloi 19 inci serta sistem brek Brembo yang memberikan kawalan yang sepadan dengan prestasinya.
Namun dari segi penampilan, kedua-dua varian Cyberster RWD dan 4WD membawakan elemen rekaan yang sama termasuklah pintu bukaan elektrik, unit lampu LED dan siluet rendah yang menampilkan rekaan ekor gaya Kammback.
Ruang kabin Cyberster diinspirasikan daripada sukan perlumbaan dengan kemasan kulit dan Alcantara, tempat duduk dengan sokongan tulang belakang, skrin paparan digital 10.25 inci, skrin sentuh sebesar tujuh inci, serta dua skrin tambahan tujuh inci.
Terdapat empat warna menarik yang ditawarkan, iaitu Dynamic Red, Camden Grey, Inca Yellow, dan English White.
MG Malaysia turut menawarkan bumbung lembut berwarna merah sebagai opsyen RM2,000 kepada bumbung standard berwarna hitam.
Rakyat Malaysia boleh melihat dengan lebih dekat MG Cyberster RWD serba baharu di siri jelajah “Dare to Love” yang akan berlangsung di 1 Utama (Old Wing) bermula 9 hingga 13 Julai ini.
Pelanggan yang membuat tempahan MG Cyberster sepanjang tempoh ini akan menerima pakej pengecasan tanpa had JomCharge selama satu tahun, pengecas dinding AC 7kW percuma, serta model diecast MG Cyberster edisi terhad.
Selepas dipertontonkan pada April lalu, SUV elektrik segmen B terbaharu dari MG Motor Malaysia iaitu MGS5 EV kini dibuka untuk tempahan.
Kini dipamerkan di Malaysia Autoshow 2025, MGS5 EV akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Com dan Lux. Varian Com boleh didapati dengan bateri 49 kWj atau 62 kWj, masing-masing memberikan jarak sehingga 340 km dan 430 km berdasarkan kitaran WLTP.
Sementara itu, varian Lux pula didatangkan dengan satu pilihan bateri sahaja iaitu 62 kWj yang turut menawarkan jarak gerak sehingga 430 km.
Kedua-dua varian dipacu oleh motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menjana 170 PS dan 250 Nm.
Menurut MG, varian Lux menyokong pengecasan pantas sehingga 150 kW yang membolehkan pengecasan dari 10% hingga 80% dilengkapkan dalam masa hanya 26 minit. Turut disertakan adalah pengecasan AC 7 kW dan fungsi Vehicle-to-Load (V2L).
MGS5 EV akan diposisikan sebagai pesaing terus Proton e.MAS 7 dan BYD Atto 3. Ia mempunyai ukuran panjang 4,476 mm, lebar 1,849 mm dengan jarak antara roda 2,730 mm. Ruang butnya pula menawarkan ruang maksimum 1,441 liter.
Kelengkapan standard yang disertakan termasuk lampu depan LED dengan DRL bertemakan ‘Racing Flag’, lampu belakang Arch khas MG dengan motif tersendiri, skrin kluster 10.25 inci, skrin infohibur 12.8 inci, serta sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Varian Lux mendapat kelengkapan tambahan berupa roda aloi 18 inci, bumbung matahari panoramik, upholsteri fabrik-kulit, pelarasan kuasa untuk tempat duduk pemandu, stereng kulit dengan sistem penghangat, pad pengecasan telefon tanpa wayar, enam pembesar suara premium, pintu belakang berkuasa, dan kamera 360 darjah.
Tiada pengumuman harga rasmi namun seperti yang dilaporkan sebelum ini, MGS5 EV bakal dijual dengan harga anggaran RM115,000.
Pelanggan yang membuat tempahan semasa Malaysia Autoshow dengan bayaran yuran RM500 akan layak untuk pakej early bird eksklusif yang menawarkan penjimatan luar biasa, serta pengecas AC Wallbox 7 kW secara percuma.
MG Motor Malaysia baru-baru ini mempertontonkan sebuah model SUV elektrik yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, iaitu MGS5 EV.
Dari segi dimensi, MGS5 EV membawakan ukuran sepanjang 4,476 mm, lebar 1,849 mm dengan jarak antara roda 2,730 mm.
Ruang kargo pula adalah sebesar 452 liter dan boleh dibesarkan sehingga 1,441 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
MGS5 EV dipacu oleh motor elektrik pacuan roda belakang berkuasa 170 PS dan 250 Nm.
Terdapat dua pilihan pek bateri, iaitu 49 kWh yang menawarkan jarak pandu sejauh 340 km, atau bateri 62 kWh dengan jarak pandu sejauh 430 km.
MGS5 EV menyokong pengecasan AC 11 kW, pengecasan pantas DC sehingga 150 kW, selain fungsi Vehicle-to-Load (V2L) sehingga 6.6 kW.
Untuk ruang kabin, MGS5 EV dilengkapi dengan skrin kluster 10.25 inci, skrin infohibur 12.8 inci, serta sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Varian yang lebih premium mendapat ciri tambahan seperti rim aloi 18 inci, bumbung kaca panorama, pintu belakang berkuasa, tempat duduk balutan kulit dan fabrik berliang, fungi pemanas roda stereng, tempat duduk pemandu boleh laras berkuasa elektrik, sistem audio premium dengan enam pembesar suara dan kamera keliling 360 darjah.
Tidak ketinggalan, ciri keselamatan seperti tujuh beg udara serta kelengkapan ADAS.
Terdapat lima warna menarik, iaitu Arctic White, Monument Silver, Camden Grey, Dynamic Red dan Elegant Latte.
Bakal dilancarkan tidak lama lagi, MGS5 EV bakal dijual dengan harga anggaran RM115,000.
MG Motor Malaysia baru-baru ini mengumumkan pembukaan 10 cawangan pengedar baharu MG Motor bagi memperkukuhkan kedudukan jenama itu di negara ini.
Pengedar-pengadar baharu ini juga memberikan pengunjung akses kepada kenderaan elektrik (EV) jenama MG iaitu MG4 dan MG ZS EV yang dilancarkan pada Mac lalu.
10 pengedar MG Motor yang baru dilantik adalah seperti berikut:
Mega Galeri Motor Sdn. Bhd. (MG Motor Petaling Jaya)
Mega Galeri Sdn. Bhd. (MG Motor Glenmarie)
Mega Appeal Sdn. Bhd. (MG Motor Cheras)
Sing Huat Premium Sdn. Bhd. (MG Motor Chan Sow Lin)
MN Automart Sdn. Bhd. (MG Motor Setia Alam)
SV Auto Haus Sdn. Bhd. (MG Motor Seremban)
Seong Hoe Motors Sdn. Bhd. (MG Motor Melaka)
Ang Trading & Motor Credit Sdn. Bhd. (MG Motor Muar)
Ang Trading & Motor Credit Sdn. Bhd. (MG Motor Plentong)
SV Auto Haus Sdn. Bhd. (MG Motor Puchong) – operasi dan bilik pameran dibuka pada Mei 2024
“Kami berbesar hati mengalu-alukan wakil pengedar ini ke keluarga MG. Keterujaan dan komitmen mereka sejajar dengan misi kami untuk menyediakan pengalaman MG yang tiada tandingan kepada pelanggan yang dihargai di seluruh negara,” kata Steven Du, Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia.
Tambah beliau lagi, sebagai tambahan kepada 10 pengedar tersebut, MG Motor merancang untuk berkembang ke wilayah Utara dan Pantai Timur tidak lama lagi.