Arkib Tag: MG Malaysia

MG S5 EV 2025 rasmi dilancarkan di Malaysia – tiga varian, dari RM115,900

MG Malaysia akhirnya secara rasmi melancarkan model EV terbaharu mereka, iaitu MG S5 EV 2025.

Ia merupakan SUV elektrik dalam segmen C yang bakal memberikan saingan secara terus kepada Proton e.MAS 7 serta BYD Atto 3.

Dari segi dimensi, MG S5 EV berukuran sepanjang 4,476 mm, lebar 1,849 mm, tinggi 1,621 mm dengan jarak antara roda 2,730 mm.

Ruang kargo adalah sebesar 453 liter dan boleh mencapai kapasiti maksimum 1,441 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Untuk pasaran tempatan, SUV elektrik ini tersedia dalam tiga varian, iaitu Com, Com Long Range dan juga Lux Long Range.

Varian Com boleh didapati dengan pilihan pek bateri lithium iron phospate (LFP) berkapasiti 49 kWh dengan jarak gerak 340 km, sementara varian Com Long Range pula dilengkapi bateri 62 kWh dengan jarak gerak cecah 430 km.

Sementara varian Lux Long Range pula hanya eksklusif dengan pek bateri 62 kWh.

Namun, kesemua varian secara standard dilengkapi dengan motor elektrik pacuan roda belakang berkuasa 170 PS dan 250 Nm.

Selain itu, MG S5 EV juga menyokong pengecasan AC 7 kW dan pengecasan pantas DC sehingga 120 kW, manakala varian Lux pula diberikan kelebihan pengecasan pantas DC sehingga 150 kW.

Ini membolehkan MG S5 EV Lux dicas dalam tempoh 26 minit dari 10-80 peratus SoC.

Secara standard, MG S5 EV dilengkapi dengan unit lampu LED berserta lampu nyalaan siang (DRL) LED, baru lampu LED melintang di belakang, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, skrin kluster digital 10.25 inci serta skrin tengah sebesar 12.8 inci.

Varian Lux pula mendapat kelengkapan tambahan termasuklah rim aloi 18 inci, bumbung kaca panorama, upholsteri tempat duduk kulit-fabrik, tempat duduk pemandu boleh laras, pemanas roda stereng, pengecasan peranti pintar tanpa wayar, pintu tailgate berkuasa, sistem audio dengan enam pembesar suara dan kamera keliling.

Terdapat lima warna tersedia iaitu Arctic White, Monument Silver, Camden Grey, Dynamic Red dan Elegant Latte.

Harga jualan bermula dari RM115,900 untuk varian Com, RM125,900 untuk varian Com Long Range, sementara varian Lux pula berharga RM135,900.

Untuk 500 orang pelanggan pertama akan menerima manfaat berupa penjimatan sehingga RM6,000 serta pakej pengecas dinding 7kW secara percuma. Ini bermakna, harga jualan MG S5 EV kini bermula serendah RM109,900.

MG S5 EV 2025 (Varian Com)

MG Malaysia umum promosi akhir tahun, ansuran percuma sehingga 20 bulan

Bersempena dengan sambutan ulang tahun MG yang ke-100, SAIC Motor Malaysia mengumumkan kempen promosi akhir tahun untuk model kenderaan MG4 EV dan MG ZS EV.

Kempen terbaharu ini menawarkan ansuran percuma sehingga 20 bulan bernilai RM26,000 untuk model MG ZS EV.

Pelanggan juga boleh menikmati 12 bulan ansuran percuma (RM16,000) untuk model MG4 EV Lux, atau ansuran 8 bulan percuma bernilai RM8,500 untuk model MG4 EV Standard.

Mengikut spesifikasi, MG ZS EV (RM126,629) merupakan SUV elektrik segmen B yang hadir dengan motor elektrik tunggal berkuasa 176 PS dan 280 Nm, menawarkan jarak gerak sejauh 320 km mengikut data WLTP.

Sementara hatchback EV MG4 versi standard (RM104,629) dibekalkan dengan motor elektrik tunggal pacuan belakang berkuasa 170 PS/250 Nm, dengan jarak gerak sejauh 350 km untuk sekali cas penuh.

Varian MG4 Lux (RM129,620) pula mendapat motor elektrik yang lebih berkuasa, 203 PS/250 Nm dipadankan dengan pek bateri 64 kWh yang menawarkan jarak gerak sejauh 435 km.

Orang ramai dijemput untuk memandu uji MG4, MG ZS EV, serta model-model lain di Bilik Pameran Pengedar Sah MG Motor yang terdekat.

MG Cyberster EV 2024 buat kemunculan pertama di Malaysia

Serentak dengan pelancaran dua buah model ICE, MG Malaysia turut membuat kejutan dengan memperlihatkan sebuah model roadster berkuasa elektrik, iaitu MG Cyberster EV 2024.

Tiada sebarang info berkenaan harga jualan serta spesifikasi didedahkan buat masa ini.

Di sini kami kongsikan serba sedikit informasi berdasarkan spesifikasi model MG Cyberster yang dijual di pasaran global.

 

1. Dua pilihan pacuan: RWD atau AWD

MG Cyberster EV boleh didapati dalam versi motor elektrik tunggal pacuan roda belakang, menghasilkan kuasa 310 hp/475 Nm, atau output yang lebih tinggi 335 hp/475 Nm. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat.

Sementara versi motor elektrik berkembar dengan sistem pacuan semua roda pula mampu menjana kuasa setinggi 536 hp dan 725 Nm, di mana ia mampu  memecut sepantas 3.2 saat dari pegun ke 100 km/j.

 

2. Jarak gerak cecah 580 km

Terdapat dua pilihan kapasiti pek bateri tersedia, iaitu 64 kWh dengan jarak gerak mampu mencecah 501 km, atau 77 kWh dengan jarak gerak mencecah 580 km (520 km untuk versi AWD).

 

3. Roadster sifar emisi dengan rekaan sporti

Apa yang mencuri tumpuan ialah rekaan luaran roadster yang mampu mencuri tumpuan orang ramai.

Ia membawakan rekaan hadapan seakan hidung jerung, diikuti unit lampu LED, bukaan pintu scissor ala Lamborghini, rim 20 inci, serta rekaan lampu belakang membawakan motif bendera Union Jack dan anak panah.

 

4. Kabin

Ruang kabin MG Cyberster ini hanya mampu memuatkan dua orang sahaja pada satu-satu masa.

Antara kelengkapan yang wujud termasuklah tempat duduk sports balutan kulit Nappa/Alcantara, roda stereng sports, skrin digital 10.25 inci, dua skrin tambahan sebesar tujuh inci, serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

 

5. Ruang kargo

MG Cyberster menyediakan ruang kargo belakang sebesar 249 liter.

Di pasaran Thailand, MG Cyberster versi AWD dijual pada harga THB 2,499,000 (RM317,949). Agak-agak, berapa harga jualan yang bakal diletakkan untuk pasaran Malaysia? RM200,000?