Arkib Tag: mexico

BYD Shark diperkenalkan di Mexico – trak pikap PHEV dengan jarak pandu 840 km

BYD secara rasminya memperkenalkan trak pikap pertamanya iaitu Shark di Mexico. Menurut CEO BYD Americas, Stella Li, Mexico dipilih kerana ada peningkatan dalam permintaan untuk trak pikap di negara itu.

Apa yang menarik, Shark dilancarkan beberapa jam selepas Joe Biden mengumumkan peningkatan tarif ke atas kenderaan elektrik dari China daripada 25% kepada 100%.

Reuters melaporkan bahawa BYD tidak mempunyai sebarang perancangan untuk memasarkan Shark di Amerika Syarikat.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Shark menggunakan trenkuasa hibrid plug-in baharu yang dikenali sebagai DMO (Dual-Mode Off-Road).

Trenkuasa PHEV itu menampilkan gabungan enjin turbo petrol 1.5-liter dan dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 430 hp, cukup untuk membolehkan Shark memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.7 saat.

Spesifikasi bateri tidak dinyatakan namun trak ini menawarkan jarak pandu elektrik sejauh 100 km (kitaran NEDC) dan jarak pandu keseluruhan sejauh 840 km. Kadar penggunaan bahan api adalah sekitar 7.5 liter untuk setiap 100 km.

Seperti Leapord 5, Shark dibina menggunakan casis ladder frame. Ia mempunyai ukuran panjang 5,457 mm, lebar 1,971 mm, tinggi 1,925 mm dan jarak roda 3,260 mm. Ini menjadikannya lebih besar berbanding Ford Ranger dan Toyota Hilux.

Casis digabungkan dengan sistem gantungan bebas pada bahagian depan dan belakang yang dikatakan menawarkan keseimbangan dari segi pengendalian dan keselesaan.

Sebagai sebuah trak pikap, Shark mempunyai kapasiti tunda maksimum mencecah 2,500 kg. Bahagian bed pula menawarkan ruang kargo sebesar 1,450 liter dengan had muatan 835 kg.  Untuk pemanduan off-road, terdapat tiga mod yang boleh dipilih iaitu Sand, Mud dan Snow.

Masuk ke dalam, anda akan menemui beberapa elemen yang sinonim dengan jenama BYD termasuk skrin sentuh sistem infohibur berukuran 12.8 inci yang boleh berpusing dan kluster instrumen digital 10.25 inci.

Selain itu, terdapat juga Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, sistem arahan suara “Hi BYD”, fungsi karaoke (mikrofon dijual berasingan), pengecas wayarles 50W dan paparan head-up 12 inci.

Sistem keselamatan pula merangkumi enam beg udara dan sistem ADAS dengan ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Intelligent Navigation System (ICC), Forward Collision Warning (FCW), Rear Collision Warning (RCW), Rear Cross Collision Warning (RCTA), Rear Cross Collision Braking (RCTB) dan bermacam lagi.

Di Mexico, Shark boleh didapati dalam dua varian iaitu GL dan GS. Harga jualan bermula dari 899,980 peso (RM250,356) untuk GL dan 969,800 peso (RM269,777) untuk GS.

Inilah Subaru WRX wagon dengan manual 6-kelajuan yang kita tak boleh beli

SUBARU akhirnya memperkenalkan pakej kombinasi idaman ramai peminat tegarnya; WRX, wagon, dan manual. Ia hadir dalam bentuk Subaru WRX Sportwagon.

Masalahnya, seperti anda baca pada tajuk, kita tidak boleh membelinya. Subaru WRX Sportwagon ini hanya ditawarkan untuk Mexico. Ya, untuk Jepun atau Amerika Syarikat pun tiada.

Kenderaan prestasi tinggi wagon ini akan mula dijual di Mexico tidak lama lagi, dan tempahan sudah mula dibuka.

WRX Sportwagon dikuasakan oleh enjin 2.4-liter boxer 4-silinder turbo dengan output 271hp dan 350Nm tork. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear manual 6-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda.

Ciri standard wagon adalah pintu but berkuasa dan tempat duduk belakang dengan lipatan 40/20/40.

Subaru WRX Sportwagon ini akan dijual pada harga MX$819,900 (RM230k). Sementara itu WRX tS berharga MX$919,900 (RM258k) manakala WRX dengan kotak gear CVT dijual pada MX$899,900 (RM252k).

Ramai peminat WRX wagon manual di sini? Adakah kemungkinan kita boleh beli dari Mexico dan import ke Malaysia? Tinggalkan pendapat anda di ruangkan komen.