Arkib Tag: Mercedes-Maybach

Mercedes-Maybach S-580 4MATIC Night Series rasmi di Malaysia – dari RM2.4 juta

Mercedes-Benz Malaysia mengumumkan ketibaan sedan ultra-mewah Mercedes-Maybach S580 4MATIC Night Series untuk pasaran tempatan dengan harga jualan dari RM2,404,888 (atas jalan tanpa insurans).

Tidak seperti S-Class Maybach yang pernah ditawarkan sebelum ini, edisi Night Series menampilkan motif gelap eksklusif yang membawakan kemewahan dan sporti yang diperhalusi ke satu aras baharu.

Terdapat beberapa warna luaran yang tersedia termasuklah kelabu, hitam dan putih, serta kombinasi warna dua tona seperti onyx black/Mojave silver dan Manufaktur opalite white bright/obsidian black.

Ia turut diserikan dengan beberapa kemasan terperinci seperti elemen rose gold dan krom metalik gelap pada unit lampu utama, serta kemasan dark shadow gloss pada jeriji hadapan dan bampar, bintang Mercedes, pemegang pintu serta emblem Maybach.

Selain itu, terdapat kemasan hitam berkilat pada struktur keliling tingkap, tiang B, serta perumah cermin sisi, diikuti ambang pintu bercahaya dengan skrip “MAYBACH Night Series”.

Akhir sekali, keempat-empat sudut gerbang roda dihiasi dengan rim aloi ringan Maybach tujuh jejari bersaiz 20 inci.

Ruang kabin S580 Night Series ini dilengkapi dengan balutan kulit nappa dengan kombinasi warna Black/Black Pearl, kemasan golden-grey berkilat, sistem pencahayaan ambien aktif dengan skema warna Garnet Glow, trim kayu Manufaktur serta kemasan gaya kristal hitam dengan corak Maybach pada konsol tengah.

Bahagian corong pendingin hawa pula diberikan kemasan dark shadow gloss pada bahagian depan dan belakang.

Bersesuaian dengan tema hitam, sedan ini turut dilengkapi dengan animasi permulaan bertemakan mistik pada skrin paparan.

Mercedes-Maybach S580 4MATIC Night Series ini dikuasakan oleh enjin bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar dengan janaan kuasa 496 hp @ 5,500 rpm dan daya kilas 700 Nm @ 2,000-4,500 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik 9-kelajuan, sistem pacuan semua roda 4MATIC, dan sistem hibrid EQ-Boost (tambahan kuasa 23 hp/205 Nm).

Mercedes-Maybach GLS 600 4Matic dilancarkan – dari RM1.9 juta

RANGKAIAN model Dream Cars Collection Mercedes-Benz Malaysia (MBM) kini diperluaskan lagi dengan ketibaan empat model serba baharu.

Yang pertama adalah SUV bersaiz penuh ultra-mewah iaitu Mercedes-Maybach GLS 600 4Matic, yang dijual pada harga bermula dari RM1,918,888.

Model ini boleh dibezakan dengan versi standard menerusi bar krom melintang, tulisan Maybach, logo Maybach pada gril liang udara, serta rim tempaan multi-spoke berukuran 23 inci.

Bukan itu sahaja, model ini juga boleh didapati dalam pelbagai warna termasuk warna dua tona yang sinonim dengan jenama mewah itu.

Antara kelengkapan yang diberikan secara standard termasuk lampu Multibeam LED dengan ciri Adaptive Highbeam Assist Plus dan bumbung suria panoramik. Turut disertakan adalah pintu soft-close.

Ruang kabin dijelmakan menjadi lebih mewah dan eksklusif menerusi pakej julit Manufaktur, yang membawakan kulit Nappa pada kerusi dan pelapik bumbung, serta jahitan corak berlian berkualiti tinggi pada kerusi.

Pelanggan juga boleh memilih untuk mendapatkan gabungan warna Manufaktur Crystal White/Silver Grey Pearl atau Mahogany Brown/Machhiato Beige yang ditawarkan secara eksklusif untuk model Mercedes-Maybach.

Khas untuk penumpang belakang adalah sepasang kerusi Executive yang dilengkapi dengan perehat kaki dan fungsi urut. Penumpang dipisahkan dengan konsol tengah yang menempatkan pemegang cawan dan peti sejuk mini.

Tidak cukup dengan itu, keselesaan penumpang dijamin dengan pencahayaan ambien yang mewarnai setiap sudut ruang kabin termasuk pelapik bumbung, serta pakej Acoustic Comfort yang boleh mengurangkan bunyi bising.

Sistem multimedia MBUX membawakan Widescreen Cockpit yang terdiri daripada panel instrumen dan skrin sentuh, head-up display dengan navigasi realiti terimbuh (AR), serta dua paparan 11.6 inci dan tablet untuk penumpang belakang.

Maybach GLS 600 dikuasakna oleh enjin 4.0-liter biturbo V8 yang menghasilkan 557 PS pada 6,000 rpm dan 770 Nm tork dari 2,500 hingga 4,500 rpm. Ia dibantu oleh sistem mild hybrid dengan motor elektrik yang mampu menjana 22 PS dan 250 Nm.

Menurut Mercedes-Benz, SUV besar ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.9 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 250 km/j.

Untuk casis, model ini menggunakan gabungan sistem suspensi udara Airmatic dan E-Active Body Control untuk pemanduan yang selesa.

Ia juga mempunyai Magic Vision Control yang menggunakan bilah pengelap cermin yang dipanaskan untuk pandangan yang lebih jelas.

Sistem keselamatan dan bantuan pemanduan pemandu pula merangkumi ciri-ciri Guard 360°, Driving Assistance Package, Mirror Package, Active Distance Assist Distronic, Parking Package dengan kamera 360 darjah dan Pre-Safe Impulse Side.