Mercedes-Benz Malaysia mengumumkan kemas kini bagi model sedan mewah S 580 e with EQ Hybrid Technology untuk pasaran tempatan.
Sedan S-Class yang dipasang di kilang Pekan, Pahang itu kini dijual pada harga bermula dari RM738,888 atas jalan tanpa insurans.
Berbanding model terdahulu, S 580 e 2025 mendapat beberapa ciri baharu seperti:
- rim aloi berbilang jejari saiz 20 inci
- sistem stereng gandar belakang (sudut sehingga 4.5 darjah)
- pengecasan pantas DC 60 kW untuk pengecasan 20 minit (10-80 peratus)
Sementara ruang kabin pula mendapat kemas kini seperti:
- kemasan baharu pada konsol tengah
- fungsi ventilasi dan pemanas tiga tahap untuk tempat duduk depan
- penapis udara kabin PM2.5 Energizing Air Control
Dari segi kuasa, S 580 e ini kekal dengan tetapan enjin plug-in hybrid (PHEV) terdiri daripada nadi enam silinder sebaris 2,999 cc dan motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 510 hp dan daya kilas 750 Nm.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 5.2 saat, dan kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j.
Pek bateri 28.6 kWh pula membenarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 100 km.
Antara ciri lain termasuklah sistem suspensi udara Airmatic, lampu digital, tayar jenis run-flat, tempat duduk dan roda stereng balutan kulit nappa, gandingan skrin 12.3 dan 12.8 inci lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem audio Burmester 3D.
Untuk penumpang belakang pula disediakan tempat duduk boleh laras elektrik, MBUX High-End Rear Seat Entertainment System terdiri daripada tablet, set fon telinga tanpa wayar, serta skrin berkembar saiz 11.6 inci.
Ciri keselamatan termasuklah Bantuan Stereng Aktif, Bantuan Kekal Lorong Aktif, sistem kamera keliling 360 darjah, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), bantuan parkir, serta Driving Assistance Package.
