Arkib Tag: Mercedes-Benz G-Class

Mercedes-Benz G-Class Cabriolet sedang diuji!

Model legenda Mercedes-Benz G-Class yang terkenal dengan reka bentuk dan peminat tersendiri bakal menerima ahli keluarga baharu!

Dari segi sejarah, bukanlah ahli keluarga baharu tetapi ibarat sireh pulang ke gagang.

Selepas menerima maklum balas menggalakkan terhadap butiran acah (teaser) awal, Mercedes-Benz kini memulakan program ujian model prototaip G-Class Cabriolet di jalan raya terbuka.

Model G-Class Cabriolet baharu mewarisi tradisi yang telah wujud sejak beberapa dekad lalu lebih lagi apabila G-Wagen merupakan kenderaan ketenteraan.

G-Class Cabriolet juga hadir dalam versi mewah seperti Mercedes-Maybach G 650 Landaulet.

Ujian Dinamik di Austria dan Musim Sejuk

Prototaip G-Class Cabriolet sedang menjalani ujian jalan raya dinamik dan ujian litar di Austria.

Para jurutera sedang giat mengumpulkan data menyeluruh untuk memberikan pengalaman pemanduan terbuka yang dapat menawarkan ‘feel’ G-Class yang tersendiri.

Program ujian akan diteruskan ke Sweden untuk menghadapi ujian musim sejuk yang mencabar.

Dalam persekitaran bersuhu sejuk melampau dan bersalji, kekukuhan, dinamik pemanduan dan ketahanan model baharu ini akan diuji sepenuhnya.

Rangkaian Kuasa

Mercedes-Benz belum berkongsi mengenai rangkaian kuasa dan untuk makluman, G-Class di pasaran sekarang digerakkan enjin petrol, diesel dan motor elektrik.

Sebagai rujukan, berikut rangkaian kuasa yang ditawarkan di United Kingdom.

G 450 d:

  • Enjin: Diesel, 2,989 cc
  • Konfigurasi: Sebaris 6 silinder 24 injap
  • Kuasa: 367 hp @ 4,000 rpm
  • Tork: 750Nm @ 1,350–2,800 rpm

G 500:

  • Enjin: Petrol, 2,999 cc
  • Konfigurasi: Sebaris 6 silinder 24 injap
  • Kuasa: 449 hp @  5,800–6,100 rpm
  • Tork: 560Nm @ 2,200–5,000 rpm

Mercedes-AMG G 63:

  • Enjin: Petrol, 3,982 cc
  • Konfigurasi: V8 32 injap
  • Kuasa: 585 hp @ 6,000 rpm
  • Tork: 850 Nm @ 2,500–3,500 rpm

G 580 dengan EQ Technology (BEV):

  • Motor Elektrik: 432 kW (587 hp)
  • Tork Motor Elektrik: 1,164Nm
  • Bateri: Litium-ion 116 kWj
  • Jarak (EAER): Sekitar 450–455 km (berdasarkan 280–283 batu)
  • Penggunaan Kuasa: 269–293 Wh/km
  • Masa Pengecasan DC (10-80% pada 200 kW): 32 minit

Mercedes-Benz G580 EQ, SUV off-road dengan 4 motor elektrik, jarak gerak 470 km

Di tengah-tengah kepesatan kehadiran pelbagai jenis model EV dari seluruh pelusuk dunia, Mercedes-Benz baru sahaja melancarkan G-wagen berkuasa elektrik.

Tidak seperti format penamaan yang terdahulu yang menggunakan awalan EQx, G-Class berkuasa elektrik ini diberikan nama rasmi Mercedes-Benz G580 with EQ Technology. Panjang betul nama yang dia bagi.

Berikut merupakan perincian ringkas SUV elektrik berkotak Mercedes-Benz ini:

1. Empat motor elektrik

G580 EQ ini datang dengan tetapan empat motor elektrik, setiap satu mampu menghasilkan kuasa setinggi 145 hp.

Secara keseluruhan, rangkaian kuasa ini mampu menjana kuasa setinggi 579 hp dan 1,164 Nm.

 

2. Pecutan tidak begitu pantas

Walaupun hadir dengan empat motor elektrik, G-wagen elektrik ini hanya mampu memecut sepantas 4.7 saat dari 0-100 km/j.

Ini adalah kerana Mercedes-Benz mengutamakan prestasi pemanduan off-road yang sebenar untuk G580 EQ, berbanding pecutan dengan daya G yang mampu mematahkan leher penumpang di atas jalan raya.

 

3. Direka untuk pemanduan off-road

Selain daripada empat motor elektrik, G580 EQ ini datang dengan kotak gear dua nisbah kelajuan.

Tiada keperluan untuk memasang komponen kekunci pembeza tradisional, sebaliknya SUV ini menggunakan kawalan setiap motor elektrik untuk memastikan setiap roda mempunyai cengkaman yang mencukupi untuk menawan muka bumi yang pelbagai.

Disebabkan itu, G-wagen ini mampu mendaki cerun 35 darjah, dan keupayaan untuk menyelam laluan berair setinggi 850 mm, atau 150 mm lebih dalam berbanding G-Class berenjin.

 

4. Pemanduan macam kereta kebal

Satu lagi kelebihan yang ada pada G580 EQ ini ialah keupayaan tank-turn, di mana G580 ini mampu berpusing setempat seakan kereta kebal.

Selain itu, terdapat juga fungsi G-Steering yang mampu mengecilkan radius putaran, serta mod merangkak untuk pemanduan di laluan yang agak sukar.

 

5. Jarak gerak cuma 470 km

Untuk G580 ini, Mercedes-Benz memadankan pek bateri 116 kWh yang diperoleh daripada sedan EQS.

Disebabkan penambahan pek bateri, G-wagen EV ini mempunyai 600 kg lebihan berat badan (berat keseluruhan 3,085 kg).

Dipadankan dengan struktur berkotak (walaupun angka pekali seretan 0.44 Cd), G580 EQ ini hanya mampu bergerak sejauh 470 km untuk sekali cas penuh.

 

6. Struktur binaan badan yang sama macam G-Wagen ICE

Mercedes-Benz mengekalkan struktur binaan body-on-frame untuk model G580 EQ ini.

Antara perubahan minima yang boleh dikesan ialah struktur jeriji dan hud hadapan yang telah direka semula untuk aliran udara yang lebih baik.

 

Perumah tayar simpanan pada pintu tailgate pula telah diubahsuai untuk menyimpan kabel pengecasan.

 

7. Ruang kabin rekaan sama

Sama seperti model G-Class yang konvensional, G580 EQ ini juga mengekalkan susun atur papan pemuka dan ruang kabin yang hampir serupa.

Tidak banyak perubahan yang dibawakan, di mana skrin berkembar 12.3 inci masih lagi duduk tengah di hadapan pemandu, diikuti sistem infohibur MBUX, sistem audio Burmester 3D dan bermacam-macam lagi.

Untuk memudahkan pemanduan off-road, G580 EQ ini turut diberikan fungsi sistem kamera tembus hud hadapan.