Arkib Tag: Mercedes-Benz EQV 300

Mercedes-Benz EQV 300 2025 rasmi di Malaysia – harga dari RM450,000

Hap Seng Trucks Distribution (HSTD) selaku pengedar sah Mercedes-Benz Vans di Malaysia melancarkan model minivan elektrik baharu Mercedes-Benz EQV 300 2025 baru-baru ini.

Ditawarkan dalam varian tunggal Avantgarde, EQV 300 ini dikuasakan oleh motor elektrik 204 PS dan daya kilas 365 Nm yang dipadankan dengan pek bateri 90 kWh.

Untuk pengecasan penuh, EQV 300 mampu bergerak sejauh 418 km.

EQV 300 turut menyokong pengecasan AC 11 kW untuk pengecasan selama 10 jam serta pengecasan pantas DC 110 kW di mana pek bateri boleh dicas dalam tempoh masa 45 minit (10-80 peratus).

Minivan dengan tujuh tempat duduk ini dilengkapi dengan unit pencahayaan LED, rim aloi 17 inci, bumbung kaca panorama, serta pintu tailgate dan gelangsar berkuasa elektrik.

Ruang kabin pula dilengkapi dengan skrin paparan 12.3 inci berkembar MBUX, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio Burmester, kawalan iklim automatik, sistem pencahayaan ambien 64 warna, balutan upholsteri kulit Lugano, serta kemudahan pengecasan peranti pintar tanpa wayar.

Dari segi keselamatan, EQV 300 ini dilengkapi dengan fungsi seperti kamera 360 darjah, bantuan mula mendaki (HSA), sistem pemantauan titik buta, sistem pemantauan tekanan tayar, Active Distance Assist Distronic, Active Brake Assist, serta beg udara yang merangkumi bahagian hadapan, sisi dan kesemua tiang A-D.

Mercedes-Benz EQV 300 Avantgarde dijual pada harga bermula dari RM450,000.

Setiap pembelian didatangkan dengan pakej pengecas Wallbox percuma, pakej penyelenggaraan tiga tahun percuma, dan rebat tempahan khas RM10,000.

Secara standard, EQV 300 didatangkan dengan jaminan selama dua-tahun (atau had perbatuan 200,000 km yang mana tiba dahulu), serta jaminan bateri sehingga lapan-tahun atau 160,000 km yang mana tiba dahulu.

Hap Seng Trucks Distributions akan turut mengadakan sesi jerayawara bertempat di Bangsar Shopping Centre bermula 21 hingga 27 Julai ini di mana rakyat Malaysia boleh melihat model EQV 300 ini dengan lebih dekat.