Mercedes-Benz Malaysia baru-baru ini mengumumkan pembukaan tempahan bagi model sedan elektrik serba baharu Mercedes-Benz CLA 2026.
Ia hanya ditawarkan dalam varian tunggal CLA 250+ with EQ Technology, dengan harga jualan anggaran bermula dari RM295,888 atas jalan tidak termasuk insurans.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:
1. Unit pacuan
CLA 250+ hadir dengan tetapan motor elektrik tunggal pacuan belakang, menghasilkan kuasa 272 hp dan daya kilas 335 Nm.
Dengan padanan transmisi automatik 2-kelajuan, CLA 250+ boleh memecut sepantas 6.7 saat dari 0-100 km/j dan mencapai kelajuan tertinggi 210 km/j.
2. Bateri & pengecasan
CLA 250+ mampu bergerak sejauh 792 km untuk sekali cas penuh (data WLTP), terima kasih kepada pek bateri NMC 85 kWh.
Dengan senibina elektrik 800-voltan dan keupayaan pengecasan DC 320 kW, pemilik CLA boleh menambah jarak sehingga 325 km dalam masa 10 minit sahaja.
3. Dimensi
Sebagai sebuah sedan kompak, CLA membawakan ukuran sepanjang 4,723 mm, lebar 1,855 mm, tinggi 1,468 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,790 mm.
Berbanding generasi terdahulu, CLA baharu ini lebih panjang 35 mm, lebih lebar 25 mm, dan menawarkan ruang kabin yang lebih luas.
Buat pertama kalinya sebuah Mercedes menawarkan ruang kargo hadapan (frunk) sebesar 101 liter sebagai pelengkap kepada ruang kargo belakang 405 liter.
4. Luaran
Daripada segi rekaan luaran, penampilan CLA tampak sporti disumbangkan oleh ciri seperti jarak overhang yang pendek, rekaan belakang GT serta jarak antara roda yang panjang.
Bahagian depan mempunyai panel jeriji yang dihiasi dengan 142 LED bintang tiga bucu yang bercahaya.
Elemen bintang Mercedes itu juga boleh didapati pada unit lampu utama depan dan belakang.
5. Kabin
Ruang kabin CLA pula dihiasi dengan skrin paparan lebar MBUX Superscreen yang terdiri daripada skrin kluster digital 10.25 inci dan dua skrin sebesar 14 inci.
Sistem operasi MB.OS turut menawarkan ciri kepintaran buatan (AI) yang menggunakan sokongan ChatGTP4o dan Microsoft Bing, serta Google Gemini untuk persoalan berkaitan sistem navigasi.
Lebih banyak perincian tentang model ini akan diketahui menjelang pelancaran rasmi yang akan berlangsung tidak lama lagi.
