Arkib Tag: Mercedes-AMG CLE 53

Mercedes-Benz Malaysia lancar dua model coupe AMG – harga dari RM538,888

Dua buah model coupe AMG baru sahaja dilancarkan minggu ini sebagai pelengkap kepada barisan model berprestasi tinggi Mercedes-Benz Malaysia.

Model yang dimaksudkan itu ialah Mercedes-AMG CLE 53 4MATIC+ Coupé dan Mercedes-AMG CLA 45 S 4MATIC+ Coupé Final Edition.

CLE 53 AMG dikuasakan oleh enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo yang mampu menjana kuasa 449 hp dan 560 Nm, dibantu dengan sistem hibrid ringan 48V yang menawarkan kuasa ekstra 23 hp/205 Nm.

Dengan padanan transmisi AMG Speedshift TCT 9G dan sistem pacuan semua roda 4MATIC+, coupe ini boleh memecut sepantas 4.2 saat dari 0-100 km/j.

Kelajuan maksimum mencecah 250 km/j, atau sehingga 270 km/j dengan AMG Driver’s Package.

Aspek pemanduan dilengkapkan dengan pilihan lima mod AMG Dynamic Select (Slippery, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual), tiga tetapan suspensi AMG Ride Control (Comfort, Sport, Sport+), sistem stereng sensitif kelajuan, serta sistem stereng gandar belakang.

Terdapat juga AMG Dynamic Plus Package yang turut menawarkan program pemanduan RACE lengkap dengan Drift Mode, dan program AMG Track Pace untuk kegunaan dalam litar lumba.

Penampilan luaran coupe CLE ini diserikan dengan rim aloi 20 inci AMG, kemasan hitam berkilat AMG Night Package, kemasan krom gelap AMG Night Package II, serta kemasan gentian karbon AMG Exterior Carbon-Fibre Package I.

Ruang kabin CLE 53 dilengkapi dengan skrin kluster digital 12.3 inci, skrin tengah 11.9 inci, sistem pencahayaan ambien 64 warna, skrin paparan head-up, sistem audio Burmester 3D, roda stereng AMG Performance balutan kulit Nappa serta butang stereng khas AMG.

Pemandu dan penumpang hadapan diberikan tempat duduk AMG Performance dengan balutan kulit Artico/mikrofiber Microcut berserta grafik AMG dan jahitan kontras merah, dan tidak ketinggalan tali pinggang keledar merah.

Mercedes-AMG CLE 53 4MATIC+ Coupé ini dijual pada harga bermula RM722,888 atas jalan tanpa insurans.

Sebuah lagi model baharu yang dilancarkan ialah Mercedes-AMG CLA 45 S 4MATIC+ Coupé Final Edition.

Model coupe empat pintu ini menampilkan kelengkapan eksklusif seperti kemasan gelap AMG Night Package II pada jeriji radiator dan emblem.

Selain itu, terdapat pilihan cat eksklusif Alpine Grey Solid serta Patagonia Red Metallic daripada program penyesuaian Manufaktur.

Akhir sekali, penutup tangki bahan api coupe empat pintu ini diberikan warna krom perak berserta huruf AMG.

CLA 45 S ini dikuasakan oleh enjin 1,991 cc turbo yang mampu menjana kuasa 421 hp @ 6,750 rpm dan daya kilas 500 Nm @ 5,000-5,250 rpm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 4.1 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 270 km/j.

Harga jualan bermula dari RM538,888 atas jalan tanpa insurans.

Kedua-dua model ini boleh dilihat dengan lebih dekat di jerayawara AMG World of Performance di 1 Utama Shopping Centre, Luxe Ground Floor pada 10-15 September, bermula 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

Mercedes-AMG CLE 53 4MATIC+ Coupé

Mercedes-AMG CLA 45 S 4MATIC+ Coupé Final Edition

Mercedes-AMG CLE 53 Cabriolet bolehkan anda nikmati angin bertiup dalam masa 20 saat

Biarpun genre kenderaan coupe dua pintu makin mengecil, ia tidak pernah menghalang Mercedes-Benz daripada terus memperkenalkan model terbaharu yang mampu memenuhi keperluan pasaran niche tersebut.

Berita baik, model grand tourer CLE AMG kini boleh didapati dalam versi bumbung yang boleh dilipat, iaitu Mercedes-AMG CLE 53 4MATIC+ Cabriolet sebagai pelengkap kepada model hardtop yang diperkenalkan tahun lepas.

Perinciannya adalah seperti berikut:

 

1. Nadi enam silinder sebaris + sistem hibrid ringan

CLE 53 AMG versi cabriolet ini dikuasakan oleh nadi enam silinder sebaris 3.0 liter turbo berkembar yang dibantu dengan sistem hibrid ringan (mild-hybrid).

Secara keseluruhan, nadi tersebut mampu menjana kuasa setinggi 443 hp dan daya kilas sehingga 600 Nm dengan menggunakan fungsi Overboost.

Sistem starter-generator 48V pula menyumbang kuasa tambahan sebanyak 22 hp dan 205 Nm, sekaligus menambah baik aspek kecekapan rangkaian kuasa pada CLE AMG ini.

Kuasa itu tadi disalurkan kepada sistem pacuan semua roda 4MATIC menerusi transmisi 9G Speedshift.

 

2. Pecutan sepantas 4.2 saat

Secara standard, CLE 53 Cabriolet ini mampu memecut sepantas 4.4 saat dari 0-100 km/j, atau sepantas 4.2 saat menggunakan fungsi Race Start

Sesudah itu, anda boleh memandu CLE 53 Cabriolet ini pada kelajuan sehingga 250 km/j yang dihadkan secara elektronik, atau sehingga 270 km/j yang boleh dinyahkunci dengan tambahan bayaran.

 

3. Kelengkapan standard

Daripada kilang, Mercedes-AMG melengkapkan model CLE 53 Cabriolet ini dengan ciri seperti sistem suspensi adaptif AMG Ride Control, stereng tiga fasa AMG Parameter, sistem brek berprestasi tinggi, diikuti dengan sistem stereng gandar belakang.

Selain daripada itu, coupe grand tourer cabriolet ini juga dipadankan dengan kit badan penuh AMG, rim bersaiz 19 inci (atau 20 inci).

Terdapat pilihan untuk memadankan pakej tambahan seperti pakej aerodinamik AMG Styling, AMG Night dan juga Carbon.

 

4. Ruang kabin yang luas melangit

Terima kasih kepada sistem bumbung fabrik yang boleh dilipat dalam masa 20 saat (boleh dibuka dan dipasang kembali pada had kelajuan 60 km/j), pembeli boleh menikmati ruang kabin yang sangat luas, serta ruang kepala yang infiniti.

Susun atur ruang kabin adalah hampir sama sahaja dengan model CLE versi hardtop, termasuklah skrin kluster digital 12.3 inci, skrin infohibur 11.9 inci dengan fungsi larasan sudut bagi mengurangkan kesan silau, salutan khas pada upholsteri kulit bagi mengelakkannya terlampau panas dalam cuaca bahang, serta sistem pencahayaan ambien.

 

5. Aspek keselesaan ditambah baik

Untuk memastikan penumpang berasa selesa walaupun dalam keadaan bumbung terbuka, Mercedes telah menambah beberapa fungsi yang berguna.

Seperti contoh, pemesong angin berkuasa elektrik Aircap, serta sistem aliran dan pemanas leher Airscarf.

Bukan itu sahaja, Mercedes turut memperkukuhkan lagi struktur casis termasuklah sistem perlindungan gulingan (rollover), tiang yang lebih tegar, serta penambahan beg udara untuk memastikan keselamatan penumpang dalam situasi yang tidak diingini.