27 tahun selepas produksi model lagenda McLaren F1 ditamatkan, bekas perekanya Gordon Murray kini tampil dengan jelmaan moden yang dinamakan sebagai S1 LM dan Le Mans GTR.
Kedua-dua model baharu itu dihasilkan oleh Gordon Murray Special Vehicles (GMSV) yang merupakan cabang baharu Gordon Murray Automotive (GMA).
S1 LM
Jentera ini dibina berdasarkan casis T.50, namun dengan rekaan keseluruhan yang diinspirasikan daripada McLaren F1.
Sekali imbas, anda mungkin akan menyangka ia sebuah McLaren F1 yang telah direstorasi berdasarkan rekaan yang dibawakan.
Seperti contoh, bentuk lampu pada bahagian depan dan belakang adalah hampir sama, namun diberikan pendekatan yang lebih moden.
Terdapat liang udara di belakang gerbang roda depan, sayap besar di bahagian belakang, diikuti rim lima jejari, skup udara bumbung – kesemuanya mengambil ilham daripada model asal.
Susun atur ruang kabin juga diilhamkan daripada kokpit asal McLaren F1, di mana pemandu duduk di tengah dan terdapat dua tempat duduk penumpang di sebelah kiri dan kanan.
Terdapat juga fon kepala disediakan, berkemungkinan besar bertujuan untuk menjaga deria pendengaran sepanjang pemanduan berlangsung.
Dari segi kuasa, S1 LM ini dilengkapi dengan nadi bentangan V12 4.3 liter menghasilkan kuasa melebihi 700 hp yang dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan.
Menurut GMA, S1 LM merupakan sebuah jentera litar dengan tetapan suspensi yang lebih keras berbanding model T50.
Hanya lima unit sahaja S1 LM dihasilkan, dan kesemua unit tersebut telah dibeli oleh seorang pelanggan yang maha kaya dengan harga jualan yang dirahsiakan.
Le Mans GTR
Sebuah lagi jentera baharu yang lahir dari casis T50 ialah Le Mans GTR.
Tidak seperti S1 LM, Le Mans GTR merupakan satu penghormatan terus kepada model F1 GTR Longtail serta beberapa jentera lumba lain termasuklah Porsche 917 dan Alfa Romeo Tipo 33/3.
Spesifikasi mekanikal Le Mans GTR lebih mirip kepada spesifikasi T.50 dan T.50S, sepeti enjin V12 4.0 liter yang menghasilkan 654 hp, transmisi manual serta tetapan tiga tempat duduk di ruang kabin.
Ia juga tidak memerlukan kipas di bahagian belakang seperti model asal T.50, di mana struktur ekor yang panjang menyumbang kepada tahap kecekapan aero yang diperlukan.
Hanya 24 unit Le Mans GTR yang akan diproduksikan oleh GMA, sayang sekali kesemua unit sudah pun habis terjual.
GMA S1 LM
GMA Le Mans GTR
