Arkib Tag: Mazda Iconic SP

Mazda sahkan kereta sports Iconic SP semakin menghampiri fasa produksi

Sudah lebih setahun masa berlalu sejak kali pertama Mazda memperlihatkan model konsep Iconic SP di Japan Mobility Show 2023.

Berita gembira buat para peminat kereta sports rotari, Mazda akhirnya mengesahkan komitmen syarikat itu untuk menjadikan Iconic SP satu realiti pada masa hadapan.

Dalam temubual bersama Auto News, CEO Mazda Masahiro Moro memberikan jawapan yang dinanti-nantikan oleh golongan petrolhead berkenaan versi produksi sebenar model Iconic SP.

Jelasnya, “kami sedang cuba untuk menjadikannya satu kenyataan, dan kami sedang bergerak ke arah itu selangkah demi selangkah.

Semangat untuk merealisasikan konsep itu telah ditunjukkan sejak dari mula lagi model Iconic SP menggemparkan alam maya.

Ketika acara Japan Mobility Show tahun lepas, CEO itu menyifatkan model tersebut sebagai satu komitmen untuk masa depan Mazda.

Ia kemudian diperkuatkan lagi dengan kenyataan daripada ketua rekaan Mazda Masashi Nakayama yang menegaskan, “Konsep ini bukanlah satu model kereta pameran yang kosong. Ia telah direka dengan niat sebenar untuk menjadikannya model produksi sebenar pada masa akan datang.”

Mazda juga akan membangunkan unit rangkaian kuasa hibrid baharu dengan dua unit rotor untuk memenuhi keperluan pengguna di Amerika Syarikat yang dahagakan kuasa.

Tidak seperti operasi enjin rotari konvensional yang kita tahu, enjin rotari hibrid dua rotor ini akan bertindak sebagai unit penjana kuasa untuk kegunaan motor elektrik yang akan menggerakkan roda, dan tidak akan menggerakkan roda secara terus.

Dengan kuasa gandingan sekitar 365 hp, ia jauh lebih berkuasa berbanding enjin rotari yang wujud pada model RX-7 dan RX-8.

Tetapan enjin rotari hibrid ini dilihat mampu menyelesaikan permasalahan berat yang wujud pada EV masa kini, di mana Mazda boleh menggunakan pek bateri yang lebih kecil untuk mengekalkan berat badan pada tahap yang minimum – aspek yang sangat penting untuk sesebuah kereta sports.

Untuk makluman, Mazda menubuhkan satu pasukan khas bagi membangunkan enjin rotari pada Februari yang lalu.

Terdiri daripada 36 orang jurutera, RE Development Group itu akan bertanggungjawab membangunkan kereta-kereta yang dapat mengujakan pelanggan Mazda, terutama para peminat kereta sports berenjin rotari.

SAH: Kereta sports Mazda Iconic SP akan diproduksikan, kekal dengan enjin rotari?

Setelah setahun berlalu, Mazda akhirnya mengumumkan perancangan untuk menghasilkan model konsep Iconic SP menjadi sebuah model produksi yang sebenar.

Menurut ketua unit rekaan Mazda, Masashi Nakayama berkata, “konsep ini bukanlah sekadar kereta pameran yang kosong, ia telah direka dengan niat yang sebenar untuk mengubahnya menjadi model produksi tidak lama lagi.

Sebelum ini, terdapat beberapa bayangan di mana Mazda mahu merealisasikan projek tersebut.

Petunjuk pertama muncul ketika acara Japan Mobility Show 2023, di mana presiden dan CEO Mazda Masahiro Moro menyifatkan Iconic SP sebagai mercu tanda “komitmen masa depan” jenama itu.

Beberapa bulan kemudian, Mazda dilapor menyertai pakatan yang ditubuhkan oleh Mazda untuk membangunkan enjin pembakaran dalaman yang dapat mencapai sasaran neutral karbon, di mana pengeluar itu komited untuk mengekalkan enjin rotari ikonik mereka.

Sebagai pengganti kepada kereta sports RX-7 dan RX-8, kereta konsep Mazda Iconic SP dilengkapi dengan enjin rotari rotor berkembar yang dipadankan dengan unit rangkaian kuasa elektrik (EV), dan output keseluruhan mampu mencecah 365 hp.

Mazda mendakwa unit enjin rotari penambah jarak itu boleh menggunakan apa jua bahan api neutral karbon yang mampu mengurangkan penghasilan emisi sehingga 90 peratus.

Selain daripada itu, Mazda juga kini sedang menguji teknologi yang dapat memerangkap CO2 daripada emisi ekzos, di mana ia mungkin memainkan peranan penting dalam pembangunan kenderaan masa depan pengeluar itu.

 

Enjin rotari generasi baharu

 

Mazda Iconic SP Concept @ Japan Mobility Show 2023

Toyota, Mazda, Subaru tubuh pakatan bangunkan enjin inline-4, rotari, boxer baharu

Mazda Iconic SP bawa semula enjin rotary, lampu pop-up!

Kereta sports enjin rotari berkembar sedang dipertimbangkan – Mazda

Minggu ini, tiga syarikat gergasi Jepun iaitu Toyota, Subaru dan Mazda mengejutkan dunia dengan membentuk satu pakatan baharu yang akan memfokuskan kepada pembangunan enjin pembakaran dalaman yang lebih cekap tenaga.

Ketiga-tiga syarikat itu akan menumpukan perhatian kepada enjin ‘signature‘ masing-masing, di mana Toyota akan melabur untuk enjin empat silinder sebaris, manakala Subaru pula dengan enjin bentangan mendatar mereka.

Mazda pula dilapor akan terus mempertahankan peranan enjin rotari dalam kenderaan baharu mereka.

 

 

Dalam Multipathway Workshop yang dianjurkan baru-baru ini, Mazda turut memperlihatkan bukan satu, tapi dua jenis sistem enjin rotari iaitu 1-Rotor Rotary-EV dan 2-Rotor Rotary EV.

Untuk makluman, sistem 1-Rotor Rotary-EV telah pun diguna pakai pada model Mazda MX-30 e-Skyactiv R-EV, di mana enjin rotari tunggal bersesaran 830 cc (75 hp/116 Nm) itu digunakan sebagai unit penjana tenaga untuk kegunaan motor elektrik dan bateri.

 

 

Untuk sistem 2-Rotor, Mazda memberitahu, “Unit konsep ini dilengkapi dengan enjin rotari dengan rotor berkembar yang dipasang membujur untuk penjanaan kuasa, membolehkan bekalan kuasa yang lebih besar dan merealisasikan perkadaran pusat graviti yang rendah.

Lebih menarik lagi apabila sistem enjin twin-rotor ini juga sedang dipertimbangkan untuk kegunaan kereta sports!

Dengan rekaan yang lebih kompak dan titik graviti yang rendah, ia membolehkan para pereka menghasilkan garis hud yang lebih rendah, bertujuan untuk menambah baik aspek aerodinamik.

Selain itu, Mazda akan menggunakan teknologi elektrifikasi untuk memanaskan enjin dan penukar bermangkin ketika suhu sejuk, di mana pendekatan ini mampu mengurangkan emisi dan memanjangkan hayat enjin.

 

 

Sistem enjin dua rotor itu mungkin sekali calon yang sesuai untuk dipadankan dengan kereta sports RX generasi baharu, ditambah pula dengan beberapa petunjuk besar yang telah diperlihatkan oleh Mazda sebelum ini.

Bertempat di Japan Mobility Show 2023, Mazda telah mengejutkan dunia menerusi model Iconic SP, sebuah konsep kereta sports berkuasa 365 hp berenjin rotari yang digandingkan dengan platform kenderaan elektrik.

Februari yang lepas, Mazda telah menubuhkan satu pasukan pembangunan enjin rotari khas terdiri daripada 36 orang jurutera yang akan bekerjasama membina barisan kereta-kereta menarik untuk menarik minat pelanggan.

Jadi, adakah ini bermakna kita semua akan dapat melihat kemunculan model pengganti Mazda RX-7 kelak?