Arkib Tag: Mazda CX-80

Mazda CX-80 PHEV 2025 kini di Malaysia – harga dari RM332k

Sebuah lagi model yang dilancarkan oleh Bermaz Motor untuk pasaran tempatan ialah Mazda CX-80 PHEV 2025.

Sama seperti CX-60, Mazda CX-80 berkongsi pelantar Large Group Product namun membawakan dimensi yang lebih panjang dan dengan konfigurasi tiga baris tempat duduk.

Berikut perincian ringkas tentang Mazda CX-80 2025:

 

Enjin

Mazda CX-80 dikuasakan oleh nadi Skyactiv-G 2.5 liter dengan bantuan sistem plug-in hybrid dan pacuan semua roda (AWD).

Enjin berkuasa 189 hp/261 Nm itu dipadankan dengan motor elektrik 172 hp/270 Nm, menghasilkan kuasa keseluruhan 323 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 500 Nm @ 4,000 rpm.

Bateri lithium-ion 17.8 kWh pula membenarkan jarak gerak sejauh 65 km tanpa setitik petrol, selain menyokong pengecasan AC 7.2 kW (tempoh pengecasan penuh 2 jam 30 minit).

Dengan tangki sebesar 70 liter, CX-80 menawarkan kadar penggunaan bahan api serendah 1.6L/100 km.

Terdapat empat mod pemanduan iaitu Normal, Sport, Off-road dan EV.

 

Dimensi

CX-80 berukuran sepanjang 4,995 mm, lebar 1,890 mm, tinggi 1,705 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,120 mm.

Jarak kelegaan tanah pula setinggi 175 mm, sementara radius putaran 5.80 meter.

 

Suspensi

Sama seperti CX-60, CX-80 turut dibekalkan dengan tetapan double wishbone di depan dan sistem multi-link di belakang, selain mendapat fungsi Kinematic Posture Control (KPC).

 

Luaran

Ciri luaran CX-80 termasuklah lampu LED berserta lampu nyalaan siang, rim 20 inci, penyeka kaca dengan penderia hujan, cermin sisi berkuasa, serta pintu tailgate berkuasa bebas tangan.

 

Dalaman

Ruang kabin CX-80 mendapat ciri seperti skrin kluster digital 12.3 inci, skrin infohibur 12.3 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara, serta kemasan kulit dan panel gunmetal pada papan pemuka.

Seperti yang disebutkan tadi, CX-80 menawarkan tiga baris tempat duduk balutan kulit Nappa yang mampu memuatkan enam orang pada satu-satu masa.

Tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan menawarkan larasan sehingga 10 tahap lengkap dengan fungsi memori, pengudaraan dan pemanas.

Ciri lain termasuklah kawalan iklim dua zon automatik, kehadiran slot kuasa 12V dan port USB, cermin pandang belakang tanpa bingkai, serta slot pengecasan tanpa wayar.

 

Keselamatan

Kelengkapan keselamatan CX-80 juga menyamai apa yang ditawarkan pada CX-60 termasuklah beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan, Kawalan Cengkaman, kamera 360 darjah serta Bantuan Mula Mendaki (HLA).

CX-80 juga hadir dengan beberapa teknologi keselamatan termaju termasuklah:

  • Lampu Utama Adaptif (ALH)
  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)
  • Amaran Lintasan Trafik Depan dan Belakang (FCTA & RCTA)
  • Amaran Keluar Lorong (LDWS)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LAS)
  • Amaran Tumpuan Pemandu (DAA)
  • Sokongan Jelajah dan Trafik (CTS)
  • Sokongan Brek Pintar (SBS)
  • Kawalan Jelajah Radar Mazda (MRCC)

 

Harga

Diimport sepenuhnya dari Jepun (CBU), Mazda CX-80 2025 dijual pada harga bermula dari RM331,610 atas jalan tanpa insurans.

Mazda CX-80, SUV mewah, konfigurasi tiga baris tempat duduk, nadi PHEV

Selain daripada Mazda CX-60, sebuah lagi model SUV yang dipamerkan pada KLIMS 2024 ialah Mazda CX-80.

Sama seperti Mazda CX-60, Mazda CX-80 merupakan SUV saiz pertengahan dibina atas pelantar Large Group Product, namun dengan konfigurasi tiga baris tempat duduk.

Rekaan luaran CX-80 juga membawakan elemen rekaan yang hampir sama dengan CX-60.

Dimensi CX-80 lebih panjang berbanding CX-60, dengan ukuran 4,995 mm, lebar 1,890 mm, tinggi 1,710 mm dengan jarak antara roda sekitar 3,120 mm.

Ruang kabin CX-80 juga membawakan ciri dan kelengkapan yang sama seperti CX-60, termasuklah skrin kluster digital, skrin tengah 12.3 inci, skrin paparan head-up, serta sistem audio Bose.

Unit yang dipamerkan pada KLIMS ini dilengkapi dengan enjin 2.5 liter e-Skyacytiv G berkuasa 328 PS dan 500 Nm dipadankan dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan.

Mazda CX-80, SUV tiga baris tempat duduk mendarat di Eropah

Mazda akhirnya melengkapkan penawaran SUV generasi baharu mereka menerusi pelancaran model yang menawarkan susun atur tiga baris tempat duduk – Mazda CX-80.

SUV saiz pertengahan itu merupakan model Mazda yang keempat menggunapakai platform pacuan roda belakang Large Product Group, selepas model CX-60, CX-70 dan CX-90.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Saiz lebih besar berbanding CX-60

 

Tidak seperti model CX-70 (dua baris tempat duduk) dan CX-90 (tiga baris tempat duduk) yang mempunyai persamaan dari segi ukuran dimensi, CX-80 membawakan ukuran yang lebih besar berbanding CX-60.

Mazda CX-80 berukuran lima meter panjang sementara jarak antara roda pula sekitar tiga meter, berbanding CX-60 yang memiliki ukuran dimensi sepanjang 4,745 mm dan jarak antara roda 2,870 mm.

CX-80 boleh dibezakan dengan dimensi pintu penumpang belakang dan kaca tingkap yang lebih panjang, diikuti dengan kemasan krom yang lebih ketara pada bahagian sisi.

 

2. Konfigurasi tiga baris tempat duduk

SUV terbaharu Mazda ini menawarkan susun atur tiga baris tempat duduk, dengan kapasiti penumpang enam hingga tujuh orang pada satu-satu masa.

Pembeli boleh mendapatkan tempat duduk baris kedua yang normal (3 orang), atau boleh memuatkan dua orang yang dilengkapi dengan kerusi kapten serta konsol tengah.

Terdapat juga konfigurasi dua tempat duduk di mana ruang tengah adalah kosong tanpa sebarang kehadiran konsol untuk memudahkan pergerakan ke belakang.

Untuk memaksimumkan ruang kargo, dua tempat duduk baris ketiga boleh dilipat rata.

 

3. Pilihan enjin diesel hibrid ringan, atau PHEV

 

Untuk pasaran Eropah, Mazda CX-80 membawakan spesifikasi rangkaian kuasa yang sama seperti model CX-60, dengan pilihan enjin diesel hibrid ringan atau nadi plug-in hybrid (PHEV).

Versi aras mula didatangkan dengan enjin enam silinder sebaris 3.3 liter diesel berkuasa 251 hp dan 550 Nm, dipadankan dengan sistem hibrid ringan 48V M Hybrid Boost, sistem pacuan semua roda dan transmisi automatik lapan kelajuan.

Versi yang paling bertenaga pula menampilkan nadi PHEV e-Skyactiv, terdiri daripada enjin empat silinder sebaris 2.5 liter, motor elektrik, pek bateri 17.8 kWh, dengan kuasa keseluruhan 323 hp dan 500 Nm.

Mazda CX-80 PHEV mampu menawarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 60 km, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat sahaja.

 

4. Ruang kabin premium

 

Disebabkan ia berkongsi platform yang sama dengan Mazda CX-60, susun atur papan pemuka juga dilihat menyamai apa yang ditawarkan pada model SUV dua baris tempat duduk itu.

Selain penggunaan bahan premium, Mazda CX-80 turut membawakan sistem infohibur canggih yang dilengkapi kawalan suara Alexa, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, skrin kluster digital 12.3 inci, sistem bunyi Bose, serta kehadiran outlet kuasa pada ruang kargo.

 

5. Kapasiti kargo

 

Secara standard, Mazda CX-80 menawarkan ruang sebesar 258 liter, dan boleh mencapai kapasiti sehingga 1,220 liter apabila tempat duduk baris ketiga dilipat rata.

Mahukan ruang yang lebih besar?

Lipat sahaja tempat duduk baris kedua, dan anda akan mendapat ruang barangan sebesar 1,971 liter.

 

6. Jualan bermula Mei ini

 

Pra-jualan Mazda CX-80 dijangka akan bermula Mei ini, dan bakal mendarat di pusat pengedar menjelang musim luruh tahun ini.

Mazda juga dijangka akan melancarkan model CX-80 di pasaran Jepun dan Australia menjelang akhir tahun ini.