Bermaz Motor selaku pengedar rasmi kenderaan jenama Mazda di Malaysia melancarkan trak pikap Mazda BT-50 versi facelift untuk pasaran tempatan.
Secara visual, perubahan yang dibawakan pada BT-50 ini merangkumi perkara berikut:
- struktur jeriji baharu dengan logo Mazda yang lebih besar
- unit lampu utama dengan DRL berbentuk L berkembar
- bampar hadapan kini dengan komponen tirai udara
- lampu belakang LED baharu
- logo krom Mazda yang lebih besar di belakang
- rim rekaan baharu
Ruang kabin pula menempatkan skrin kluster digital sebesar tujuh inci, skrin infohibur 9-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, port pengecasan USB, kawalan iklim dua zon, serta corong pendingin hawa baris kedua.
Kelengkapan lain termasuklah upholsteri kulit, tempat duduk pemandu dengan larasan kuasa 8-tahap, tempat duduk penumpang hadapan larasan manual 4-tahap, serta tuil brek parkir manual.
Trak pikap ini masih mengekalkan nadi diesel 3.0 liter turbo menghasilkan 188 hp @ 3,600 rpm dan daya kilas 450 Nm @ 1,600-2,600 rpm.
Enjin itu tadi dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan dan sistem pacuan empat roda (4WD).
Aspek pemanduan dibantu dengan ciri seperti mod Rough Terrain, Kawalan Menurun Cerun (HDC), pilihan tetapan pacuan (2WD/4WD High/4WD Low) dan Kekunci Pembeza Belakang.
Dengan tangki bahan api berkapasiti 76 liter, BT-50 menawarkan kadar penggunaan bahan api serendah 7.76 liter per 100 km.
Ciri keselamatan yang didatangkan termasuklah enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Peringatan Tali Pinggang Keledar, serta fungsi ADAS i-Activsense seperti:
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
- Bantuan Suluhan Tinggi (AHB)
- Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
- Pemantauan Titik Buta (BSM)
- Bantuan Tumpuan Pemandu (DAA)
- Amaran Keluar Lorong (LDWS)
- Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
- Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
Terdapat lima warna pilihan iaitu Concrete Gray Mica, Vermilion Latosol Mica, True Black Mica, Geode White Pearl dan Sailing Blue Mica.
Unit import sepenuhnya (CBU) dari Thailand ini dijual pada harga bermula dari RM138,000.
