Arkib Tag: maybach

Mercedes-Maybach S-Class 2027, aras mewah lebih tinggi

Mercedes-Benz memperkenalkan kemas kini paling ekstensif dalam sejarah Mercedes-Maybach S-Class yang mengangkat aras kemewahan ke tahap lebih eksklusif bagi tahun 2027.

Jentera ini bukan sekadar sebuah sedan mewah, malah ia direka sebagai oasis ketenangan yang menggabungkan kepakaran seni tangan tertinggi dengan teknologi digital paling maju melalui sistem operasi MB.OS.

Penampilan Luaran Mercedes-Maybach S-Class Lebih Menyerlah

Penampilan luaran Maybach S-Class kini lebih menyerlah dengan gril ikonik yang 20% lebih besar serta dilengkapi bingkai bercahaya untuk imej lebih berstatus.

Buat pertama kalinya, tulisan Maybach pada bingkai gril turut disertakan dengan pencahayaan halus yang menonjolkan identiti jenama ini.

Satu perincian mekanikal yang menarik ialah logo bintang Mercedes-Benz yang terapung pada penutup tengah rim aloi tempa.

Melalui mekanisme galas bebola yang jitu, logo bintang tersebut akan sentiasa tegak dan stabil walaupun ketika roda sedang berpusing.

Lampu hadapan jenis double-star kini diperincikan dengan sentuhan warna Rose Gold, manakala pancaran cahaya pada sisi kereta akan memancarkan tulisan Maybach ke permukaan jalan.

Bagi peminat gaya kontemporari, pakej Night Series kini ditawarkan dengan pilihan warna Nautic Blue Metallic yang dipadankan dengan kemasan krom gelap.

Kabin Mewah Bertaraf Lounge Eksklusif

Ruang dalaman Maybach direka untuk memberikan kesan cocooning atau kepungan yang menenangkan bagi setiap penumpang.

Konsol tengah telah diperkemas dengan ruang pengecasan telefon pintar yang dibina dalam kemasan kayu oak atau amber-brown.

Bagi penumpang belakang, tersedia dua pemegang khas yang direka tetliti untuk memegang gelas.

Sebuah peti sejuk berkapasiti 10 liter ditempatkan di belakang penyandar lengan untuk memastikan minuman sentiasa berada pada suhu sempurna.

Satu lagi ciri kemewahan ialah Pintu Keselesaan Automatik yang boleh dibuka dan ditutup secara lembut melalui butang atau skrin MBUX.

Buat pertama kalinya, Maybach menawarkan pilihan ruang dalaman bebas kulit yang menggunakan tekstil Mirville bermutu tinggi daripada campuran bahan kitar semula.

Evolusi Digital MB.OS dan Kecerdasan Buatan (AI)

Sistem Operasi Mercedes-Benz (MB.OS) tampil buat kali pertama dalam model Maybach, dipadankan dengan sistem MBUX generasi keempat.

MBUX Superscreen merentasi keseluruhan papan pemuka dengan grafik khas Maybach berwarna Rose Gold dan Amethyst Glow.

Sistem pembantu maya (MBUX Virtual Assistant) kini dikuasakan oleh kecerdasan buatan generatif (Generative AI) yang membolehkan dialog lebih kompleks dan semula jadi antara pemandu dan kereta.

Penumpang belakang juga dibekalkan dengan dua skrin 31.3 inci serta alat kawalan jauh rekaan baharu untuk mengawal fungsi hiburan.

Sistem Active Ambient Lighting yang mempunyai 199 lampu LED turut diperkenalkan dengan warna eksklusif Rose Gold dan Amethyst Glow.

Lampu ini akan bertindak balas secara pintar mengikut arahan suara atau pelarasan suhu kabin mengikut keperluan pengguna.

Rangkaian Kuasa Berprestasi dan Cekap Mercedes-Maybach S-Class

Barisan rangkaian kuasa pembakaran dalaman telah direkayasa semula secara ekstensif untuk memenuhi peraturan emisi masa hadapan sambil mengekalkan prestasi tinggi.

Mercedes-Maybach S 680

Model ini menggunakan evolusi terbaharu enjin 4.0 liter lapan silinder (M 177 Evo) yang menghasilkan 612 hp dan tork 850Nm.

Dengan bantuan teknologi hibrid ringan (ISG 2.0), ia mampu memberikan tambahan kuasa 17kW (23ps) dan tork 205Nm.

Bagi pasaran tertentu, enjin V12 (M 279) dengan kuasa 612ps tetap dikekalkan.

Mercedes-Maybach S 580

Varian ini dikuasakan oleh enjin 4.0liter V8 yang lebih bertenaga dengan output 537 hp serta tambahan kuasa 17kW daripada sistem hibrid ringan yang sama.

Ia menawarkan imbangan terbaik antara prestasi puncak dan kelancaran pemanduan seharian.

Mercedes-Maybach S 580 e (Plug-in Hybrid)

Varian yang dilengkapi EQ Hybrid Technology ini menggunakan enjin 3.0 liter enam silinder petrol (M 256 Evo) yang menawarkan jarak pemanduan elektrik sekitar 100km.

Output sistem secara keseluruhan juga telah meningkat sebanyak 75 ps berbanding generasi enjin sebelumnya.

Redaman Pintar dan Keselesaan Maybach

Mod pemanduan Maybach yang ditala khas dalam sistem Dynamic Select memastikan keselesaan pemanduan paling tinggi dalam kelasnya.

Sistem ampaian udara Airmatic kini lebih pintar dengan fungsi predictive damping untuk menyerap segala ketidakarataan jalan.

Ia menggunakan data Car-to-X daripada model Mercedes-Benz lain di hadapan untuk mengesan keadaan jalan dan melaras tahap redaman secara elektronik lebih awal.

Ini memastikan keselesaan mutlak penumpang belakang terpelihara sepanjang perjalanan.

Spesifikasi Teknikal Mercedes-Maybach S-Class 2027

Mercedes-Maybach S 680 (V8 Evo MHEV/V12)

  • Enjin: 3,982 cc V8 (M 177 Evo)
  • Kuasa: 612 ps (450kW) + 23 ps (17kW)
  • Tork: 850Nm + 205Nm
  • Penggunaan Bahan Api: 11.7-11.0 l/100km

Mercedes-Maybach S 580 (V8 MHEV)

  • Enjin: 3,982 cc V8
  • Kuasa: 537 ps (395kW) + 23 ps (17kW)
  • Tork: 750Nm + 205Nm
  • Penggunaan Bahan Api: 11.5-10.8 l/100km

Mercedes-Maybach S 580 e (PHEV)

  • Enjin: 2,999cc 6-silinder (M 256 Evo)
  • Kuasa Enjin: 449ps (330kW)
  • Tork Enjin: 560Nm  rpm
  • Kuasa Motor Elektrik: 163ps (120kW)
  • Tork Motor Elektrik: 480Nm
  • Kuasa Keseluruhan Sistem: 585ps (430kW)
  • Tork Keseluruhan Sistem: 750Nm
  • Jarak Elektrik (WLTP): 92-98km
  • Pecutan 0-100km/j: 4.8 saat
  • Kelajuan Maksimum: 250km/j
  • Penggunaan Bahan Api (Weighted): 3.2-2.9 l/100km
  • Penggunaan Tenaga (Weighted): 1,820-1,750kWj/100km

Maybach jadian, rupanya Mercedes E-Class ‘disalin’ dengan kit badan kustom

MERCEDES-Maybach S-Class adalah puncak kepada segala kemewahan yang ditawarkan oleh pengeluar kereta dari Jerman itu, namun dengan harga yang bermula dari ratusan ribu dolar, ia bukanlah sesuatu yang murah.

Malah, mereka yang mampu membeli kereta Mercedes-Benz ‘biasa’ pun belum tentu boleh memilikinya.

Namun dengan pelbagai teknologi yang ada masa kini, mereka yang mengimpikan untuk memiliki sebuah Maybach S-Class tidak perlu mengeluarkan belanja yang besar. Ini kerana mereka boleh mendapatkan kit badan yang direka khas untuk model E-Class.

Dijual di platform e-dagang Alibaba pada harga antara USD1,000 hingga USD1,500, kit badan berkenaan merangkumi kemasan krom untuk lubang ambilan udara bampar hadapan, gril yang lebih besar dengan jeriji menegak, kemasan sisi, lambang Maybach serta trim krom untuk muncung ekzos dan bampar belakang.

Menurut Carbest, iaitu syarikat yang mereka bentuk kit ini, ia diperbuat daripada material PP dan plastik ABS. Kit ini sesuai untuk dipasang pada model E-Class W213 keluaran tahun 2016 hingga 2020. Agaknya bagaimana hasilnya jika kit badan ini dipasang?

Mercedes E-Class dengan kit badan Maybach

Baru-baru ini, sebuah E-Class L yang memakai kit badan tersebut ditemui oleh Automobili Ardent di sebuah stesen minyak di Faridabad, India.

Mercedes E-Class dengan kit badan Maybach

Seperti yang boleh dilihat, ia tidak ubah seperti Maybach S560 keluaran 2019 yang asli, ditambah pula dengan cat dua tona yang merupakan trademark Maybach, set rim baharu serta tidak dilupakan sepasang logo V12 pada fender hadapan.

Hasilnya agak mengagumkan namun adil jika dikatakan bahawa ia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilakukan kerana reka bentuk luaran E-Class dan S-Class hampir serupa.

Mercedes-Maybach sebenar

Cuma yang membezakan adalah saiz dan juga beberapa perincian kecil yang lain. Ini boleh dilihat pada model generasi W213 dan W222, serta W213 facelift dan W223.

Jika anda memiliki sebuah E-Class W213, adakah anda akan mempertimbangkan untuk memasang kit badan ini?

Anda mungkin akan ditertawakan namun jangan khuatir kerana banyak lagi kereta convert yang lebih teruk dan tidak masuk akal yang boleh ditemui di negara ini.