Arkib Tag: MAS

Pesawat Malaysia Airlines buat pendaratan kecemasan kerana masalah enjin

MALAYSIA Airlines mengesahkan penerbangan MH199 dari Hyderabad ke Kuala Lumpur membuat pendaratan kecemasan di Hyderabad selepas satu daripada enjinnya mengalami percikan api.

Ia berlaku selepas pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi awal hari ini.

Dalam satu kenyataan, Malaysia Airlines berkata pesawat itu berpatah balik akibat masalah pada salah satu enjin ketika mendaki selepas berlepas.

“Pesawat itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi pada jam 3.21 pagi waktu tempatan dan semua kru dan penumpang keluar dengan selamat.

“Semua penumpang dipindahkan ke penerbangan lain untuk meneruskan perjalanan mereka. Keselamatan tetap menjadi keutamaan Malaysia Airlines,” katanya.

Terdahulu dilaporkan penerbangan MH199 terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Hyderabad selepas satu daripada enjinnya mengalami percikan api.

Times of India melaporkan pesawat itu yang membawa 138 penumpang berlepas pada 12:45 pagi tadi tetapi terpaksa berpatah balik untuk melakukan pendaratan cemas.

Malaysia Airlines perkenal perkhidmatan pemindahan terminal dengan BMW i7

MALAYSIA Airlines, dengan kerjasama BMW Group Malaysia menerusi wakil pengedarnya Ingress Auto Sdn Bhd, telah memperkenalkan perkhidmatan pemindahan terminal berciri peribadi dan eksklusif bagi memudahkan perjalanan penumpang antara Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit di KLIA Terminal 1.

Mulai 1 Februari 2024, penumpang Enrich Platinum, Business Suite, dan Business Class yang terbang bersama Malaysia Airlines akan dapat menikmati khidmat pemindahan menerusi jentera elektrik tulen BMW i7.

Perkhidmatan yang beroperasi 24 jam ini menawarkan satu pilihan yang lebih lestari dan premium buat penumpang Malaysia Airlines, di samping perkhidmatan Bas Premium yang disediakan oleh operator lapangan terbang ini susulan penggantungan sementara sistem aerotrain.

Semasa fasa permulaan ini, barisan i7 akan dikerahkan untuk mengambil penumpang yang akan berlepas di Pintu G1 Bangunan Terminal Utama.

Kelak, syarikat penerbangan ini juga akan mengerahkan beberapa unit kenderaan tambahan untuk mengambil penumpang yang tiba ke lapangan terbang tersebut, susulan penyempurnaan balai singgah ketibaan di Bangunan Satelit.

Ahmad Luqman Mohd Azmi, Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan dari Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) berkata pihaknya berharap dapat menaik taraf pengalaman penerbangan buat pelanggan segmen atasan dengan perkhidmatan eksklusif ini.

“Sebagai satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan khas ini berlatarkan penggantungan sementara sistem aerotrain di KLIA Terminal 1, ia menekankan dedikasi kami untuk menaik taraf standard perkhidmatan demi pengalaman penerbangan yang lebih eksklusif, sementara kami juga memperkukuhkan komitmen kami dalam menerapkan amalan kelestarian, kali ini menerusi jentera elektrik tulen BMW i7 Series.

Kami berharap untuk memperkayakan lagi perkhidmatan ini buat para penumpang atas sebahagian daripada usaha berterusan kami dalam menjamin pengalaman yang lancar dan mengujakan, didukung oleh Hospitaliti Malaysia yang tiada bandingannya,” katanya.

Penumpang cetus ‘gangguan’, pesawat MAS MH122 berpatah balik ke Sydney

SEORANG penumpang ditahan Polis Persekutuan Australia (AFP) selepas didakwa mencetuskan ‘gangguan’ di dalam pesawat Malaysia Airlines MH122 semasa dalam penerbangan.

Dalam kenyataan media, AFP berkata penumpang lelaki berusia 45 tahun itu ditahan tanpa sebarang insiden, dan dijangka didakwa lewat malam ini.

“Penumpang itu sudah dipindahkan dari pesawat. Tiada ancaman besar kepada orang ramai,” menurut kenyataan itu.

Menurut AFP pihaknya tidak akan mendedahkan butir-butir mengenai operasi, tetapi berkata pelan tindak balas kecemasan sudah dilaksanakan dan tindakan memindahkan lelaki itu dibuat sebaik sahaja pelaksanaannya dianggap selamat untuk penumpang lain dan anak kapal.

Sementara itu, Malaysia Airlines dalam kenyataannya berkata MH122 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney menuju ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik pada pertengahan penerbangan kerana ‘gangguan’ yang dicetuskan oleh seorang penumpang.

“Demi kepentingan keselamatan, komander penerbangan membuat keputusan untuk kembali ke Sydney. Penerbangan yang membawa 194 penumpang dan lima anak kapal itu mendarat dengan selamat pada pukul 3.47 petang waktu tempatan,” kata.

Satu klip video dipaparkan di aplikasi X (Twitter) oleh seorang individu yang mendakwa berada dalam penerbangan itu menunjukkan beberapa anak kapal cuba mententeramkan seorang lelaki selepas lelaki itu dilihat mula menjerit ke arah penumpang lain.