Arkib Tag: Marc Marquez

Ducati Panigale V2 MM93 dan FB63, rai pelumba ikonik dan handalan

Ducati memperkenalkan Panigale V2 MM93 dan Panigale V2 FB63, dua model edisi khas yang dikeluarkan dalam siri bernombor.

Motosikal unik ini didedikasikan kepada pelumba pasukan Lenovo 2025, Marc Márquez (MM93) dan Francesco Bagnaia (FB63), dengan corak warna eksklusif dan penalaan litar khusus bagi meningkatkan ciri dinamik Panigale V2 S.

Asas Latihan dari Litar

Kedua-dua pelumba Ducati menggunakan Panigale V2 S dalam sesi latihan litar mereka dan memberikan maklum balas yang sangat positif.

Marc Márquez, selepas pusingan pertama, memaklumkan model baharu ini lebih ringan, unggul dalam sistem brek dan pengendalian dan menawarkan tork yang lebih besar pada putaran enjin rendah.

Satu lagi yang menarik beliau turut berkongsi secara keseluruhannya model ini lebih mudah untuk ditunggang berbanding Panigale V2 terdahulu.

Pecco Bagnaia pula berjaya memperbaiki masa sebanyak dua persepuluh saat di litar latihan dengan motosikal dua silinder tersebut beberapa minggu kemudian.

Kedua-dua Panigale V2 MM93 dan FB63 bukan sahaja memberi penghormatan kepada pelumba, malah merupakan versi Panigale V2 S yang lebih berprestasi dan unik, bertujuan untuk menjadi lebih pantas di litar.

Corak Warna Khas dan Reka Bentuk Unik

Setiap model edisi khas ini dihiasi dengan corak warna unik yang mempunyai makna tersendiri:

Panigale V2 MM93

  • Menghasilkan semula corak yang digunakan oleh Marc Márquez dalam ujian pertama sebagai pelumba rasmi Ducati, meraikan detik bersejarah penampilan sulung todo rojo (semua merah) beliau.
  • Corak warna ini menumpukan pada nombor perlumbaan Marc, 93, dan memaparkan nombor pelumba (MM93) yang digunakan oleh pasukan pada fairing.

Panigale V2 FB63

  • Menghasilkan semula corak penyamaran hitam dan merah yang terdapat pada topi keledar, sarung tangan dan but Pecco Bagnaia.
  • Logo FB63 dan motto GoFree pada sisi fairing.

Peningkatan Prestasi dan Ciri Litar

Dua model edisi khas ini dilengkapi dengan komponen premium yang meningkatkan keupayaan litar:

Roda Aluminium Tempa

  • Roda aloi aluminium tempa 5-jejari yang diilhamkan daripada DesmosediciGP digunakan buat kali pertama pada Panigale V2.
  • 1.5 kg lebih ringan berbanding rim tuang, mengurangkan inersia (-27% depan, -21% belakang), sekali gus meningkatkan tindak balas, pengendalian dan prestasi pecutan.

Suspensi dan Hendal

  • Dilengkapi peredam hendal Öhlins boleh laras, memberikan kestabilan dan ketepatan hendal yang lebih baik.

Ergonomik Litar:

  • Clip-ons rendah dipasang pada plat hendal bilet, disertakan bersama nombor siri.
  • Menjadikan pergerakan badan pelumba lebih berkesan semasa menunggang di litar.

Aerodinamik

  • Penghadang angin plexiglass perlumbaan yang lebih tinggi dan lebih berkesan (melindungi) meningkatkan kecekapan aerodinamik, keselesaan pelumba dan kestabilan pada kelajuan tinggi.

Cengkaman

  • Pemegang (grip) yang diilhamkan daripada DesmosediciGP rasmi dipasang untuk meningkatkan cengkaman.

Panigale V2 FB63 dan MM93 akan mula dijual di Eropah pada Mac 2026. Ia akan menyusul di Amerika Syarikat pada April 2026 dan kemudian di Jepun dan Australia bermula Julai 2026.

Spesifikasi Teknikal Panigale V2 FB63 & MM93

Enjin

  • Enjin: Ducati V2 890 cc, 90°, 4 injap per silinder, sistem pemasaan injap berubah-ubah, sejukan cecair.
  • Kuasa: 120 hp @ 10,750 rpm.
  • Tork: 93.3 Nm @ 8,250 rpm.
  • Nisbah Mampatan: 13.1:1.
  • Suntikan Bahan Api: Sistem suntikan bahan api elektronik. Satu penyuntik per silinder. Ride-by-wire penuh.
  • Ekzos: Sistem 2-1-2, dengan 1 pemangkin penukar dan 3 prob lambda.

Transmisi

  • Kotak Gear: 6 kelajuan dengan Ducati Quick Shift (DQS) naik/turun 2.0.
  • Pacuan Akhir: Rantai 520; Sprod depan 15; Sprod belakang 42.
  • Klac: Klac basah multi-plat licin (slipper) dan swa-servo dikawal secara hidraulik.

Casis

  • Rangka: Monocoque Aluminium.
  • Suspensi Depan: Öhlins NIX30 43 mm dengan lapisan TiN, fork USD boleh dilaras penuh.
  • Suspensi Belakang: Monoshock Öhlins boleh laras penuh. Lengan ayun duia sisi aluminium.
  • Jarak Perjalanan Roda (Depan/Belakang): 120 mm / 150 mm (4.7 in / 5.9 in).
  • Brek Depan: 2 x 320 mm cakera separa terapung, angkup piston Brembo Monobloc M50 dengan Cornering ABS.
  • Brek Belakang: Cakera 245 mm, angkup 2-omboh dengan Cornering ABS.
  • Roda Depan: Aloi aluminium tempa 5-jejari 3.50 in x 17 in.
  • Roda Belakang: Aloi aluminium tempa 5-jejari 5.50 in x 17 in.
  • Tayar Depan: Pirelli Diablo Rosso IV 120/70 ZR17.
  • Tayar Belakang: Pirelli Diablo Rosso IV 190/55 ZR17.

Dimensi dan Berat

  • Berat Basah Tanpa Bahan Api: 175.5 kg.
  • Ketinggian Pelana: 837 mm (33 in).
  • Jarak Roda: 1,465 mm (57.7 in).
  • Kapasiti Tangki Bahan Api: 15 l.
  • Tempat Duduk: Pelana tunggal. (Dua tempat duduk, jika aksesori kit pelana penumpang dipasang).

Kelengkapan

  • Keselamatan: Riding Modes, Power Modes, Ducati Traction Control (DTC), Ducati Wheelie Control (DWC), Engine Brake Control (EBC), Bosch Cornering ABS, Ducati Brake Light (DBL).
  • Standard: Ducati Quick Shift (DQS) naik/turun 2.0, suspensi Öhlins, bateri Litium-ion, butang pelarasan pantas, peredam stereng Öhlins, roda aluminium tempa, Coming Home, konfigurasi tempat duduk tunggal, Ducati Power Launch (DPL), paparan warna TFT, sistem lampu LED penuh, Lampu Nyalaan Siang (DRL), lampu isyarat pembatalan sendiri, Lap Timer, Pit Limiter.
  • Instrumen: Unit digital dengan paparan warna TFT 5 in, resolusi 800 x 480 px, nisbah 16:9.

Ducati Panigale V2 MM93

Ducati Panigale V2 FB63

MotoGP: Marc Marquez yakin akan kemalangan di Sepang

Gresini Racing menjadi pasukan pertama untuk memperkenalkan skuad baharu menjelang Kejuaraan Dunia MotoGP musim 2024 yang akan membuka tirai pada Mac. 

Bagaimanapun, sebelum itu para pelumba akan ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Februari bagi sesi Sepang Shakedown pada 1 hingga 3 Februari dan ujian rasmi pada 6 hingga 8 Februari. 

Fokus ujian kali ini pastinya terarah pada lapan kali juara dunia Marc Marquez yang bakal menguji kemampuan jentera Ducati selepas meninggalkan pasukan Honda pada penghujung musim lalu.

Sehubungan itu, Marquez dalam satu kenyataan selepas perasmian pasukan satelit Ducati itu pada Ahad mengakui tidak sabar untuk menguji jentera Desmosedici GP di Sepang. 

“Ketika (ujian) di Valencia, gaya tunggangan saya agak lancar tetapi saya belum pasti sama ada itu adalah gaya saya bersama Ducati. Pada masa sama, ketika itu saya belum bersedia untuk menunggang secara agresif. 

“Jadi saya tidak sabar untuk menguji jentera di Malaysia dan Qatar yang sememangnya litar sukar bagi saya setiap tahun,” jelasnya. 

Marquez sememangnya terkenal dengan gaya menunggang yang agresif sehinggakan musim lalu, enam kali juara dunia MotoGP itu jatuh 29 kali. 

“Saya perlu mengambil risiko untuk mencari had sebenar jentera dan ini adalah gaya saya. Pada masa sama, untuk menjadi lebih pantas saya perlu mengambil risiki besar. 

“Oleh itu saya yakin akan merekodkan kemalangan pertama di Malaysia atau Qatar. Lebih baik kemalangan ketika sesi ujian berbanding perlumbaan sebenar!” tambah Marquez. 

Pelumba Sepanyol itu akan bersama-sama adiknya, Alex (Marquez) di kem Gresini Racing musim ini. 

Sah! Marquez kembali cergas untuk GP Americas

TERPAKSA berehat pada saingan Grand Prix (GP) Argentina, pelumba pasukan Repsol Honda Marc Marquez bakal kembali bersaing untuk pusingan seterusnya.

Memetik laporan Dorna Sports, Marquez dibenarkan kembali beraksi selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada pasukan perubatan.

Marquez dalam reaksinya kepada media berkata, perlumbaan di GP Americas adalah suatu dinantikan selain bertekad melakukan yang terbaik buat pasukan.

Pelumba MotoGP Marc Marquez dihimpit masalah kecederaan. – Foto ihsan Facebook/Marc Marquez

“Saya gembira dapat kembali dan paling teruja ia adalah di salah satu litar kegemaran (GP Americas).

“Kami (pasukan) perlu melakukan beberapa perkara selepas tidak berkasi dalam dua perlumbaan termasuk di Argentina.

“Maka, saya tidak meletakkan sebarang sasaran buat masa ini memandangkan ada banyak faktor perlu diambil kira,” katanya.

Marc Marquez memaklumkan dirinya telah bersedia untuk kembali beraksi di pentas MotoGP. – Foto tangkap layar Instagram / Marc Marquez

Sebelum ini, Marquez terpaksa menjalani rawatan selepas berdepan masalah penglihatan atau diplopia.

Masalah itu dihadapi berikutan kemalangan sewaktu sesi warm up di GP Indonesia.

Marquez belum pulih daripada diplopia, sah terlepas GP Argentina

PELUMBA pasukan Repsol Honda Marc Marquez sah tidak beraksi di Grand Prix (GP) Argentina hujung minggu ini.

Perkara itu disahkan pakar perubatan Dr Sanchez Dalmau yang merawat Marquez berikutan masalah diplopia dialaminya.

Memetik laporan dikeluarkan Dorna Sports, Marquez masih mengalami masalah penglihatan atau double vision.

Bagaimanapun, apa yang dialami Marquez tidak begitu serius dan menunjukkan tanda positif.

“Beliau (Marquez) menunjukkan tanda pemulihan namun, tidak pulih sepenuhnya.

“Marquez perlu menjalani rawatan lanjut dan lebih rapi agar dapat pulih seperti sedia kala,” kata Dr Sanchez.

Pada perlumbaan GP Indonesia, Marquez berdepan kemalangan sehingga menyebabkan dirinya mengalami gegaran otak.

Masalah dihadapi Marquez bukan kali pertama dan pernah mengalaminya dua tahun lalu dalam kemalangan di GP Sepanyol.

Alami gegaran otak, Marquez belum pasti beraksi di GP Argentina

NASIB juara dunia MotoGP sebanyak lapan kali Marc Marquez terus menjadi tanda tanya pasca perlumbaan Grand Prix Indonesia minggu lalu.

Susulan kemalangan ketika sesi warm up di Litar Antarabangsa Mandalika, Marquez disahkan mengalami masalah diplopia atau double vision.

Portal motogp.com melaporkan pelumba asal Sepanyol itu kini mendapatkan rawatan di Barcelona bersama pakar perubatan Dr Sanchez Dalmau.

Dr Sanchez mengesahkan masalah dihadapi Marquez sama seperti dilaluinya dalam kemalangan pada tahun 2011.

Sementara itu, Marquez meminta semua peminatnya bertenang sambil berharap masalah kesihatan dihadapi tidak menjejaskan kempen perlumbaan musim ini.

“Saya mula mengalami ketidakselesaan dengan penglihatan dan kami memutuskan bertemu Dr Sanchez.

“Nasib baik keadaan kini kurang teruk berbanding kecederaan yang saya alami pada penghujung tahun lalu. Terima kasih semua di atas sokongan anda,” katanya.

Pada perlumbaan di Mandalika, Marquez terbabas ketika pusingan warm up yang menyaksikan pelumba itu melayang ke udara.

Beliau kemudian disahkan tidak dapat berlumba kerana mengelami gegaran otak sebelum diterbangkan ke hospital di Lombok.

Setakat ini, masih menjadi tanda tanya sama ada Marquez dapat beraksi pada pusingan ketiga MotoGP di Argentina minggu depan.

Marquez ‘si budak nakal’ kian pulih, sedia ke SIC untuk ujian pramusim

PELUMBA pasukan MotoGP Repsol Honda Marc Marquez sedia menghadapi ujian pramusim yang dijadualkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada bulan depan.

Pelumba kelahiran Sepanyol membuat kenyataan itu seusai ujian jenteranya di Litar Portimao, Portugis.

Jelas Marquez, dirinya kini lebih bersemangat dan tidak lagi menghadapi masalah penglihatan akibat kemalangan sebelum ini.

Pelumba MotoGP Marc Marquez. – Foto ihsan Facebook/Marc Marquez

“Selesai melengkapkan lebih 65 pusingan di Portimao saya yakin telah berada pada tahap terbaik dan bersedia untuk ke Sepang.

“Penglihatan saya kini telah beransur pulih sepenuhnya dan tidak lagi berdepan kesukaran ketika mengendalikan jentera,” katanya.

Sebelum ini, Marquez disahkan mengalami masalah diplopia atau gegaran otak berikutan kemalangan ketika sesi latihan pada tahun lalu.

Ia menyebabkan Marquez mengalami masalah penglihatan yang mana objek yang dilihat kelihatan berganda.

Keadaan menyebabkan Marquez terpaksa menarik diri dalam beberapa siri perlumbaan yang memaksa pasukannya mencari pelumba sementara bagi mengantikan tempatnya.

Sesi ujian rasmi pramusim di SIC akan berlangsung pada 5 sehingga 6 Februari depan.

Sah beraksi di Portimao, adakah Marquez masih ‘berbisa’?

TERLEPAS saingan merebut kejuaraan MotoGP musim lalu akibat kecederaan, pelumba Repsol Honda Marc Marquez bakal membuat penampilan semula.

Marquez tiba di Portimao untuk menyertai semula MotoGP bagi perlumbaan Grande Premio 888 de Portugal, hujung minggu ini.

Rata-rata peminat Marquez teruja dengan perkembangan ini selepas pelumba kelahiran Sepanyol itu terpaksa berehat sejak Julai tahun lalu.

Namun, timbul persoalan apakah Marquez akan terus ‘berbisa’ seperti sebelum ini?

Kecederaan bukan suatu yang asing bagi pelumba MotoGP.

Sebelum ini, Marquez telah beberapa kali cuba menyertai semula perlumbaan namun, gagal berbuat demikian.

Berdepan kecederaan patah lengan kanan akibat kemalangan di Jerez musim lalu, Marquez bergelut untuk mencapai prestasi terbaiknya.

Ia terbukti apabila Marquez disahkan tidak cergas dan terlepas dua perlumbaan awal musim ini.

Pemerhatian terhadap beberapa pelumba lain yang pernah berdepan kecederaan serius, kembali beraksi di litar bukan mudah.

Kebanyakan pelumba gagal memberi aksi 100 peratus sama ada kerana masih merasai kesakitan atau tidak dapat melupakan pengalaman ‘ngeri’ lalu.

Justeru, berbalik kepada persoalan apakah Marquez mampu memberi tekanan kepada pelumba lain di Portimao hujung minggu ini?

Pelbagai andaian dapat dibuat.

Bagaimanapun, jika menilai daripada rekod dimiliki Marquez, pelumba ini bukan biasa-biasa.

Penulis yakin, Marquez mampu memberi saingan sengit kepada pelumba lain apatah lagi perlumbaan baru memasuki pusingan ketiga.

Ayuh sama-sama kita nantikan!