Arkib Tag: MAN Truck & Bus

Jualan MAN Truck & Bus meningkat 37% pada 2023

Pengeluar kenderaan komersial MAN Truck & Bus mencapai pertumbuhan jualan yang ketara dalam seluruh rangkaian produk pada tahun kewangan 2023.

Secara keseluruhan, syarikat itu berjaya menyerah sekitar 116,000 kenderaan kepada pelanggannya, peningkatan sebanyak 37 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Peningkatan itu dicapai walaupun masih terjejas oleh kesesakan bekalan dan penurunan permintaan berkaitan coronavirus dalam segmen bas. Di samping itu, 11,600 enjin juga telah dijual.

Friedrich Baumann, Ketua Pegawai Jualan dan Penyelesaian Pelanggan di MAN Truck & Bus SE berkata, mereka berjaya memenuhi kehendak pasaran dengan portfolio produk inovatif dan perkhidmatan berorientasikan pelanggan.

“Ini merupakan salah satu sebab mengapa kami berjaya mencatat jualan cemerlang pada tahun kewangan 2023. Disebabkan prestasi pasukan yang kukuh merentas semua bidang syarikat, kami dapat memenuhi permintaan yang sangat tinggi dengan cara yang terbaik dan menjual lebih banyak kenderaan dan enjin berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Jualan trak meningkat 44 peratus kepada sekitar 83,700 unit berbanding tahun sebelumnya, manakala jualan bas juga meningkat 19 peratus kepada sekitar 5,700 unit.

Semua segmen mencatat pertumbuhan kukuh, dengan pasaran bas dan koc khususnya, yang telah merosot akibat pandemik coronavirus, pulih dengan ketara. Jualan koc naik lebih daripada dua kali kepada lebih 1,100 unit.

Dengan tender penting dalam perniagaan bas bandar dan arah aliran ke arah kenderaan elektrik bateri berterusan tanpa henti, jualan bas elektrik MAN meningkat dari 263 unit pada 2022 kepada 771 unit tahun lalu.

Bersama-sama dengan pelancaran pasaran trak elektrik MAN eTruck pada bulan Oktober, MAN dapat meneruskan strateginya untuk menyahkarbon armada kenderaannya secara sistematik.

Menjelang 2030, separuh daripada semua trak MAN baharu dan kira-kira 90 peratus daripada semua bas bandar baharu akan mempunyai pemacu elektrik bateri. Kerja-kerja juga sedang dijalankan untuk membina koc elektrik masa depan.

Turut menunjukkan peningkatan adalah jualan van, di mana syarikat itu menyerahkan sekitar 26,600 unit van kepada pelanggan. Angka ini mewakili peningkatan sebanyak 23 peratus.

Perniagaan enjin luaran adalah yang paling baik dalam sejarahnya selepas 2014. Sekitar 11, 600 enjin telah dijual, lebih separuh daripadanya kepada pelanggan dalam sektor pertanian, untuk digunakan dalam traktor atau penuai gabungan.

15 unit trak MAN dengan enjin Euro V diserahkan kepada Mekar Angkut

Mekar Angkut Sdn Bhd, sebuah syarikat pengangkutan yang berpangkalan di Kota Bahru, baru-baru telah menerima 15 unit penggerak utama (prime mover) MAN TGS berkuasa Euro V baharu untuk mengembangkan perniagaannya.

Trak MAN syarikat itu terdiri daripada 10 unit varian TGS 4×2 digunakan sebagai pembawa kereta dan lima unit varian 6×2 digunakan sebagai trak tangki untuk mengangkut minyak sawit.

Pada majlis penyerahan ringkas yang diadakan di ibu pejabat bersepadu baharu MAN Malaysia di Shah Alam, Pengerusi Eksekutif Mekar Angkut Che Ibrahim bin Che Ismail menjelaskan keputusan syarikat memilih trak MAN TGS baharu.

“Kami mempunyai pengalaman yang baik dengan prestasi dan kebolehpercayaan bas MAN dalam perniagaan bas ekspres kami, Ekspres Mutiara. Pada mulanya, terdapat sedikit keraguan mengenai sokongan lepas jualan kerana kami berpangkalan di Kota Bahru.

“Bagaimanapun, selepas melihat sendiri persediaan dan pelaburan semasa syarikat MAN Malaysia di Shah Alam dan menerima komitmen kukuh daripada pengurusannya, saya yakin bahawa kami telah membuat pilihan yang tepat,” kata Che Ibrahim, yang lebih dikenali sebagai Pak Nik.

Trak MAN dengan enjin Euro V sebagai standard mendahului dalam orientasi pemandu, kecekapan bahan api, sistem bantuan, rangkaian digital dan paling penting, kemampanan.

MAN Malaysia anjur acara penyerahan terbesar kepada 14 syarikat logistik

MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd baru-baru ini menyerahkan trak MAN generasi baharu kepada 14 pelanggannya dari seluruh negara yang merangkumi pelbagai sektor ekonomi dalam acara penyerahan terbesar pernah diadakan setakat ini.

Acara bersejarah itu disempurnakan oleh Naib Presiden Kanan dan Ketua bagi Kawasan Jualan Antarabangsa bagi MAN Truck & Bus SE, Roman Sitte, yang mengunjungi Malaysia buat julung kalinya.

Sitte memuji pelanggan Malaysia kerana berpandangan jauh dan kesanggupan mereka untuk menerimapakai teknologi dan menyertai usaha ke arah kemampanan.

Syarikat-syarikat yang menerima trak MAN baharu pelbagai model dan spesifikasi adalah Juta Cahaya Gemilang Sdn Bhd (Pulau Pinang), Sikap Mawar Sdn Bhd (Pulau Pinang), Mekar Angkut Sdn Bhd (Kelantan), Pancaran Matahari Logistics Sdn Bhd (Kelantan), Zha Pengangkutan Sdn Bhd (Terengganu), SBK Logistics Sdn Bhd (Johor Bahru dan L&R Haulage Sdn Bhd (Negeri Sembilan).

Turut menerima trak MAN masing-masing adalah syarikat-syarikat dari Lembah Klang iaitu AG Sdn Bhd, Gamalux Sdn Bhd, Gill Logistics Sdn Bhd, NX Transport Service (M) Sdn Bhd, Rani Transport Sdn Bhd, Sidhu Brothers Transport Sdn Bhd dan Taipanco Sdn Bhd.

10 daripada syarikat tersebut merupakan pelanggan MAN kali pertama, mencerminkan keyakinan yang kian meningkat di kalangan ahli industri logistik terhadap jenama dari Jerman itu.

Pada November 2021, MAN menjadi pengeluar trak pertama di Malaysia yang menawarkan enjin Euro V sebagai ciri standard bagi seluruh rangkaian produknya.

Kini, setelah lebih setahun kemudian, trak MAN dengan enjin Euro V mendapat pujian daripada para pemilik syarikat dan pemandu trak.

Bagi pemilik perniagaan, manfaat yang diperolehi dapat dirasakan menerusi prestasi, ekonomi bahan api, penyenggaraan yang lebih rendah, peningkatan dari segi masa berkendali dan kecekapan kos secara keseluruhan.

Pemandu pula menghargai keselesaan, keselamatan, ergonomik, kuasa, pembrekan dan gaya.