Arkib Tag: MAN TGS

MAN Malaysia serah 7 unit trak MAN TGS kepada dua syarikat pengangkutan di Johor

NAMPAKNYA trak MAN berkuasa Euro V terus menjadi pilihan syarikat-syarikat pengangkutan yang berpangkalan di Johor.

Terbaru, MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd telah menyerahkan MAN TGS 6×2 kepada Pacific Oils & Fats Industries Sdn Bhd yang berpangkalan di Kulai dan Syarikat Wijaya (Masai) Sdn Bhd yang berpangkalan di Pasir Gudang.

Pacific Oils & Fats Industries menerima lima unit trak MAN TGS yang akan digunakan untuk mengangkut minyak sawit dari kilang penapis di Kulai ke depoh simpanan yang terletak di Pasir Gudang.

Syarikat itu memproses anggaran 3,000 tan metrik minyak sawit sehari dan memasarkan produk di bawah jenama Avena.

Sementara itu, Syarikat Wijaya (Masai) yang merupakan sebuah syarikat logistik minyak sawit menambah dua lagi trak MAN TGS kepada flit mereka atas keyakinan terhadap sokongan selepas jualan yang cemerlang daripada MAN Johor Bahru.

Pengarah Urusan MAN Malaysia Andrew O’Brooks menyampaikan penghargaan kepada kedua-dua buah syarikat kerana memilih MAN TGS dengan enjin Euro V yang terbukti mampu membantu perniagaan mencapai matlamat kemampanan dan keuntungan mereka.

“Kami teruja menyaksikan semakin banyak syarikat-syarikat pengangkutan di Johor yang memilih MAN disebabkan oleh cadangan yang meyakinkan daripada para pelanggan dan pemandu MAN yang semakin ramai jumlahnya.

Terima kasih kepada pasukan MAN di Johor atas usaha mereka yang cemerlang untuk memenuhi keperluan para pelanggan,” katanya.

Trak Generasi Baharu MAN dengan enjin Euro V sebagai enjin standard menerajui pencapaian keselesaan memandu, kecekapan penggunaan bahan api, sistem bantuan, rangkaian digital dan yang paling penting, kemapanan.

15 unit trak MAN dengan enjin Euro V diserahkan kepada Mekar Angkut

Mekar Angkut Sdn Bhd, sebuah syarikat pengangkutan yang berpangkalan di Kota Bahru, baru-baru telah menerima 15 unit penggerak utama (prime mover) MAN TGS berkuasa Euro V baharu untuk mengembangkan perniagaannya.

Trak MAN syarikat itu terdiri daripada 10 unit varian TGS 4×2 digunakan sebagai pembawa kereta dan lima unit varian 6×2 digunakan sebagai trak tangki untuk mengangkut minyak sawit.

Pada majlis penyerahan ringkas yang diadakan di ibu pejabat bersepadu baharu MAN Malaysia di Shah Alam, Pengerusi Eksekutif Mekar Angkut Che Ibrahim bin Che Ismail menjelaskan keputusan syarikat memilih trak MAN TGS baharu.

“Kami mempunyai pengalaman yang baik dengan prestasi dan kebolehpercayaan bas MAN dalam perniagaan bas ekspres kami, Ekspres Mutiara. Pada mulanya, terdapat sedikit keraguan mengenai sokongan lepas jualan kerana kami berpangkalan di Kota Bahru.

“Bagaimanapun, selepas melihat sendiri persediaan dan pelaburan semasa syarikat MAN Malaysia di Shah Alam dan menerima komitmen kukuh daripada pengurusannya, saya yakin bahawa kami telah membuat pilihan yang tepat,” kata Che Ibrahim, yang lebih dikenali sebagai Pak Nik.

Trak MAN dengan enjin Euro V sebagai standard mendahului dalam orientasi pemandu, kecekapan bahan api, sistem bantuan, rangkaian digital dan paling penting, kemampanan.