Arkib Tag: mampu milik

TQ Wuling Bingo EV 2026 rasmi di Malaysia – dua varian, harga dari RM62,800 selepas rebat

TQ Wuling yang merupakan jenama kerjasama antara Tan Chong Motor Holdings Berhad dan SAIC-GM-Wuling melancarkan model kenderaan elektrik mampu milik, iaitu Bingo EV.

Hatchback elektrik kompak ini merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) dan ditawarkan dalam dua varian utama, iaitu Bingo Pro dengan harga RM67,800, sementara varian Bingo Max pula dari RM72,800.

Bersempena dengan pelancaran, TQ Wuling turut menawarkan rebat tunai bernilai RM5,000.

Ini bermakna, harga jualan selepas rebat bermula dari RM62,800 untuk Bingo Pro dan RM67,800 untuk Bingo Max.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Dimensi

Bingo EV membawakan ukuran dimensi sepanjang 3,950 mm, lebar 1,706 mm, tinggi 1,580 mm dengan jarak antara roda 2,560 mm.

Secara standard, EV ini dibekalkan dengan rim 15 inci dengan tayar 185/60 R15.

Ruang kargo pula adalah sebesar 395 liter dan boleh mencapai kapasiti 1,240 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

 

2. Motor elektrik & bateri

Kereta elektrik ini dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pacuan roda depan menghasilkan kuasa 68 PS dan 150 N.

Terdapat empat mod pemanduan disediakan iaitu Eco+, Eco, Normal dan Sport.

Varian Pro hadir dengan bateri LFP 31.9 kWh yang menawarkan jarak pandu sejauh 333 km, sementara varian Max pula dilengkapi bateri 37.9 kWh dengan jarak pandu mencecah 410 km.

 

3. Pengecasan

Bingo EV menawarkan pengecasan AC 7 kW di mana bateri boleh dicas 0-100 peratus dalam masa 4.5 jam (5.5 jam untuk varian Max).

Kedua-dua varian turut menyokong pengecasan pantas DC 70 kW, dengan pengecasan 30-80 peratus SoC dalam tempoh kurang 35 minit.

 

4. Luaran

TQ Wuling menawarkan tiga pilihan warna dua tona, iaitu Lavender Purple, Neon Blue dan Milky White dengan gandingan bumbung warna hitam.

Ciri luaran termasuklah lampu utama LED dengan DRL berbentuk X, lampu belakang LED, lampu kabus belakang, serta lampu membelok pada perumah cermin sisi.

 

5. Kabin

Untuk ruang kabin pula, terdapat skrin instrumen 10.25 inci, skrin infohibur sebesar 10.25 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, roda stereng balutan kulit, serta sistem audio dengan empat pembesar suara.

Selain itu, tempat duduk pemandu diberikan larasan enam tahap berkuasa elektrik, diikuti dengan balutan upholsteri leatherete berliang.

Ciri keselamatan pula termasuklah enam beg udara, ABS, EBD, Kawalan Kestabilan Elektronik, Amaran Titik Buta, brek parkir elektronik dengan fungsi Auto-Hold, kamera undur, cagak ISOFIX serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

 

6. Lima manfaat untuk 500 orang pelanggan pertama

Bersempena dengan pelancaran, TQ Wuling menawarkan lima manfaat bernilai lebih RM12,000 kepada 500 orang pelanggan pertama termasuklah:

  • Rebat tunai RM5,000
  • Jaminan bateri EV selama 8-tahun atau 120,000 km serta jaminan motor pemacu 8-tahun/160,000 km (yang mana tiba dahulu)
  • Ansuran bulanan serendah RM625 menerusi institusi kewangan terpilih
  • Pakej pengecas EV rumah 7 kW percuma, pengecas mudah alih percuma dan pakej tinted solar premium TQ
  • Faedah insurans dan perlindungan EV menarik oleh panel insurans terpilih

Proton Saga 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – dari RM37,990

Proton akhirnya secara rasmi mengumumkan harga jualan bagi sedan Proton Saga 2026 untuk pasaran Malaysia.

Berikut merupakan harga jualan bagi setiap varian yang ditawarkan:

  • 1.5 Standard – RM37,990
  • 1.5 Executive – RM43,990
  • 1.5 Premium – RM48,990

Proton Saga 2026 dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter i-GT yang mampu menjana kuasa 120 PS @ 6,100 rpm dan daya kilas 150 Nm @ 4,000 rpm.

Terdapat dua pilihan transmisi, iaitu automatik 4-kelajuan untuk varian Standard dan Executive, sementara varian Premium pula mendapat kotak gear CVT.

Dari segi dimensi, Saga baharu membawakan ukuran sepanjang 4,390 mm, lebar 1,690 mm, tinggi 1,525 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,465 mm. Radius putaran adalah sekecil 5.2 meter.

Suspensi pula terdiri daripada topang MacPherson di depan, dibantu dengan tetapan torsion beam di belakang.

Antara ciri luaran yang tersedia termasuklah unit lampu projektor LED, lampu nyalaan siang DRL LED, rim aloi 15 inci (14 inci untuk varian Standard), cermin sisi larasan elektrik, serta lampu belakang LED melintang penuh.

Untuk ruang kabin, terdapat skrin kluster meter tujuh inci, skrin infohibur sebesar 9 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, empat pembesar suara (dua untuk varian Standard), tempat duduk balutan leatherette (fabrik untuk dua varian terendah), dan port pengecasan USB.

Ciri keselamatan termasuklah enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Mula Mendaki (HHA), serta fungsi-fungsi ADAS seperti:

  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
  • Amaran Pergerakan Kenderaan Depan (FDA)
  • Bantuan Suluhan Tinggi Pintar (IHBC)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Amaran Bukaan Pintu (DOW)

Bateri Madani tawar harga 50 peratus lebih rendah berbanding pasaran

Sejamas World Sdn Bhd selaku penyedia penyelesaian automotif milik Bumiputera mengumumkan pengenalan Bateri Madani – jenama bateri kereta bebas penyelenggaraan mampu milik untuk pasaran tempatan.

Dilancarkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia semasa Karnival Mega 3 Damansara, Bateri Madani direka untuk memberikan kebolehpercayaan, kemampuan, dan aksesibiliti kepada semua pemandu Malaysia, terutamanya dalam komuniti B40 dan M40.

Bateri gred premium ini dijual pada harga bermula dari RM130 (termasuk pemasangan, diagnostik dan penentukuran), di mana harga tersebut 50 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran biasa.

Setiap Bateri Madani juga disertakan dengan jaminan 1 tahun atau 20,000km untuk kenderaan persendirian dan kini boleh didapati di seluruh negara melalui cawangan perkhidmatan Sejamas yang semakin meluas dan pengedar sah.

Mengulas mengenai pelancaran itu, Alfred Kenneth Jingulam Jr, Jurucakap Sejamas World berkata, “Misi kami dengan Bateri Madani adalah untuk memastikan bateri automotif berkualiti tinggi tersedia dan mampu dimiliki oleh setiap pemandu Malaysia.

“Pengangkutan persendirian adalah kritikal kepada rakyat Malaysia – terdapat lebih 38.7 juta kenderaan di jalan raya negara kita. Apabila kos sara hidup meningkat secara menyeluruh, kami berbesar hati untuk menawarkan produk yang membantu mengurangkan beban tersebut dengan cara yang bermakna.

“Ini adalah inovasi berteraskan sosial — bukan sekadar produk komersial tetapi pergerakan di nasional untuk memperkasakan rakyat Malaysia melalui penyelesaian automotif yang praktikal dan mampu milik.”

Bateri Madani boleh didapati menerusi:

Proton Saga 2026: Tempahan dibuka, tiga varian, harga anggaran dari RM40k

Proton mengumumkan tempahan untuk model sedan Saga baharu telah pun rasmi dibuka.

Proton Saga 2026 boleh didapati dalam tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium dengan harga jualan anggaran bermula dari RM40,000 hingga RM50,000.

Proton turut menawarkan ganjaran eksklusif untuk pelanggan yang membuat tempahan sebelum pelancaran rasmi.

20,000 pembeli terawal yang membuat membuat tempahan dari 10 November 2025 hingga tarikh pelancaran rasmi dan melengkapkan pendaftaran sebelum 31 Disember 2025 layak mendapat tawaran berikut:

  • Pakej Servis Percuma 1 Tahun atau had 20,000 km (yang mana tiba dahulu)
  • Kad Touch ‘n Go Saga Serba Baharu Edisi Terhad

Perincian tentang Proton Saga 2026 boleh dibaca menerusi pautan berikut:

4 Perkara yang anda perlu tahu tentang Proton Saga 2026

Nio bakal lancar jenama baharu Alps, Firefly yang lebih mampu milik

Selain daripada menawarkan harga jualan yang lebih rendah berbanding pesaing, salah satu strategi yang turut digunakan oleh kebanyakan pengeluar automotif China ialah dengan memperkenalkan jenama baharu untuk menarik perhatian pembeli baharu.

Nio seperti contoh dilapor akan melancarkan sub-jenama Firefly (bukan syarikat penerbangan) di Eropah pada tahun 2025.

 

Berdasarkan beberapa laporan terdahulu, syarikat baharu Firefly ini akan melancarkan kenderaan dengan julat harga antara 100,000 yuan hingga 200,000 yuan (RM65k-RM131k).

Tidak terhenti setakat Firefly, Nio juga mahu memperkenalkan sebuah lagi sub-jenama Alps dengan model kenderaan berharga antara 200,000 yuan hingga 300,000 yuan (RM131k-RM197k).

 

Laporan Reuters menyebut, presiden Nio Lihong Qin mengesahkan jenama Firefly itu akan mendarat di Eropah pada tahun 2025.

Jenama Nio telah pun bertapak di beberapa buah negara di Eropah, dengan julat harga jualan bermula antara €50,000 hingga €91,000 (RM256k-RM465k).

Harga jualan yang agak mahal menjadikan Nio sukar untuk menjual model kenderaan mereka dalam unit yang besar.

Namun, dengan pelancaran jenama baharu Alps dan Firefly dijangka mampu mengubah keadaan tersebut pada masa akan datang.

 

Kempen Proton Rahmah 2023 – Servis berpatutan untuk model baharu dan lama

PROTON hari ini melancarkan Kempen Proton Rahmah 2023 sebagai menyahut inisiatif kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah.

Dilancarkan secara rasmi oleh Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kempen itu menggalakkan pemilik Proton menghantar kenderaan mereka ke pusat servis yang bertauliah untuk pemeriksaan keselamatan 40 mata percuma dan pakej servis berharga RM150.

“Dengan pelancaran Kempen Rahmah, pemilik Proton akan dapat memeriksa kereta mereka secara percuma dan membeli pakej perkhidmatan mampu milik, yang akan meringankan beban mereka menjelang sambutan Hari Raya yang bakal datang,” kata Tengku Zafrul.

Menurutnya, Proton merupakan syarikat automotif pertama yang menyokong inisiatif kerajaan, dan beliau berharap jenama lain akan mengikutinya untuk mengurangkan kos sara hidup mereka yang paling memerlukannya.

Berikutan kejayaan pelaksanaan inisiatif menu Rahmah yang dilancarkan pada Januari 2023, kerajaan sedang berusaha untuk mengembangkannya ke sektor lain yang boleh membuat perubahan nyata untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata: “Keputusan Proton untuk melancarkan Kempen Rahmah adalah selaras dengan usaha kami untuk menawarkan nilai tambahanan kepada pelanggan dan adalah penting untuk menyediakan produk dan perkhidmatan mampu milik kepada orang ramai.

“Mulai hari ini hingga 31 Mei 2023, pelanggan boleh menikmati pemeriksaan keselamatan 40 mata percuma dan menikmati pakej perkhidmatan berharga hanya RM150.

“Kempen inklusif ini memastikan kos dikongsi secara sama rata antara Proton Edar dan pengedar kami sebagai sebahagian daripada aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kami dan kami berharap dengan kempen ini, pemilik digalakkan servis kereta mereka di pusat servis yang bertauliah sebelum memulakan perjalanan balik kampung semasa tempoh perayaan.”

Kempen Proton Rahmah 2023 bermula pada 12 April sehingga 31 Mei 2023. Ia disasarkan kepada pemilik Proton Persona, Proton Iriz, Proton Exora, Proton Saga, serta model terdahulu termasuk Proton Inspira, Proton Waja dan Proton Wira.

Minat kereta Perancis? Ini Peugeot ‘bon produit’ bawah RM30k

HARI ini kita melihat lagi kepada kereta Perancis, antara satu jenama yang agak popular di Malaysia iaitu Peugeot. Ia juga antara jenama tertua di dunia.

Peugeot juga banyak menghasilkan kereta-kereta menarik dan ikonik seperti 205 GTi dan model-model baharu mereka tidak kurang hebatnya, seperti 3008 yang memenangi anugerah World Car of the Year beberapa tahun lepas.

Peugeot kegemaran penulis adalah 308 GTi (untuk lenjan syok sendiri) dan 508 SW (untuk kegunaan keluarga).

Baik, jika anda berminat hendak mendekati jenama Perancis dengan logo singa ini, kami akan senaraikan beberapa model menarik dalam pasaran terpakai dengan harga boleh pecah tabung.

1. Peugeot 308 1.6 – RM20,800

Powerful turbo engine, mengikut kata iklannya. Kereta ini juga telah diservis pendingin hawanya dengan compressor baharu, serta mendapat nombor plat menarik 2828.

Model tahun 2010 ini nampak sangat okay dan terjaga. Apa yang membuatkan harganya agak jatuh adalah persepsi masyarakat kita yang ‘takut’ dengan jenama ini.

Sebenarnya dari segi mekanikal, Peugeot cukup tahan lasak dan pemanduannya sangat selesa. Cuma ada beberapa panel yang mungkin mudah rosak kerana tidak tahan dengan cuaca kita.

2. Peugeot 207 1.6 – RM16,000

Ini model yang lebih kompak dari tadi, “kereta jarang digunakan”, menurut kata iklan. Bebas kemalangan, pendingin hawa masih sejuk dan tayar agak baharu (90 peratus).

Jika benar seperti dikatakan, bolehlah dicari kerana harganya RM16,000 memang cantik.

Beberapa tips untuk melihat sama ada kereta itu benar-benar ‘low mileage’ atau perbatuan rendah, boleh periksa keadaan tempat duduk dan juga pedal minyak serta brek. Jika semuanya masih mantap dan ketat, maka kemungkinan besar memang jarang dipandu.

 3. Peugeot 408 – RM22,000

Kereta ini agak unik kerana tiada di Eropah. Peugeot 408 asalnya dari 308 hatchback yang dipanjangkan menjadi sedan, mula dijual untuk pasaran China.

Unit dalam iklan ini merupakan model tahun 2016 dan didaftar pada 2017. Menurut pemilik juga, komponen ‘wear and tear’ telah diganti, dan kita boleh minta semua resit untuk diteliti.

4. Peugeot 3008 – RM25,000

Seterusnya kita masuk ke segmen MPV, kami cadangkan 3008 tahun 2012. Enjin 1.6 turbo yang digunakan diberi nama Prince, dan unit ini juga datang dengan panoramic sunroof dan head-up display.

Keadaan nampak masih cantik dan original, cuma tuannya mahu tunai sahaja. Pandai-pandailah belek dengan teliti dan mungkin boleh berbual agar dapat kurang lagi.

5. Peugeot 5008 – RM26,000

Model yang cuma setahun muda dari 3008 tadi, tapi hanya tambahan RM1,000, iaitu RM26,000. Boleh menimbulkan kemusykilan. Tapi mungkin kerana urgent sale, seperti dinyatakan pada iklan.

Ini sebenarnya sebuah kenderaan yang sangat mantap untuk kegunaan keluarga, salah satu sebabnya kerana ada panoramic sunroof. Mesti keluarga tersenyum punya. Oh ya, 5008 ini juga sangat selesa.

6. Peugeot 508 – RM26,500

Untuk yang mahukan gaya sedikit ‘atas’, ini ada sebuah kereta eksekutif iaitu Peugeot 508. Model ini antara sedan segmen-D bukan premium paling sedap dipandu pada zaman itu.

Sama seperti kebanyakan model dalam senarai ini, Peugeot 508 menggunakan enjin 1.6 turbo Prince. Menurut iklan, kereta ini high spec, baru diservis dan merupakan kereta keluarga.

RM26,500 harga dipinta untuk kereta tahun 2012 ini, ngam?

7. Peugeot Expert – RM30,000

Akhir sekali sebuah van ringan yang sangat jarang dijumpai di Malaysia. Ia bersaiz seperti Hyundai Starex dan ia agak popular di Eropah.

Hanya ada satu unit dalam laman web Mudah.my, dan ia merupakan varian Teepee, antara gred tertinggi.

Dengan enjin 2.0, van ini dikatakan telah digunakan oleh organisasi, mungkin satu NGO (badan bukan kerajaan). Kenderaan sebegini biasanya mungkin perbatuan agak tinggi, tetapi servis mungkin bagus.

Harga RM30k sedikit mahal, tapi memang satu alternatif menarik kepada Starex atau Maxus G10.

Jadi, jika anda lihat model-model dalam senarai ini dan rasa berminat, pastikan anda berani. Peugeot sebenarnya bukanlah satu kereta yang susah dijaga, ia juga agak lasak, cuma perlu tahu mekanik mana yang mampu menyelenggara jenama ini.