Arkib Tag: Malaysia Autoshow 2025

Zontes 703F diperlihatkan di Malaysia Autoshow 2025, harga bawah RM40,000

Di Malaysia Autoshow 2025, Zontes Malaysia hari ini memperlihatkan model adventure tourer Zontes 703F yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

ZT 703 F Adventure ini dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris 699 cc yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 97 hp @ 10,000 rpm dan daya kilas 76 Nm @ 7,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi manual enam-kelajuan dan bantuan quickshifter.

Jentera ini menggunakan bahan aluminium untuk binaan casis termasuklah lengan ayun belakang, dibantu dengan sistem suspensi yang terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak tunggal belakang, kedua-duanya daripada Marzocchi.

Pembeli boleh mendapatkan tetapan rim 19 inci dengan tinggi pelana 830 mm, atau tetapan rim 21 inci dengan tinggi pelana 845 mm.

Aspek pemberhentian menggunakan sistem brek J.Juan yang terdiri daripada rotor brek berkembar di hadapan, rotor brek tunggal di belakang serta bantuan sistem ABS dua saluran.

Ciri lain termasuklah tangki sebesar 22 liter, penghadang angin boleh laras elektronik, tinggi pelana sekitar 845 mm, pemanas grip bar hendal, skrin TFT sebesar 6.75 inci, slot pengecas USB dan sistem tanpa kunci.

Harga jualan anggaran bermula dari bawah RM40,000.

Zeekr 7X dipertontonkan di Malaysia, harga anggaran dari RM182,000

Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, Zeekr Malaysia memperlihatkan crossver segmen D Zeekr 7X yang bakal dipasarkan menjelang suku ketiga tahun ini.

Zeekr 7X merupakan SUV elektrik segmen D yang bakal memberikan saingan kepada model popular seperti Tesla Model Y dan BYD Sealion 7.

Dibina menggunakan platform SEA (Sustainable Experience Architecture), Zeekr 7X mempunyai ukuran dimensi sepanjang 4,825 mm, lebar 1,930 mm, tinggi 1,666 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,925 mm.

Zeekr Malaysia mengesahkan terdapat tiga varian yang bakal ditawarkan, seperti berikut:

– RWD Standard (RM182,000)
– RWD Long Range (RM195,000)
– AWD Performance (RM230,000)


Zeekr 7X menawarkan pecutan sepantas 3.8 saat dari 0-100 km/j, selain boleh dipandu sejauh 600 km mengikut data WLTP.

Harga indikatif yang disebutkan di atas hanya sah untuk 500 orang pelanggan pertama sahaja.

Proton e.MAS7 berkonvoi 9,000 km rentas 9 negara ASEAN sempena Malaysia Autoshow 2025

Konvoi Proton e.MAS7 berserta empat buah kenderaan Siri X yang dibawakan oleh Proton dan Pro-Net memulakan perjalanan sejauh 9,000 km pada Khamis lalu (20 Mac).

ASEAN Unity Drive 2025 (AUD 2025) merupakan satu inisiatif yang menggariskan kepimpinan Malaysia dalam memacu mobiliti hijau, kerjasama rentas sempadan dan inovasi automotif di seluruh Asia Tenggara.

Proton e.MAS7 dipilih sebagai kenderaan rasmi AUD 2025 yang melambangkan komitmen Malaysia kepada mobiliti elektrik, menyokong agenda EV negara dan matlamat kelestarian ASEAN secara lebih meluas.

Dua laluan utama dirancang, iaitu:
• Laluan Utara: bermula di Hanoi, Vietnam melalui Laos, Kemboja, Thailand sebelum tiba di Malaysia.
• Laluan Selatan: Bermula di Manila, Filipina, melalui Sabah, Brunei, Sarawak, Indonesia, Singapura sebelum tiba di Malaysia.

Konvoi AUD 2025 ini akan bertemu di Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025) yang akan berlangsung di MAEPS, Serdang pada 9-15 Mei ini.

Majlis pelepasan telah diadakan di Menara MITI dan dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“ASEAN Unity Drive 2025 melambangkan kekuatan kolektif rantau ini dalam memajukan mobiliti lestari seiring memperkukuhkan integrasi ekonomi dan pengurusan alam sekitar.

“Malaysia, melalui inisiatif seperti ASEAN Automotive Institute Alliance, komited kepada membentuk ekosistem mobiliti bersatu yang mempercepatkan inovasi, menyelaraskan piawaian, dan mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai peneraju global dalam pengangkutan generasi baharu.

“Inisiatif ini adalah langkah penting ke arah industri automotif yang bersedia untuk masa depan dan membawa manfaat kepada seluruh rantau ini,” ujarnya lagi.

Selain daripada pelancaran model baharu serta pameran teknologi EV & ICE, MAS 2025 pada tahun ini akan menampilkan segmen Wanita dalam Automotif, pameran Hari Kerjaya serta Debat Automotif ASEAN.

Sebanyak 55 buah jenama terkemuka akan menyertai acara Malaysia Autoshow 2025 yang dijangka menarik kehadiran pengunjung yang lebih besar berbanding edisi sebelumnya.