Arkib Tag: mainan

Berlumba kereta RC untuk kali pertama, ini pengalaman kami!

BAGAIMANA kalau kami beritahu bahawa berlumba kereta RC (kawalan radio/kawalan jauh) sama mengujakan dan memerlukan kemahiran teknikal serupa dengan berlumba kereta sebenar?

Ya, berlumba kereta RC memerlukan anda mahir mengambil selekoh mengikut racing line, tahu di mana untuk memecut atau membrek, dan mempunyai pemahaman teknikal seperti talaan suspensi dan penggunaan tayar sesuai mengikut litar.

Baru-baru ini, penulis menyertai satu perlumbaan RC dan mari kami bawakan perjalanan serta kongsikan pengalaman. Untuk pengetahuan, penulis telah berkecimpung dalam RC secara serius sejak lima tahun lepas (helikopter), dan melibatkan diri dalam RC buggy sejak 2021.

Penulis lebih cenderung terhadap RC off-road buggy dengan litar tidak berturap, biasanya tanah merah, rumput, atau pasir. Buggy yang penulis miliki buat masa ini terdiri dari jenis 4WD dan 2WD.

Perlumbaan santai ‘invitational’ AZRC

Penulis dijemput dalam satu perlumbaan santai yang dianjurkan oleh ScotTuned Acadamy di litar AZRC, Galaxy Mall, Ampang. Perlumbaan invitational ini sebahagian dari sesi latihan atau ‘panas enjin’ sebelum perlumbaan besar-besaran hujung Jun nanti.

Penulis biasa berlumba dengan dua atau tiga rakan terdekat sahaja sebelum ini, dengan catatan masa yang diambil dengan telefon pintar sahaja. Aktiviti riadah petang sahaja senang cerita.

Kali ini di AZRC, dalam acara sebenar, kali pertama kereta RC penulis dipasang dengan transponder iaitu peranti untuk mengira catatan masa dengan tepat hingga 1/1000 saat. Jadi, terasa sangat berbeza semangat dan suasana malam itu. Berdebar pun ada.

Perlumbaan ini adalah kategori street buggy – buggy dengan tayar street untuk permukaan simen dan karpet, dan peserta yang bertanding memandu buggy skala 1/10, 1/12, dan paling kecil 1/14.

DT-02 2WD (kiri), TT-02B 4WD.

Penulis membawa kit 1/10 4WD (Tamiya TT-02B) dan 2WD (Tamiya DT-02), tetapi memilih untuk bersaing dengan kit 4WD. Ini kerana kenderaan 4WD lebih mudah dipandu dan kit TT-02B penulis telah dinaik taraf dengan komponen prestasi, lebih tahan lasak, dan mempunyai lebih banyak alat ganti dalam pasaran.

Masa untuk beraksi

Format perlumbaan santai ini ialah satu sesi latihan, tiga sesi kelayakan, dan tiga sesi perlumbaan. Setiap sesi adalah lima minit.

Dalam sesi latihan, para pelumba akan membiasakan diri dengan litar serta tetapan kereta, sebelum menala kereta untuk kelayakan jika perlu.

Purata catatan masa penulis adalah sekitar 21 saat untuk satu pusingan. Catatan masa terpantas litar AZRC ialah 17 saat, dipandu oleh pelumba berpengalaman yang berlatih di sini beberapa kali seminggu, menggunakan kit perlumbaan khas.

Kemudian dalam sesi kelayakan, catatan masa setiap pelumba akan menentukan grid permulaan dan kumpulan mereka. Kumpulan untuk perlumbaan RC kali ini ialah A-Main dan B-Main.

A-Main untuk empat atau lima pemandu terpantas, dan B-Main untuk baki empat atau lima pelumba lain.

Dalam sesi kelayakan pertama, penulis berjaya mencatatkan masa terpantas 19.387 yang menjadi rekod terbaik penulis secara peribadi. Masalahnya, ini ‘mencampakkan’ penulis dalam A-Main, dan penulis perlu bersaing dengan pelumba-pelumba pro.

Penulis menjadi pelumba paling perlahan dalam A-Main. “Aku dah tempah tempat akhir,” kata penulis berseloroh kepada rakan-rakan pelumba.

Jika penulis termasuk dalam B-Main pasti lebih selesa berlumba.

Tetapi biarlah, penulis ambil ini semua sebagai satu cabaran, pengalaman, dan pembelajaran. Tidak mengharap untuk menang, sekadar menyokong.

Hanya penulis seorang menggunakan kit Tamiya dalam A-Main, lain-lain pelumba menggunakan kit HSP, dan kit-kit perlumbaan khas seperti Schumacher, Associated, dan Yokomo (tidak sempat bertanya model spesifik).

Jika anda dalam dunia RC, anda akan tahu kebanyakan kit Tamiya bukan direka untuk perlumbaan, sebaliknya model yang seronok dipasang dan dipandu santai litar off-road. Jika berlumba pun, kereta-kereta Tamiya RC lebih sesuai berlumba sesama Tamiya, ini lebih seronok.

Kembali ke perlumbaan, selesai sesi latihan dan tiga sesi kelayakan, tibalah masa perlumbaan. Seperti dijangka, penulis tamat di tempat kelima setiap kali.

Dalam setiap sesi lima minit, pemandu terpantas berjaya memperoleh 16 pusingan dengan purata catatan masa 18.347 saat. Tempat kedua dengan 15 pusingan dan tempat ketiga dengan 14 pusingan.

Penulis memperoleh 12 pusingan selepas lima minit dengan catatan masa terpantas 21.257 saat.

Duduk di posisi marshal, memantau kereta yang berlumba sambil makan ais-krim.

Oh ya, satu perkara dalam perlumbaan RC ialah bab marshalling. Kereta biasa terbabas ke luar litar atau terbalik, jadi akan perlukan marshal untuk mengangkat dan meletakkan semula kereta dengan pantas kerana pemandu berdiri di driver stand sahaja.

Biasanya marshal terdiri dari kumpulan yang tidak berlumba pada masa itu. Sebagai contoh, semasa perlumbaan A-Main, pelumba dari B-Main akan menjadi marshal, dan begitulah sebaliknya.

Marshal biasanya akan duduk bersedia di lokasi-lokasi yang kerap berlaku kemalangan seperti di ramp lompatan atau di kawasan selekoh mencabar.

Aspek teknikal perlumbaan RC

Seperti dikatakan tadi, perlumbaan RC juga memerlukan kemahiran dan pemahaman teknikal seperti kereta sebenar. Bukan sekadar guna bateri lebih besar, motor lebih berkuasa, terus kereta akan laju.

Keseimbangan paling penting. Dengan kuasa lebih besar, mampukah tayar, suspensi, dan casis kereta itu mengawalnya? Serupa dengan kereta sebenar. Tiada guna anda sumbat enjin V12 6.0-liter pada Proton Wira jika casis dan tayar tidak dapat menghantar kuasa dengan baik ke jalan.

Aspek-aspek seperti camber dan toe boleh ditala pada buggy RC seperti yang penulis pandu. Tayar juga perlu sesuai dengan litar. Penulis menggunakan all-rounder tayar yang sesuai untuk off-road dan simen, tetapi sudah tentu tidak sebagus tayar khas yang digunakan pelumba lain.

Suspensi juga boleh ditala seperti kekerasan spring dimana anda boleh tukar dengan set lebih keras atau lembut, kemudian penyerap hentak itu sendiri boleh dilaras dengan menukar minyak (kelikatan berbeza) dan omboh (bilangan lubang berbeza).

Untuk lebih penelitian, anda juga boleh melaras differential (pembeda) dengan kelikatan minyak atau keketatan berbeza, bergantung kepada jenis. Untuk kereta yang menggunakan slipper clutch, anda boleh melarasnya untuk disesuaikan dengan cara pemanduan, tahap cengkaman, dan kuasa kereta.

Kesemua talaan ini memberikan respon berbeza terhadap kereta dari segi cara mengambil selekoh, kecenderungan understeer/oversteer, cara melalui permukaan tidak rata, keseimbangan mendarat dari lompatan, atau cara cengkaman keluar selekoh.

Pada alat kawalan jauh pula, sistem radio mempunyai pelbagai lagi talaan yang boleh disesuaikan dengan keadaan litar, jenis kereta, dan cara pemanduan setiap pemandu.

Berapa bajet diperlukan untuk bermain RC?

Perkara yang sering ditanya untuk bermain kereta RC (atau sebarang hobi) pastinya kos. Berapa pengeras diperlukan.

Untuk buggy sebegini, harga adalah antara RM250 untuk skala 1/14 hingga RM3,000 untuk skala 1/8. Penulis menggunakan buggy skala 1/10 yang berharga antara RM500 hingga RM1,000 sebuah.

Tetapi biasanya kereta lebih murah boleh dibeli siap untuk dipandu, lengkap semuanya. Hanya tunggu cas bateri dan anda boleh terus lenjan.

Untuk kit-kit lebih serius seperti yang digunakan untuk perlumbaan, anda perlu memasangnya mengikut manual yang disediakan, kemudian anda boleh masukkan kombinasi motor, ESC, dan sistem radio mengikut spesifikasi dan bajet anda.

Secara umumnya, untuk off-road buggy, penulis sarankan anda membeli skala 1/10 dari jenama pengeluar ternama seperti WL Toys, HSP, Tamiya, Schumacher, Yokomo, Kyosho, Team Associated, Gforce, Armaa, dan Traxxas.

Skala 1/10 kerana pergerakannya lebih realistik dan memuaskan. Pemilihan dari jenama terkemuka kerana anda tidak perlu risau isu alat ganti.

Kesimpulannya, penulis tetap berseronok dari perlumbaan di AZRC tadi. Walaupun tidak menang, penulis telah menimba pengalaman baharu menyertai perlumbaan yang dikawal selia oleh profesional dengan sistem catatan masa sebenar.

Penulis juga rasakan pencapaian ini tidak begitu teruk walaupun kereta penulis bukan ditala khas untuk litar sebegini. Dengan buggy khas off-road, penulis terasa seperti memandu Porsche 911 Dakar berlumba dengan jentera GT3 khas seperti Aston Martin Vantage AMR GT3, Ferrari 488 GT3, atau Lamborghini Huracan GT3.

Tamiya tayang van monster Lunchbox sebenar di acara Shizuoka Hobby Show

KITA sebagai peminat mainan kenderaan pastinya sering terbayang jika kita boleh memandu kereta itu di dunia sebenar. Salah satu cara untuk merealisasikannya ialah dengan menjelmakan kenderaan itu dalam bentuk saiz skala 1/1.

Itulah yang dibuat oleh Tamiya baru-baru ini. Pengeluar mainan itu membawakan Lunchbox saiz sebenar untuk dipamerkan di acara Shizuoka Hobby Show 2024 yang berlangsung baru-baru ini.

Tiada perincian teknikal didedahkan, tetapi monster van ini mempunyai badan yang sangat mirip dengan versi kawalan radio (RC) skala 1/12.

Lunchbox sebenar ini tampil dengan warna kuning yang ikonik, bar perlanggaran di depan, gril dan ekzos krom, grafik “Vanessa’s Lunchbox” di sisi, malah wheelie bar di belakang juga dihasilkan serupa seperti versi RC.

Paling kelakar ialah terdapat juga pek bateri di bahagian bawah casis, walaupun trak sebenar ini pastinya menggunakan enjin petrol.

Cuma tayarnya sahaja tidak cukup besar, bukan menggunakan tayar monster truck gergasi. Sebaliknya versi sebenar ini menggunakan tayar off-road biasa dan casisnya nampak seperti pacuan empat-roda (4WD) jika dilihat pada gandar depan dan belakang.

Versi RC skala 1/12 adalah pacuan roda-belakang (RWD) dengan motor di gandar belakang. Tetapi versi sebenar ini tetap tinggi dan sekali lihat, peminat RC Tamiya akan terus mengenalinya.

Tamiya sebelum ini pernah menjelmakan model Monster Beetle saiz sebenar, manakala sebuah syarikat luar pula pernah menawarkan buggy Wild One MAX.

Senarai Hot Wheels yang lebih mahal daripada kereta sebenar

JANGAN pandang saiznya yang kecil kerana Hot Wheels ialah antara beberapa permainan yang boleh menjadi sebahagian besar daripada kehidupan pengumpulnya, tidak kiralah sama ada mereka kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Sejak diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1968, permainan yang berasal dari Amerika Syarikat itu terus menempa namanya sebagai yang terbaik dalam industri die-cast hinggalah ke hari ini. Sudah tentu, muncul beberapa pesaing yang ingin menjatuhkan Hot Wheels dari takhtanya namun populariti jenama itu terlalu besar untuk digugat.

Oleh itu, tidak hairanlah jika ada kereta Hot Wheels yang nilainya meningkat berkali ganda berbanding harga asal sewaktu ia mula dikeluarkan. Malah, percaya atau tidak, ada yang harganya menjadi lebih mahal daripada sebuah kereta sebenar! Berikut adalah antara kereta Hot Wheels yang paling berharga:

1970 Red Baron (White Interior) – $3,000 (RM12,580)

Pertama kali model ini dikeluarkan adalah pada 1970, kemudian pada 1973 hingga 1974, dan akhir sekali pada 1990 sebagai sebahagian daripada barisan vintej. Ia didatangkan dalam pelbagai variasi warna namun Red Baron dengan dalaman putih adalah lebih ‘rare’ kerana hanya 10 unit pernah dihasilkan.

1995 Collector Number 271 Funny Car – $3,500 (RM14,680)

Model ini adalah yang paling ‘baharu’ dalam senarai ini kerana ia dikeluarkan sekitar 90an. Dikatakan hanya 12 unit dihasilkan dan setiap satu mempunyai cetakan nombor pengumpul “271”. Setakat ini, hanya tujuh buah berjaya ditemui.

1971 Red Olds 442 (Black Interior) – $4,000 (RM16,780)

Berasaskan Oldsmobile Cutlass 442 keluaran 1970, model Hot Wheels ini hanya dikilangkan di AS dan ditawarkan dalam beberapa pilihan warna. Warna ungu dikatakan antara yang paling sukar ditemui namun warna merah dengan dalaman hitam paling dicari-cari kerana daripada 144 buah yang dihasilkan, hanya 25 yang masih ada sehingga ke hari ini.

1970 Ed Shaver Custom AMX – $4,000 (RM16,780)

Ada beberapa variasi AMX yang dihasilkan namun versi Ed Shaver dikatakan paling bernilai. Merupakan seorang bekas tentera AS yang berkhidmat di UK, Ed ditaja oleh Mattel untuk aktiviti perlumbaan drag beliau. Model ini hanya dihasilkan untuk pasaran UK dan menurut laporan, sebahagian daripadanya diberikan di litar-litar di mana Ed berlumba dan sebahagian lagi semasa promosi sarapan bijirin.

1970 Red Ferrari 312P White Interior – $5,000 (RM20,970)

Ferrari 312P merupakan salah satu model Redline, iaitu model yang dihasilkan dari 1968 hingga 1977 yang boleh dikenalpasti menerusi jalur pada roda. Ia dikeluarkan di AS dan Hong Kong, masing-masing dengan pilihan warna tersendiri. Warna Spectraflame Red seperti ini biasanya didatangkan dalaman hitam namun terdapat kurang 20 buah yang mempunyai dalaman putih.

1971 Purple Bye Focal – $6,000 (RM25,170)

Satu lagi model Redline, Bye Focal menggunakan casis yang berasaskan dari Dodge Challenger twin-engine dan mempunyai hud lutsinar. Ia hanya dihasilkan di Hong Kong dan boleh didapati dalam beberapa variasi warna, namun warna ungu dan juga merah menjadi buruan pengumpul kerana bilangannya yang terhad.

1969 Brown ’31 Woody – $8,000 (RM33,560)

Diinspirasikan oleh Ford Model A Wagon, Woody boleh didapati dalam beberapa variasi dengan tekstur bumbung, warna dalaman dan juga casis yang berbeza. Unit berwarna coklat ini mempunyai nilai yang tinggi kerana hanya kira-kira 12 unit pernah dihasilkan dan sejumlah daripadanya dikatakan model prototaip.

1971 Purple Olds 442 – $12,000 – RM50,330

Di kalangan pengumpul Hot Wheels, ia dikatakan model Olds dan juga Redline yang paling sukar ditemui. Ia dihasilkan secara eksklusif di Hong Kong untuk pasaran negara itu sahaja.

1969 Brown Custom Charger – $13,000 (RM54,530)

Model Charger bukan sahaja popular di kalangan peminat kereta muscle, malah turut menjadi buruan pengumpul Hot Wheels. Banyak variasi Charger yang pernah dihasilkan namun model keluaran tahun 1969 yang berwarna coklat dikatakan paling harga kerana ia dipercayai model prototaip.

1974 Blue Roger Dodger – $8,000 (RM33,560)

Sekali pandang, ia mungkin tampak seperti model Hot Wheels biasa namun Roger Dodger berwarna biru dikatakan istimewa kerana pengeluarannya terhad kepada tujuh unit sahaja. Dikatakan seorang pengumpul dari UK bernama Bob Parker pernah memiliki tujuh buah model seperti ini namun beliau menjual kesemuanya kepada seorang pengumpul di AS kerana menyangka terdapat banyak lagi yang seumpamanya.

1968 “Cheetah” Base Python – $10,000 (RM41,950)

Cheetah Base Python berwarna merah dihasilkan dalam bilangan yang terhad dan mempunyai cetakan “Cheetah” dan “Hong Kong patent pending”. Bagaimanapun, nama Cheetah pada masa itu telah digunakan oleh jurutera GM, Bill Thomas pada kereta lumbanya, sekaligus memaksa Hot Wheels untuk menggunakan nama Python. Namun, ada beberapa unit Cheetah yang berjaya terlepas ke pasaran.

1968 Hot Pink Beatnik Bandit – $15,000 (RM62,920)

Antara model yang menjadi kegemaran ramai pengumpul Hot Wheels, Beatnik Bandit tampil unik dengan bumbung berbentuk kubah, enjin yang terkeluar dan stereng berbentuk joy stick. Ia asalnya dihasilkan untuk menarik minat kanak-kanak perempuan namun sambutan yang diterima tidak begitu menggalakkan.

1968 Over Chrome Camaro – $25,000 (RM104,860)

Camaro dengan kemasan ‘over chrome antifreeze’ ini jatuh di bawah kategori istimewa bagi model-model Hot Wheels yang dikumpul. Selain kemasan itu, jumlahnya yang amat kecil iaitu 20 unit membuatkan ia menjadi buruan pengumpul sehinggakan harganya meningkat secara mendadak.

1969 Pink Rear-Loading Volkswagen Beach Bomb – $72,000+ (RM302,000)

Apa yang anda lihat ini ialah model Hot Wheels yang paling rare. Hanya satu prototaip yang dihasilkan dan ia dimiliki oleh pengumpul Hot Wheels terkenal, Bruce Pascal yang membelinya pada harga $72,000 (RM302,000). Namun, ada yang mengatakan nilai sebenarnya mencecah $150,000 (RM629,180). Ada versi produksi yang dijual pada harga sekitar $800 (RM3,360) namun sudah tentu ia tidak sama dengan versi prototaip ini.

40th Anniversary Diamond Encrusted Otto – $140,000+ (RM587,230)

Tidak syak lagi, ini ialah model Hot Wheels yang termahal di dunia. Ia disalut emas putih 18K, 1,388 butir berlian biru, 319 butir berlian putih dan lapan butir delima. Kos untuk menghasilkannya mencecah $140,000 namun kos untuk memiliki sesuatu yang unik dan mewah seperti ini sudah tentu berlipat kali ganda lebih mahal.

Tamiya Monster Beetle saiz sebenar yang boleh dipandu – siap dengan tayar off-road, suspensi tinggi dan lampu spotlight!

SAMA ada anda mahu mengaku atau tidak, anda pasti pernah rasa mahu memandu apa-apa kereta mainan yang anda pernah miliki. Mungkin kereta die-cast Hot Wheels dan Matchbox, model skala seperti Maisto, atau kereta kawalan jauh (RC).

Begitu juga dengan Harunobu Otani, dia pernah memiliki kereta RC Tamiya Monster Beetle semasa kecil. Bezanya, Otani telah berjaya memandu kereta itu kerana dia membinanya dengan saiz sebenar!

Otani merupakan seorang mekanik di Garage Aichi dan bertugas membina kereta-kereta kustom. Katanya, “Saya telah mengubah impian masa kecil menjadi suatu raliti!”

“Mengapa saya membuatnya? Semasa kecil, ayah saya pernah membelikan kereta RC Tamiya Monster Beetle.

“Tetapi baru-baru ini saya terfikir, hey, saya ada kemahiran untuk membuat versi yang besar,” tambahnya.

Jika dilihat Monster Beetle sebenar ini, sangat mirip dengan versi RC Tamiya skala 1/10 yang mula dikeluarkan pada 1986.

Kereta sebenar ini dibina lengkap dengan tayar off-road besar, suspensi tinggi dengan spring kuning, warna badan merah dengan pelekat-pelekat, dan lampu spotlight di depan. Malah terdapat juga bar besi di depan dan antena dengan bendera di belakang untuk lebih perincian.

“Bila dipandu keluar, kereta ini memang mendapat perhatian orang. Mereka bertanya bermacam soalan,” terang Otani lagi.

Monster Beetle dua tempat duduk ini dipacu oleh enjin petrol 1.8-liter 4-silinder DOHC yang mampu menjana 125hp dan 170Nm tork.

Ia menggunakan kotak gear manual 5-kelajuan dan mempunyai sistem pacuan empat-roda (4WD) separuh masa, bermakna ia boleh ditukar kepada mod 2WD.

Monster Beetle ini juga mempunyai tangki bahan api berkapasiti 40 liter, menggunakan rim 15-inci dan mempunyai radius belokan minima 4.9 meter.

Untuk menjadikannya mudah dipandu, Monster Beetle ini dilengkapi dengan beberapa kamera untuk melihat ke luar, sistem pendingin hawa, port USB, dan pembaca kad tol.

Idea menukar kereta mainan masa kecil menjadi realiti ini bagi kami sangat cool. Silap-silap rasa macam kanak-kanak semula apa memandu kereta sebegini.

Adakah anda mempunyai apa-apa kereta masa membesar dulu yang teringin anda jadikan kereta sebenar yang boleh dipandu?

Toyota akhirnya pamerkan koleksi model skala 1:5 istimewa untuk orang awam

PAMERAN “Toyota 75” yang diadakan di Toyota Automobile Museum di Jepun pada 2013 bukan sahaja menampilkan barisan model terawal yang mewarnai sejarah perkembangan syarikat itu, malah ada satu bahagian khas yang menempatkan sebuah koleksi yang sebelum itu tidak pernah dipertontonkan kepada orang ramai.

Koleksi yang dimaksudkan ialah 50 unit model diecast berskala 1:5 yang dibawa khas dari Toyota Design Centre. Jadi apa yang menariknya mengenai model-model skala ini?

Bagi mereka yang tidak meminati kereta, ia mungkin kelihatan seperti permainan untuk kanak-kanak ‘dewasa’.

Namun bagi si kaki kereta dan peminat jenama Toyota khususnya, melihat model-model skala ini tersusun rapi di dalam bekas kaca boleh dianggap sebagai satu keistimewaan yang hanya dapat dirasakan sekali seumur hidup.

Ini kerana kebiasaannya model-model skala ini diletakkan di satu bahagian di ibu pejabat Toyota yang dikenali sebagai Design Dome. Akses untuk ke bahagian ini dikatakan sangat terhad, dengan kebanyakan kakitangan syarikat itu tidak mempunyai kebenaran untuk memasukinya, apatah lagi orang awam.

Jadi bersempena dengan ulang tahunnya yang ke-75, Toyota untuk pertama kalinya mengambil keputusan mengeluarkan model-model skala tersebut dari Design Dome dan mempamerkannya bersama-sama dengan kolekasi kereta bersaiz sebenar mereka untuk masa yang terhad.

Penghasilan model skala merupakan satu perkara biasa dan sudah menjadi sebahagian daripada proses pembangunan sesuatu model baharu. Untuk model skala Toyota ini, setiap satu daripadanya dihasilkan dengan tangan dan digunakan bukan sahaja untuk tujuan penyelidikan reka bentuk, malah juga untuk diarkibkan.

Model-model yang dipamerkan merangkumi nama-nama yang sering menjadi sebutan peminat JDM seperti Supra, Celica, MR-2 dan MR-S, serta model-model yang sudah jarang didengari seperti Corona, Crown, Cressida dan Cresta.

Oleh kerana model skala ini didatangkan dalam skala 1:5 yang boleh dikatakan agak besar, setiap elemen rekaan luaran dan dalaman dihasilkan dengan penuh terperinci dan dapat dilihat dengan jelas dengan mata kasar.

Malah, jika dilihat dalam gambar-gambar ini, ia tidak ubah seperti kereta bersaiz sebenar. Ini tidak lain tidak bukan ialah bukti ketelitian yang tinggi dan komitmen pereka-pereka Toyota yang terlibat dalam penghasilannya.

Sumber gambar: Speedhunters.com