BMW telah mendedahkan M2 CS baharu, versi berprestasi tinggi BMW M2 generasi kedua (G87). Ia akan dilancarkan pada lewat musim panas tahun ini dan akan dihasilkan dalam bilangan yang terhad di kilang BMW di San Luis Potosi, Mexico.
Nadi M2 CS ialah enjin 3.0-liter enam silinder sebaris yang ditala bagi menghasilkan 530 PS dan 650 Nm tork, meningkat sebanyak 50 PS dan 50 Nm berbanding M2 standard.
Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui transmisi automatik 8-kelajuan M Steptronic dengan fungsi Drivelogic. Pecutan 0–100 km/j hanya mengambil masa 3.8 saat (atau 3.5 saat menggunakan kaedah ‘1-foot rollout’), manakala kelajuan maksimum ialah 302 km/j, lengkap dengan pakej M Driver yang didatangkan standard.
Berat keseluruhan jentera ini dikurangkan sekitar 30 kg hasil penggunaan gentian karbon CFRP pada bumbung, but, komponen dalaman dan bahagian aerodinamik.
Bukan itu sahaja, ia juga didatangkan dengan rim aloi tempa bersaiz 19 inci di depan dan 20 inci di belakang yang dipadankan dengan tayar litar.
Jika dibandingkan dengan M2, casis versi ini ditala semula untuk pengendalian lebih tajam, dengan suspensi direndahkan sebanyak 8 mm, serta sistem DSC dan M Dynamic Mode yang dilaras semula.
Model ini juga dilengkapi sistem M Traction Control dengan 10 tahap pelarasan cengkaman tayar bagi membolehkan pemandu mengubahsuai karakteristik pengendalian.
Sistem ekzos M memberikan bunyi lebih garang, dengan empat muncung hitam matte dan flap kawalan elektronik. Sebagai alternatif, pelanggan boleh mendapatkan sistem ekzos titanium M Performance dengan tip karbon yang bukan sahaja menghasilkan ngauman lebih garang, malah juga lebih ringan.
Bahagian dalaman pula menampilkan tempat duduk bucket karbon M, kulit Merino dan kemasan Alcantara, konsol tengah CFRP, serta paparan digital melengkung BMW dengan sistem Operasi 8.5.
Ciri seperti M Drift Analyser, M Laptimer dan mod M Setup lengkapkan pengalaman pemanduan di litar. Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk lampu LED adaptif, sistem audio Harman Kardon, Head-Up Display dan bantuan pemanduan.
Di Jerman, harga M2 CS bermula dari €115,000 atau sekitar RM550,000. Menurut BMW, selain Jerman, pasaran utama bagi model ini ialah Amerika Syarikat dan China.
