Arkib Tag: LS500

Lexus LS 2026 dilancar di Jepun dengan kemas kini kecil, harga dari RM313k

Lexus memperkenalkan kemas kini terbaharu untuk sedan flagship LS di pasaran Jepun, menampilkan pilihan warna baharu, penambahan ciri keselesaan serta sedikit naik taraf kosmetik.

LS generasi kelima telah berada di pasaran sejak 2017. Ia diberikan facelift pada 2020, diikuti dengan kemaskini teknologi dan keselamatan pada 2023. Model versi terbaharu ini akan mula dijual di Jepun bermula bulan ini.

Untuk bahagian luaran, varian F Sport kini hadir dengan warna baharu White Nova Glass Flake, manakala Deep Blue Mica ditawarkan untuk semua varian.

Menurut Lexus, perubahan ini adalah sebahagian daripada usaha memperhalusi koordinasi warna bagi menyerlahkan karakter mewah LS.

Bahagian dalaman turut menerima peningkatan, di mana ciri pemanas untuk kerusi depan dan belakang kini ditawarkan secara standard untuk semua varian. Sebelum ini, pemanas kerusi belakang hanya terhad kepada varian lebih tinggi.

Selain itu, varian F Sport mendapat angkup brek berwarna merah dengan logo perak untuk penampilan lebih garang.

Harga rasmi LS baharu di Jepun adalah seperti berikut:

  • LS500h: dari 13,790,000 yen hingga 17,730,000 yen (RM388,760-RM499,830)
  • LS500: dari 11,110,000 yen hingga 16,270,000 yen (RM313,200-RM458,670)

Dari segi mekanikal, rangkaian enjin tidak berubah. LS500 masih menggunakan enjin 3.5 liter V6 twin-turbo (8GR-FXS) dengan kuasa 415 hp, dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan.

Sementara itu, LS500h digerakkan oleh enjin 3.5 liter V6 (V35A-FTS) bersama motor elektrik dengan kuasa gabungan 354 hp, dipadankan dengan Multi Stage Hybrid Transmission iaitu gabungan CVT dengan automatik 4-kelajuan.

Kedua-dua versi ditawarkan dengan pacuan roda belakang atau pacuan semua roda.