Lotus Emira kini merupakan satu-satunya kereta sports berenjin pembakaran dalaman tulen yang masih lagi ditawarkan oleh Lotus untuk para peminatnya.
Sebelum produksi model ini ditamatkan pada tahun 2027, Lotus dilapor mempunyai perancangan untuk menambah baik penawaran model ini, khususnya untuk pasaran Amerika Syarikat.
Berdasarkan laporan terkini daripada Autocar, Lotus sedang mempertimbangkan nadi bentangan V8 untuk dimuatkan pada Emira.
CEO-nya, Feng Qingfeng berkata jenama itu sedang meneroka kebolehlaksanaan nadi V8 bagi menggantikan enjin bentangan V6 yang diguna pakai pada ketika ini.
Lotus Emira boleh didapati dengan nadi V6 pengecas lampau 3.5 liter yang disumberkan daripada Toyota, atau pilihan enjin 2.0 liter daripada Mercedes-AMG.
Feng menolak cadangan untuk menaikkan kuasa nadi V6 tersebut kerana enjin Toyota itu dikatakan tidak lagi mampu untuk memenuhi piawaian Euro 7 yang lebih ketat.
Lotus sebelum ini berhasrat untuk menghentikan penawaran model V6 secara beransur-ansur bagi memberikan ruang kepada model bernadikan AMG.
Namun dengan permintaan yang agak memberangsangkan untuk model enam silinder di Amerika Syarikat, ia mendorong Lotus untuk mempertimbangkan cadangan memasang enjin yang lebih besar.
CEO Lotus Eropah, Matt Windle memberitahu Autocar, “Amerika Syarikat merupakan pasaran terpenting kami. Jadi kami sedang meneliti permintaan pasaran supaya produk tersebut dapat diteruskan pada masa depan.
Jelasnya lagi, pihaknya sedang meneliti beberapa pilihan yang dapat diguna pakai untuk memastikan potensi penuh Emira dapat diteroka, termasuklah memadankan enjin daripada pembekal sedia ada – besar kemungkinan Mercedes-AMG.
