Lotus Cars Malaysia mengumumkan kemas kini terhadap penawaran hyper-GT Lotus Emeya, di mana ia kini menampilkan struktur nama baharu selaras dengan strategi global Lotus.
Untuk model tahun 2025, Lotus Emeya boleh didapati dalam lima varian utama, iaitu Emeya 600, Emeya 600 GT SE, Emeya 600 Sport SE, Emeya 900 Sport dan Emeya 900 Sport Carbon.
Secara standard, Lotus Emeya dibekalkan dengan tetapan dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda (AWD).
Untuk varian Emeya 600, unit pacuan tersebut berupaya menghasilkan 603 hp/710 Nm, sementara varian Emeya 900 pula mampu menghamburkan kuasa setinggi 905 hp dan 985 Nm.
Pek bateri 102 kWh NMC mampu membenarkan jarak pandu sejauh 610 km, atau sehingga 580 km untuk varian 900.
Dari segi kelengkapan, Emeya 600 hadir dengan rim bersaiz 20 inci, sementara Emeya 600 GT SE pula dilengkapi dengan rim aloi 21 inci, angkup brek enam omboh, bumbung kaca panorama dan pintu tailgate bebas tangan.
Varian Emeya 600 Sport SE pula tampil dengan pakej pengendalian Lotus, spoiler belakang aktif, diffuser belakang aktif, serta air dam hadapan aktif.
Masuk kepada varian Emeya 900 Sport, ia dibekalkan dengan spoiler belakang aktif, manakala varian Emeya 900 Sport Carbon pula mendapat kelengkapan ekstra seperti air dam hadapan aktif, diffuser belakang aktif, serta pakej karbon di bahagian luar.
Ruang kabin Emeya mendapat kelengkapan seperti sistem audio KEF Premium dengan 15 pembesar suara, skrin paparan HUD 29 inci, kawalan iklim empat zon, serta padanan fabrik LotusWear Performance.
Varian yang lebih tinggi mendapat sistem pencahayaan ambien, pakej tempat duduk berventilasi dan fungsi urut, serta pintu jenis tutup-lembut.
Harga jualan adalah seperti berikut:
- Lotus Emeya 600 – RM459,000
- Lotus Emeya 600 GT SE – RM519,000
- Lotus Emeya 600 Sport SE – RM599,000
- Lotus Emeya 900 Sport – RM699,000
- Lotus Emeya 900 Sport Carbon – RM729,000
Tempahan bagi model Emeya 2025 kini dibuka menerusi pusat pameran di Glenmarie, Pavilion Damansara Heights dan Pulau Pinang.
Penghantaran kumpulan pertama pula dijangka akan bermula pada September 2025.
