Arkib Tag: Lotus Eletre

Lotus bagi nama yang agak pelik untuk Eletre PHEV: For Me

Lotus China mengumumkan ketibaan Eletre varian plug-in hybrid (PHEV) untuk pasaran China dengan membawakan nama yang cukup aneh: For Me.

Menurut laporan CarNewsChina, Lotus For Me bakal dilancarkan secara rasmi pada suku pertama 2026.

Dari segi dimensi, Eletre PHEV ini tidak membawakan perbezaan yang ketara berbanding versi EV, dengan ukuran panjang 5,103 mm, lebar 2,019 mm, tinggi 1,636 mm dan jarak antara roda 3,019 mm.

Ia turut dilengkapi sistem brek Brembo dengan angkup enam omboh di depan, spoiler aktif serta tayar kustom Pirelli P Zero 5 LTS.

Aspek pengendalian ditambah baik dengan sistem suspensi jenis dual-chamber, dual-valve dengan ciri Kawalan Redaman Berterusan (CDC), peredam adaptif serta bar pengimbang adaptif.

Sistem plug-in hybrid yang dimuatkan pada Lotus For Me ini terdiri daripada enjin 2.0 liter turbo dengan dua motor elektrik (satu untuk setiap gandar).

Kuasa maksimum mencapai 952 hp untuk membolehkan pecutan sepantas 3.3 saat dari 0-100 km/j.

Dengan senibina 900V, bateri 70 kWh itu boleh dicas sepantas 8 minit dari 30-80 peratus SoC.

Jarak gerak sifar emisi pula boleh mencecah sehingga 420 km (data CLTC).

Buat masa ini, Lotus masih belum mendedahkan harga jualan sebenar untuk model For Me ini.

Lotus Malaysia perkenal Eletre 600 – harga bermula RM499,000

Lotus Cars Malaysia mengemas kini penawaran SUV elektrik Lotus Eletre untuk pasaran Malaysia.

Sama seperti pendekatan yang dibuat pada Emeya, Lotus Eletre 2025 kini menerima nama model baharu, iaitu Eletre 600 dan Eletre 900 selari dengan strategi global pengeluar tersebut.

Terdapat lima varian yang ditawarkan, iaitu Eletre 600, Eletre 600 GT SE, Eletre 600 Sport SE, Eletre 900 Sport dan Eletre 900 Sport Carbin.

Perinciannya seperti berikut:

Lotus Eletre 600 (RM499,000)
– tetapan dua motor elektrik (603 hp, 710 Nm)
– bateri 112 kWh
– jarak gerak 580 km (data WLTP)
– suspensi udara aktif dengan Continuous Damping Control
– rim 20 inci

Lotus Eletre 600 GT SE (RM569,000)
(tambahan kepada ciri di atas)
– Parking Pack
– rim aloi 21 inci
– sistem brek angkup enam omboh

Lotus Eletre 600 Sport SE (RM649,000)
(tambahan kepada ciri di atas)
– Lotus Dynamic Handling Pack
– Spoiler belakang aktif

Lotus Eletre 900 Sport (RM769,000)
– tetapan dua motor elektrik (905 hp, 985 Nm)
– transmisi dua nisbah kelajuan
– jarak gerak 490 km (data WLTP)
– Lotus Dynamic Handling Pack
– Spoiler belakang aktif

Lotus Eletre 900 Sport Carbon (RM839,000)
(tambahan kepada ciri di atas)
– Extended Exterior Carbon Pack

Untuk ruang kabin, secara standard Lotus Eletre didatangkan dengan sistem audio premium KEF 15 pembesar suara, skrin paparan head-up 29 inci, kawalan iklim empat zon serta kemasan Jasper berserta fabrik LotusWear Performance.

Ciri lain termasuklah sistem pencahayaan ambien, plet ambang pintu bercahaya, fungsi urut dan pengudaraan, pintu tutup lembut, serta tema dalaman Quartz (bergantung kepada varian).

Menurut Reza Mutalib selaku Pengarah Eksekutif dan Pengasas Karrus Automotive Group, sehingga kini terdapat lebih 250 buah Eletre di atas jalan raya.

“Dengan pengenalan Siri 600, kami yakin angka ini akan berterusan meningkat,” ujarnya.

Lotus Eletre raih dua kategori dalam anugerah Malaysia Car of the Year 2024

Tahun 2024 merupakan satu tempoh yang cukup bermakna buat Lotus Cars Malaysia.

Sepanjang tempoh 12 bulan tersebut, Lotus Malaysia telah berjaya menjual sebanyak lebih 200 unit SUV elektrik Lotus Eletre, diikuti 20 unit kereta sports Lotus Emira.

Bukan itu sahaja, Lotus Eletre juga berjaya mengungguli bukan satu, tapi dua kategori dalam anugerah Malaysia Car of The Year 2024 (MCOTY), iaitu SUV of The Year (atas RM500k) dan xEV of the Year 2024 (atas RM300k).

Dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia pada tahun 2023, Lotus Eletre merupakan SUV elektrik pertama jenama Lotus yang membawakan kuasa setinggi 905 hp dan 985 Nm.

Dengan padanan pek bateri 112 kWh, Lotus Eletre mampu mencapai jarak pemanduan sejauh 600 km atau 490 km untuk Eletre R.

Lotus Eletre versi asas diperkenalkan semula, harga dari RM598k

Lotus Cars Malaysia baru-baru ini memperkenalkan semula varian asas Lotus Eletre 2024 sebagai pelengkap kepada penawaran varian Eletre S dan Eletre R sedia ada.

Penghantaran pertama dijadualkan bermula seawal bulan Oktober ini, dengan harga jualan meningkat kepada RM598,800 berbanding harga asal RM578 ribu sewaktu pelancaran pada April 2023.

Lotus Eletre 2024 versi asas ini mengekalkan spesifikasi dua motor elektrik berkuasa 603 hp dan 710 Nm, dipadankan dengan sistem pacuan semua roda (AWD).

 

 

Pecutan 0-100 km/j memakan masa 4.5 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 245 km/j.

Pek bateri berkapasiti 112 kWh pula membenarkan jarak gerak sejauh 600 km (mengikut data WLTP), selain menyokong pengecasan pantas 350 kW di mana bateri boleh dicas 10-80 peratus dalam tempoh 20 minit sahaja.

Membezakan antara Eletre varian asas dengan varian Eletre S dan Eletre R ialah padanan rim aloi aerodinamik lima jejari berukuran 20 inci diikuti dengan sistem brek empat omboh.

 

 

Pembeli boleh menaik taraf sistem brek enam omboh berserta rim bersaiz 22 inci dengan tambahan RM30,000.

Antara opsyen lain termasuklah kamera sisi serta spoiler belakang aktif yang dapat meningkatkan lagi jarak pemanduan Eletre.

Secara standard, Lotus Eletre dibekalkan dengan ciri keselamatan ADAS termasuklah kawalan jelajah adaptif pintar (ACC), sistem pemantauan pemandu, amaran pelanggaran belakang, amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran lintasan trafik hadapan (FCTA), bantuan pengekalan lorong, amaran keluar lorong, sistem pemantauan titik buta, serta bantuan parkir.

Terdapat sehingga lima mod pemanduan disertakan, iaitu Range, Tour, Sport, Off-Road, dan Individual (tambahan Track untuk Eletre R), dibantu dengan kawalan casis dinamik pintar Lotus.

 

 

Lotus Eletre turut didatangkan dengan sistem audio premium KEF 1,380 watt yang diiringi 15 unit pembesar suara, teknologi Uni-Q™ dan kawalan bunyi tiga dimensi.

Untuk pasaran Malaysia, pembeli boleh memilih dua warna baharu iaitu Akoya White serta Cinnabar Red, serta warna lain termasuklah Kaimu Grey, Solar Yellow, Natron Red, Galloway Green, Stellar Black dan Blossom Grey.

Setiap Eletre dilindungi jaminan pengeluar selama lima tahun/jarak perbatuan 150,000 km serta jaminan bateri selama lapan tahun atau perbatuan sehingga 200,000 km.

 

Harga Lotus Eletre dan Emira naik sehingga RM96k di Malaysia

LOTUS Car Malaysia telah mengumumkan harga terkini bagi Hyper SUV Eletre dan kereta sport Emira yang berkuat kuasa serta merta.

Menurut pemegang francais tunggal itu, kemaskini harga ini adalah berikutan perkembangan pertukaran ringgit berbanding matawang asing utama dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Berbeza dengan harga anggaran asal yang diumumkan pada majlis pelancaran April lalu, harga cadangan untuk Eletre S adalah RM698,000 (naik daripada RM648,000). Sementara itu, varian tertinggi iaitu Eletre R kini berharga RM838,000 (naik daripada RM798,000).

Harga Eletre yang disenaraikan berkuatkuasa di Semenanjung Malaysia dan Langkawi. Harga baharu untuk varian asas Eletre akan diumumkan kelak memandangkan ia tidak ditawarkan sehingga sekurang-kurangnya pada tahun 2025.

Bagi Emira pula, harga asal untuk Emira i4 First Edition ialah RM1,095,000 di Semenanjung Malaysia dan RM509,000 di Langkawi. Unit terhad dengan harga pengenalan RM998,800 ditawarkan berdasarkan kepada siapa cepat dia dapat.

Emira V6 First Edition versi manual pula berharga RM1,289,000 di Semenanjung Malaysia (naik daripada RM1,205,800) dan RM529,000 di Langkawi (naik daripada RM478,800).

Emira V6 First Edition versi automatik kini ditawarkan pada harga RM1,309,000 di Semenanjung Malaysia (naik daripada RM1,225,800) dan RM539,000 di Langkawi (naik daripada RM493,800).

Mereka yang berminat untuk melihat secara dekat kedua-dua model ini boleh mengunjungi Lotus Store di Level 3, Pavilion Kuala Lumpur sehingga 30 September 2023. Di sana, Eletre S berwarna kuning Solar Yellow dan Emira V6 berwarna merah Magma Red ada dipamerkan.

Dibuka bermula 10am hingga 10pm setiap hari, bilik pameran itu menawarkan pengalaman tersendiri yang dibantu oleh Lotus Experts dan konfigurator yang membolehkan pelanggan menukar spesifikasi kereta mereka.