Had laju sememangnya antara peraturan paling asas dalam dunia pemanduan. Namun di Amerika Syarikat, sebuah negeri kini bersedia untuk mencabar kebiasaan tersebut dengan idea yang agak berani.
Menurut laporan, penggubal undang-undang di Arizona sedang meneliti cadangan untuk memansuhkan had laju sepenuhnya di beberapa laluan lebuhraya terpilih, sekurang-kurangnya pada waktu siang.
Cadangan ini dikemukakan oleh perwakilan negeri, Nick Kupper, menerusi satu rang undang-undang yang dinamakan Reasonable and Prudent Interstate Driving Act, atau lebih ringkas dikenali sebagai RAPID.
Sekiranya diluluskan, had laju mandatori pada waktu siang akan dimansuhkan di lebuh raya antara negeri (Interstate) yang terletak di kawasan luar bandar dengan jumlah penduduk kurang daripada 50,000 orang. Pendek kata, pemandu dibenarkan memandu mengikut kelajuan yang mereka anggap selamat, bergantung sepenuhnya kepada keadaan trafik dan jalan raya ketika itu.
Namun begitu, sebaik sahaja malam menjelma, had laju akan dikuatkuasakan semula pada 80 bsj (129 km/j), iaitu sedikit lebih tinggi berbanding had maksimum Arizona ketika ini. Untuk kenderaan komersial pula, kelajuan maksimum kekal dihadkan kepada 80 bsj (129 km/j) sepanjang masa, sama ada siang atau malam.
Sebagai langkah awal, Kupper turut mencadangkan pelaksanaan projek perintis selama setahun sebelum dasar ini diperluaskan. Laluan Interstate 8 antara Casa Grande dan Yuma dipilih sebagai zon percubaan “tanpa had laju”, dengan fokus utama untuk menilai kesannya terhadap kadar kemalangan.
Jika hasil percubaan ini memberangsangkan, laluan panjang di Interstate 10, 17, 19 dan 40, serta sebahagian Interstate 15 di bahagian barat laut Arizona, berpotensi diwartakan sebagai zon tanpa had laju.
Sudah tentu, cadangan ini mengundang kontroversi. Ramai pihak bimbang penghapusan had laju boleh meningkatkan risiko kemalangan serius.
Walau bagaimanapun, Kupper percaya data membuktikan sebaliknya. Beliau merujuk kepada negeri Montana, yang pernah melaksanakan peraturan had laju lebih longgar tanpa peningkatan ketara dalam kadar kemalangan.
Rang undang-undang RAPID dijangka dibentangkan dalam sesi legislatif Arizona pada tahun 2026. Jika diluluskan, Arizona bakal mencipta sejarah sebagai satu-satunya negeri di AS yang membenarkan kelajuan tanpa had di lebuh raya tertentu.
